Wednesday, April 25, 2012

Kemaafan yang terindah..

Baru-baru ini aku berkesempatan berbual dengan sahabat baik aku, mengenai kisah-kisah hidup yang lepas. Apabila dikenang, memang banyak perkara menyakitkan yang telah kami lalui.

Aku adalah seorang yang pernah melalui pengalaman difitnah, ditikam dari belakang oleh rakan yang dipercayai dan mcm2 lg lah. Malah hingga ke hari ini, rupanya masih ada sang penjaja yang aktif menyebarkan fitnah ke atas diri aku. Aku rasa korang pun mesti ada pengalaman yang serupa, tak kira banyak atau sikitnya.

Perit rasanya difitnah, namun ia mengajar aku supaya tidak terus mempercayai khabar angin dan gosip yang terpapar di media; baik mengenai artis mahupun ahli politik. Dan jika gosip melanda orang yang aku kenal dengan rapat, aku akan tanyakan kepadanya sendiri, supaya tidak ada buruk sangka. Lagipun aku nih bkn suka sgt dengan benda2 mcm ni. Selalunya masuk telinga kiri aku dan keluar ikut telinga kanan tanpa aku ambik pot.. Manusia seringkali melatah apabila ditimpa perkara-perkara yang aku sebutkan di atas. Bila ia berlaku, mereka terus mengamuk, menilai buruk dan tekad untuk bermusuhan. Ada di antara mereka menyimpan dendam kepada pemfitnah ini.

Aku ibaratkan hati manusia, seperti sebuah peti yang memiliki laci-laci kecil. Setiap rekod individu yang hadir di dalam hidup kita, disimpan dalam laci-laci ini. Jika sudah berkenalan dengan sejuta orang, maka ada sejutalah laci di dalam hati kita. Dalam laci setiap individu, mempunyai fail-fail kenangan peristiwa kita bersama mereka. Apabila kenangan yang berlaku adalah memeritkan, maka laci-laci ini akan berubah warna menjadi warna hitam. Lebih banyak manusia yang menyakitkan hati kita, lebih banyaklah laci hitam di dalam hati kita.

Selang hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun, rasa sakit hati kita kepada individu yang lacinya sudah hitam ini masih wujud. Ini kerana kita masih menyimpan rekod mereka di dalam laci hitam. Semakin lama disimpan, semakin tebal fail kenangan mereka, dan melarat pula ke laci-laci yang lain. Hati semakin sakit. Setiap perbuatan mereka yang menyakitkan, tidak dapat dilupakan sama sekali. Pantang mendengar nama mereka disebut, laci hitam di hati menebal seinci. Di mana lokasi yang ada kaitan dengan mereka akan dijauhi. Jika ada keramaian yang melibatkan mereka, kita tidak akan hadiri supaya tidak bertembung dengan mereka.

Kerana hati sudah benci. Kerana peti hati sudah semakin dipenuhi dengan laci-laci hitam yang menyimpan rekod mereka. Akhirnya, hati kita telah sepenuhnya menyimpan laci-laci hitam yang banyak dengan fail-fail kenangan yang menebal. Akibat dari disakiti, kita membenci. Kita membenci mereka yang menyakiti kita, lantas menyimpan dendam. Dendam yang disimpan, mengakibatkan hati yang gelap dan penuh dengan laci-laci hitam. Laci-laci hitam yang memenuhi hati dengan fail-fail kenangan pahit mendorong kita untuk terus membenci, berdendam dan tidak lagi mahu memaafkan mereka yang menyakiti hati kita ini.


Mari fikirkan sejenak. Apa yang kita perolehi daripada rasa sakit hati yang dipendam sehingga menjadi benci dan dendam? Adakah kita berpuas hati? Adakah kita bebas ke sana ke mari? Adakah kita berlapang dada? Adakah kita merasa tenang? Adakah kita bahagia? Jika mereka yang menyakiti kita, kenapa harus kita berdendam kepadanya? Yang salah, siapa; kita atau mereka? Jika yang berhati busuk dan dengki adalah mereka, kenapa hati kita pula yang hitam, dan penuh dengan kebencian? Jika kita yang teraniaya, kenapa kita pula yang memiliki amarah dalam diri? Bukankah kita yang teraniaya adalah lebih beruntung kerana doa kita berpotensi dimakbulkan Tuhan?

Allah berkata, ".. dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nur:22)

Allah berkata lagi, "Dan segeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali-Imran:133-134)

Selagi laci hitam tidak dibersihkan, selagi itu fail kenangan pahit yang tebal wujud di dalamnya. Selagi itu hati kita penuh dendam dan kebencian. Selagi itu jugalah kita tidak akan tenteram, kerana kerap memikirkan tentang mereka yang menyakiti kita. Lagi kerap kita memikirkan mereka, lagi tebal fail kenangan itu tersimpan dalam laci yang hitam.

Mungkin kebahagiaan sukar diperolehi kerana hati kita yang hitam. Mungkin rezeki tidak muncul kerana hati kita yang tidak bersih. Mungkin kita rasa tak bahagia kerana hati kita yang tidak memaafkan.

Maafkan sahaja mereka, insyaAllah hati kita akan lebih tenang.. dan laci hitam akan terhapus dari peti hati kita.

No comments: