Showing posts with label hari Islam. Show all posts
Showing posts with label hari Islam. Show all posts

Thursday, June 21, 2012

Rebus pun sedap...

Sementelah kita meraikan peristiwa Israk dan Mikraj baru2 ni maka tergerak jari jemari aku ni untuk memetik satu pengajaran yang dapat diambil iktibar untuk generasi kita pada hari ini..

Dalam perjalanan Rasulullah ke Masjidil Al-Aqsa, Baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi. Antara pelajaran yang dapat diambil dari peristiwa itu ialah mengenai wanita. Rasulullah s.a.w melewati satu daerah yang mana baunya sangat harum seperti bau kasturi. Baginda bertanya kepada Jibril, daerah apakah yang sedang mereka lewati. Jibril menjawab: ''Itulah makam Masyitah, seorang wanita penghulu syurga.''

Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang engkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.

Walaupun hukuman diugut dengan hukuman bunuh, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Diantaranya ialah Siti Asiah, isteri Firaun sendiri dan keluarga Masyitah. Mereka terpaksa menyembunyikan keislaman mereka agar dengan itu mereka tidak diganggu oleh Firaun dan orang-orangnya.

Seorang sahabat baiknya yang juga penjaga perbendaharaan negara, Hazaqil, tidak setuju Fir’aun mengakui dirinya Tuhan. Pada suatu hari, ketika Fir’aun menjatuhkan hukuman mati ke atas 40 orang ahli sihir yang telah beriman kepada Allah, Hazaqil sangat tidak setuju.

Hazaqil menghadap Fir’aun dan membantah hukuman itu. “Tuanku, patik tidak setuju dengan hukuman mati ke atas 40 ahli sihir itu. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara kita ini,” Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Fir’aun.

“Mereka dihukum mati kerana tidak mengakui beta sebagai Tuhan mereka!” tegas Fir’aun dengan nada marah, sambil menambah: “Kalau kamu mempertahankan nasib ahli-ahli sihir itu, itu bermakna kamu juga seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah.”

Fir’aun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib 40 ahli sihir yang dihukum mati itu. “Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu,” kata Fir’aun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman mati ke atas sahabat yang juga pegawai kerajaannya itu.

Hazaqil dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma. Dia kemudian dipanah pengawal Fir’aun sehingga mati.

Isteri Hazaqil, iaitu Siti Masyitah, yang bertugas sebagai pendandan puteri Fir’aun, berasa sangat sedih dan kecewa atas pembunuhan suaminya itu. Dia semakin benci melihat wajah Fir’aun dan keimanannya kepada Allah semakin teguh.

Pada suatu pagi, ketika Siti Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, dia teringatkan suaminya. Tumpuan kepada tugasnya hilang. Tiba-tiba sikat yang digunakan menyikat rambut puteri Fir’aun jatuh ke lantai. “Allahu Akbar,” kata Siti Masyitah lalu mengambil sikat itu.

“Masitah, kamu akan dihukum kerana berkata begitu. Apakah ada Tuhan lain selain ayahandaku?” tanya puteri Fir’aun. Pada mulanya Masyitah enggan menjawab pertanyaan itu. Namun puteri itu terus mendesak Masyitah agar menjawab pertanyaannya. Akhirnya dengan tenang Masyitah berkata, “Ya. Memang ada Tuhan yang patut disembah, bukan ayahanda tuan puteri. Allah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam” kata Masyitah dengan tegas dan berani.

Puteri sangat marah, lalu mengadu hal itu kepada bapanya. Darah Fir’aun menyirap mendengar kata-kata anaknya. Dia lalu meminta Masyitah menghadapnya.
“Siapakah Tuhan kamu?” Tanya Fir’an dengan marah.
“Allah, itulah Tuhan saya,” jawab Masyitah dengan tegas.
“Biadab! Kamu akan dihukum sebab menghina beta!” Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.
Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri daripada empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.
“Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan.”

Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.” Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Masyitah melihat sendiri bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.

Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkatakata berkata kepada Masyitah, ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”

Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.



Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.

Orang ramai yang hadir dan melihat kejadian itu berasa terkejut dan sedih melihat Siti Masyitah dan dua anaknya menjadi korban Fir’aun demi mempertahankan agama Allah. Tiba-tiba mereka terhidu bau yang sangat harum keluar daripada kuali besar berisi minyak mendidih yang telah ‘memasak’ Masyitah dan anak-anaknya itu.

Begitulah teguhnya iman seorang muslim yang berpegang teguh kepada agama Allah dengan rela mempertaruhkan nyawanya sendiri serta keluarganya demi menegakkan kebenaran islam. Bukanlah seperti apa yang kita dapat lihat hari ini dimana ulamak sendiri sanggup mengeluarkan fatwa membolehkan yang haram dan mengharamkan apa yg dibolehkan oleh agama atas dasar kepentingan mereka. Sesungguhnya niat tidak pernah menghalalkan cara dan begitu juga sebaliknya. Tiada sokongan untuk mereka yang jelas menyekutukan dan  jelas melawan norma2 kemanusiaan. Al-Fatihah untukmu wahai Masyitah dan kaum keluargamu..

Tuesday, May 22, 2012

Penginapan PERCUMA untuk dimiliki...

Para ulama bersepakat syurga itu terletak di atas dari langit yang ketujuh. Dalam surah An-Majm ayat 13-15 Allah berfirman: "Sesungguhnya ia (Muhammad) telah melihat Jibril sekali lagi, iaitu di Sidratul Muntaha, dan di dekatnya ada syurga tempat kembali
Ketika Rasulullah dalam perjalanan Mikraj, Baginda telah berhenti di Sidratul Muntaha. Menurut baginda, Sidratul Muntaha itu berada jauh di luar alam langit (di luar ruang angkasa). Di situlah Baginda dapati terletaknya syurga. 

Kemudian dikatakan syurga itu luasnya seluas langit dan bumi sebagaimana difirmankan Allah dalam surah Ali Imran ayat 133:  "Kejarlah oleh kamu ampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

Di syurga juga udaranya nyaman tidak panas membakar dan tidak pula sejuk mengigit. Allah berfirman:  "Mereka berehat didalam syurga dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya." (Al-Insan: 13) 

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Bahawa dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi." (Hadis riwayat Al-Bazzar).

 Dalam sebuah hadis lain diceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tanah syurga itu licin putih, kasturi murni." (Hadis riwayat Muslim). 
Harumnya bau syurga ini dapat dicium dari jarak perjalanan 100 tahun. 

Sungai-Sungai di Syurga 

Sungai-sungai syurga pula memancar dari bawah-bawah bukit. Di dalam al-Quran, Allah banyak menyebut tentang macam-macam sungai di syurga ini antara lain firmanNya dalam Surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud:  "Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggeledak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?" (sudah tentu tidak sama!). 

Ayat di atas memberi pengertian bahawa sungai-sungai di syurga bukanlah mengandungi air-air biasa seperti di dunia ini, sebaliknya ada sungai yang berair susu, ada yang berair anggur (arak) yang tidak memabukkan, ada yang dari madu dan sebagainya. Sungai-sungai ini semuanya mengalir dengan tenang melalui rumah-rumah di syurga, di kebun-kebun dan di celah-celah pokok. Bahkan terdapat juga mata-mata air yang mengalir. 
Jadi Allah telah menjanjikan bagi orang yang bertakwa itu sungai yang airnya mempunyai ciri-ciri sebagai berikut: 

= Airnya tidak berubah rasa dan baunya. 
= Air susu yang tidak berubah rasa dan warnanya 
= Air anggur (arak) yang lazat dan tidak memabukkan bagi peminumnya. 
= Madu yang disaring 

Sewaktu Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah melihat sungai yang dinamakan Al-Kausar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri dari permata-permata dan tanahnya dari wewangian yang paling wangi. Tepian sungai ini terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari mutiara.  Barangsiapa meminum air dari Al-Kausar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak merasa haus untuk selama-lamanya.  

Tentang nama-nama sungai di syurga, tidak ada disebut dengan jelas di dalam al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda:  "Bahawasanya di syurga terdapat suatu sungai yang disebut Sungai Rajab, airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu. Sesiapa yang puasa satu hari dari bulan Rajab, maka Allah memberikan minuman dari sungai itu." 

Yang jelas sungai yang bersama Rajab dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini belum pernah dilihat dan dirasakan airnya oleh manusia di dunia ini. Walau bagaimanapun di dalam keterangan-keterangan lain disebutkan bahawa di syurga ada sungai-sungai seperti Al-Kausar dan Al-Firdaus. 

Tentang Al-Kausar, Anas r.a. ada bercerita bahawa Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar jerami, tiba-tiba sambil mengangkat kepalanya Baginda tersenyum. Anas bertanya: "Mengapa engkau tertawa ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ayat yang diturunkan kepadaku tadi (yang bermaksud):  "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak (Al-Kausar), maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus." (Al-Kausar: 1-2-3). 

Kemudian Baginda bertanya: "Adakah engkau tahu apa itu Al-Kausar?" Anas menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu." Lalu Rasul menerangkan: "Al-Kausar itu satu sungai yang dijanjikan kepadaku oleh Allah, pada sungai itu banyak kebajikan. Di atasnya sebuah kolam (Al-Haudi) yang akan datang umatku kepadanya. Bejananya banyak sebanyak bintang-bintang di langit." (Riwayat Muslim). 

Seterusnya Imam At-Termizi meriwayatkan, Nabi bersabda: "Bahawa masing-masing nabi itu mempunyai kolam. Mereka ini bangga membanggakan manakah yang lebih banyak orang datang. Dan aku mengharap, bahawa adalah aku yang terbanyak orang datang." 
Mendengar tentang banyaknya kenikmatan yang terdapat pada Al-Kausar ini, tentu banyak di antara kita yang berharap untuk dapat menjadi golongan orang-orang yang dapat datang ke tempat tersebut. Agar harapan ini menjadi nyata, hendaklah kita berusaha mencari keredhaan Allah dalam kehidupan ini dari segala segi. 

Syurga itu Bertingkat-Tingkat 

Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Al-Firdaus". Di atas Al-Firdaus inilah terletak "Arsy Rahman (Mahligai Tuhan). 

Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah. 

Adapun cara melihat Allah bukanlah seperti halnya kita melihat dengan mata biasa seperti yang lazim berlaku, tetapi caranya ialah dengan penglihatan mata yang telah ditentukan Allah buat para penduduk syurga. 

Segala yang ada di syurga itu indah-indah belaka jauh lebih indah dari apa yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di syurga ialah pandangan terhadap Allah, tidak sesuatu kenikmatan lain yang dapat melebihi keistimewaannya. 

Cuba kita bayangkan di dunia ini sahaja, kalaulah kita diberikan kesempatan bertemu dan berbual-bual dengan salah seorang pemimpin negara, tentu kita akan sangat gembira dan bahagia dengan pengalaman tersebut. Inikan pula akan bertemu dengan Allah yang menciptakan dunia ini. 

Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah ayat 22-23 yang bermaksud:  "Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat".

Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril: "Hai Jibril pernahkah kau melihat Allah?" jawab Jibril pernahkah kau melihat Allah?" jawab Jibril: "Bahawa di antara saya dan Tuhan ada 79 tutup yang terdiri dari lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Tuhan ada 71 lapisan tutup dari cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya." 
Dalam hal ini pernah Nabi Musa a.s. meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang bagaimana juga kukuhnya akan hancur bila Tuhan menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah. 

Kemudian dalam satu riwayat lain digambarkan syurga itu sebagai berikut : 

= Tingkatan syurga pertama yang dibuat dari bahan perak baik kampung,rumah, pintu dan kuncinya. 
= Tingkatan syurga kedua yang dibuat dari bahan emas baik kampung,rumah, pintu dan kuncinya. 
= Tingkatan syurga ketiga yang kampung, rumah, pintu dan kuncinya dibuat dari bahan yakut dan lukluk (mutiara). 

Taman-Taman Di Syurga 

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia. 

Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-macam taman yang dihiasi indah dengan aneka macam tumbuhan dan bermacam-macam bunga, di situ kita boleh menghabiskan masa berjam-jam sambil menikmati keindahannya juga mencari ketenangan. Maka begitu juga di syurga, Allah menciptakan taman-taman bagi penghuninya. 

Ada dua bentuk taman di syurga: 

(1) Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa yang ada padanya.
(2) Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan segala apa yang ada padanya. (Riwayat Bukhari Muslim). 

Pada taman-taman ini terdapat bermacam-macam buah-buahan sama ada kurma ataupun delima, air mata air dan sungai yang terus-menerus mengalir airnya dengan tenang.  At-Tabrani meriwayatkan bahawa di taman-taman tersebut ada pohon-pohon yang rendang, besar, tinggi dan luas. Bila bidadari-bidadari bernyanyi di bawahnya, daun-daun dan ranting-ranting pohon-pohon itu bergerak-gerak sambil mengeluarkan bunyi-bunyian yang amat merdu pula.

Apabila angin berhembus lalu menyentuh daun dan ranting, maka akan terdengar desiran yang amat merdu pula. Sehingga tidak dapat dibanding manakah yang lebih merdu antara suara bidadari-bidadari atau bunyi desiran pohon-pohon tersebut. 

Pintu-Pintu Syurga 

Sebelum masuk ke syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga terlebih dahulu. Pintu-pintu ini ada bermacam-macam pula jenisnya. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran Surah Shaad ayat 49-50 yang bermaksud:  "Ini adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik, (iaitu) syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka."

Kemudian Abu Hurairah ada meriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Dan bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang menegakkan ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari pintu sembahyang. Bagi orang berpuasa ia akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang brsedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Dan yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad." (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Oleh kerana itu kalau seorang semasa hidupnya benar-benar melaksanakan segala hal yang disebut tadi, maka ia akan dipanggil untuk masuk melalui ke semua pintu-pintu tersebut. 
Adapun pintu syurga bagi orang yang melakukan ibadah puasa dinamakan Ar-Rayyan. Sedangkan setiap Muslim yang pernah kematian tiga orang anak-anaknya yang masih kecil diberi kebebasan untuk masuk ke syurga melalui pintu mana sahaja yang disukainya. 
Penghuni-penghuni syurga setiap orang mempunyai pintu-pintu tersendiri. Satu pintu untuk tempat masuknya sendiri. Satu untuk isterinya. Satu untuk tamu-tamu (malaikat dan kawan-kawannya). Satu menuju ke neraka untuk rasa nikmat Allah atas dirinya, dan satu pintu ke Arsy (Mahligai Allah untuk melihat wajah Allah). 

Dalam buku "Ahli Syurga dan kenikmatannya" diterangkan, selain yang tersebut di atas ada lagi pintu-pintu yang diberi nama : 

= Pintu para rasul dan nabi 
= Pintu zakat 
= Pintu haji 
= Pintu syahadat dan selawat 
= Pintu syuhada 
= Pintu salihin 
= Pintu siddiqin 
= Pintu ilmu dan iman 
= Pintu rahmat 
= Pintu taubat 

Dalam hadis riwayat Bukhari-Muslim, Rasulullah bersabda:  "Demi Allah, demi antara dua ambang pintu syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan Basrah".  Jelaslah pada kita betapa luasnya pintu-pintu yang terdapat di dalam syurga. 

Bilik-Bilik, Rumah dan Istana di Syurga 

Untuk lebih menyeronokkan lagi, maka pada penghuni-penghuni syurga diberikan bilik-bilik khas, rumah dan istana yang dibuat dari permata-permata yang tembus dipandang mata seperti kaca. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan dan kelazatan yang tidak pernah dilihat mata serta didengar telinga. 

Pernah pada suatu hari para sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Untuk siapakah Allah menyediakan bilik-bilik seperti itu ya Rasulullah?".  Rasulullah menjawab: "Bagi mereka yang menyebarkan salam, menyumbangkan makanan, terus berpuasa dan berjaga malam mengerjakan sembahyang sedangkan orang lain tidur nyenyak."  Lalu sahabat-sahabat bertanya lagi : "Siapakah yang tahan dan sanggup berbuat demikian ya Rasulullah?"  Jawab Baginda lagi: "Umatku! Dengarlah ...sesiapa yang bertemu sesama Muslim lalu ia memberi salam, itu bererti telah menyebarkan salam. Barang siapa yang memberi makan anak-anak dan isterinya sampai kenyang, bererti ia telah menyumbangkan makanan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ditambah dengan tiga hari pada setiap bulan, itu bererti ia terus menerus berpuasa. Dan sesiapa yang menunaikan sembahyang Isyak terakhir dengan berjemaah, bererti dia telah bersembahyang malam sedang manusia tidur." (Riwayat Abu Naim dari Jabir). 

Bagi penghuni syurga ini, disediakan bilik-bilik sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 20:  "Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janjinya." 

Kemudian di dalam firmanNya Surah Muhammad ayat 6 yang bermaksud: "Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankanNya kepada mereka."

Selain menerangkan keadaan bilik-bilik di syurga, ayat di atas juga menerangkan bahawa setiap orang yang masuk ke syurga itu mengetahui tempat mereka masing-masing tanpa perlu ditunjuk seolah-olah (bilik rumah dan istana-istana itu) sudah lama dikenalinya. Kemudian dalam surah Al-Furqan ayat 10, Allah berfirman:  "Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu yang lebih baik dari yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikanNya (pula) untukmu istana-istana".   Ayat ini mengisyaratkan bahawa di dalam syurga terdapat istana tetapi tidak dijelaskan bagaimana bentuk rupa istana tersebut, sama ada bertingkat-tingkat menjulang tinggi atau sebaliknya. Di samping bilik dan istana dan pula rumah-rumah. 

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:  Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali, maka Allah berkenan membangunkan baginya rumah di syurga. (Riwayat Muslim). 

Pohon-Pohon dan Buah-Buahan di Syurga 

Keindahan alam dengan pohon-pohon yang rimbun menghijau serta aneka macam jenis bunga-bunga yang menawan dapat memberikan kedamaian jiwa bagi siapa yang memandangnya. 

Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-tengah kebun bunga yang seperti itu ditambah pula dengan pohon-pohon yang mengeluarkan bermacam-macam jenis buah-buahan, tentu kita akan asyik dan enggan pergi atau meninggalkan tempat tersebut. Di syurga, Allah memberikan kepada penghuni-penghuninya lebih dari itu sebagaimana firmanNya yang bermaksud:  
"Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya." (Al-Waqiah: 27-33). 

Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan. (Ar-Rahman: 48). 

Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dan kurma serta delima. (Ar-Rahman: 68) 

Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya. (Al-Insan: 14). 

Di syurga juga ada sejenis pohon yang dinamakan tuba. Abu Hurairah berkata:  Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebatang pohon yang dipanggil "tuba" dan Allah berfirman kepadanya: "Keluarkanlah untuk hambaKu apa-apa yang mereka kehendaki." Maka keluarlah kuda dengan kekang serta pelana dan apa-apa keperluan yang dikehendaki dan dikeluarkan pula untuknya kenderaan dengan tempat duduk serta pengikatnya, apa-apa keperluan yang dikehendaki dan juga pakaian-pakaian. (Riwayat Ibnu Abid Dunya). 

Ibnu Hibban meriwayatkan Hadis daripada Abu Said yang menceritakan seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah tuba itu?" Baginda menjawab: "Ialah sebatang pohon yang sangat rindang. Rindangnya sejauh 100 tahun perjalanan, (manakala) pakaian-pakaian penghuni syurga adalah daripada kelopak-kelopaknya." 

Wednesday, April 25, 2012

Kemaafan yang terindah..

Baru-baru ini aku berkesempatan berbual dengan sahabat baik aku, mengenai kisah-kisah hidup yang lepas. Apabila dikenang, memang banyak perkara menyakitkan yang telah kami lalui.

Aku adalah seorang yang pernah melalui pengalaman difitnah, ditikam dari belakang oleh rakan yang dipercayai dan mcm2 lg lah. Malah hingga ke hari ini, rupanya masih ada sang penjaja yang aktif menyebarkan fitnah ke atas diri aku. Aku rasa korang pun mesti ada pengalaman yang serupa, tak kira banyak atau sikitnya.

Perit rasanya difitnah, namun ia mengajar aku supaya tidak terus mempercayai khabar angin dan gosip yang terpapar di media; baik mengenai artis mahupun ahli politik. Dan jika gosip melanda orang yang aku kenal dengan rapat, aku akan tanyakan kepadanya sendiri, supaya tidak ada buruk sangka. Lagipun aku nih bkn suka sgt dengan benda2 mcm ni. Selalunya masuk telinga kiri aku dan keluar ikut telinga kanan tanpa aku ambik pot.. Manusia seringkali melatah apabila ditimpa perkara-perkara yang aku sebutkan di atas. Bila ia berlaku, mereka terus mengamuk, menilai buruk dan tekad untuk bermusuhan. Ada di antara mereka menyimpan dendam kepada pemfitnah ini.

Aku ibaratkan hati manusia, seperti sebuah peti yang memiliki laci-laci kecil. Setiap rekod individu yang hadir di dalam hidup kita, disimpan dalam laci-laci ini. Jika sudah berkenalan dengan sejuta orang, maka ada sejutalah laci di dalam hati kita. Dalam laci setiap individu, mempunyai fail-fail kenangan peristiwa kita bersama mereka. Apabila kenangan yang berlaku adalah memeritkan, maka laci-laci ini akan berubah warna menjadi warna hitam. Lebih banyak manusia yang menyakitkan hati kita, lebih banyaklah laci hitam di dalam hati kita.

Selang hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun, rasa sakit hati kita kepada individu yang lacinya sudah hitam ini masih wujud. Ini kerana kita masih menyimpan rekod mereka di dalam laci hitam. Semakin lama disimpan, semakin tebal fail kenangan mereka, dan melarat pula ke laci-laci yang lain. Hati semakin sakit. Setiap perbuatan mereka yang menyakitkan, tidak dapat dilupakan sama sekali. Pantang mendengar nama mereka disebut, laci hitam di hati menebal seinci. Di mana lokasi yang ada kaitan dengan mereka akan dijauhi. Jika ada keramaian yang melibatkan mereka, kita tidak akan hadiri supaya tidak bertembung dengan mereka.

Kerana hati sudah benci. Kerana peti hati sudah semakin dipenuhi dengan laci-laci hitam yang menyimpan rekod mereka. Akhirnya, hati kita telah sepenuhnya menyimpan laci-laci hitam yang banyak dengan fail-fail kenangan yang menebal. Akibat dari disakiti, kita membenci. Kita membenci mereka yang menyakiti kita, lantas menyimpan dendam. Dendam yang disimpan, mengakibatkan hati yang gelap dan penuh dengan laci-laci hitam. Laci-laci hitam yang memenuhi hati dengan fail-fail kenangan pahit mendorong kita untuk terus membenci, berdendam dan tidak lagi mahu memaafkan mereka yang menyakiti hati kita ini.


Mari fikirkan sejenak. Apa yang kita perolehi daripada rasa sakit hati yang dipendam sehingga menjadi benci dan dendam? Adakah kita berpuas hati? Adakah kita bebas ke sana ke mari? Adakah kita berlapang dada? Adakah kita merasa tenang? Adakah kita bahagia? Jika mereka yang menyakiti kita, kenapa harus kita berdendam kepadanya? Yang salah, siapa; kita atau mereka? Jika yang berhati busuk dan dengki adalah mereka, kenapa hati kita pula yang hitam, dan penuh dengan kebencian? Jika kita yang teraniaya, kenapa kita pula yang memiliki amarah dalam diri? Bukankah kita yang teraniaya adalah lebih beruntung kerana doa kita berpotensi dimakbulkan Tuhan?

Allah berkata, ".. dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nur:22)

Allah berkata lagi, "Dan segeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah Ali-Imran:133-134)

Selagi laci hitam tidak dibersihkan, selagi itu fail kenangan pahit yang tebal wujud di dalamnya. Selagi itu hati kita penuh dendam dan kebencian. Selagi itu jugalah kita tidak akan tenteram, kerana kerap memikirkan tentang mereka yang menyakiti kita. Lagi kerap kita memikirkan mereka, lagi tebal fail kenangan itu tersimpan dalam laci yang hitam.

Mungkin kebahagiaan sukar diperolehi kerana hati kita yang hitam. Mungkin rezeki tidak muncul kerana hati kita yang tidak bersih. Mungkin kita rasa tak bahagia kerana hati kita yang tidak memaafkan.

Maafkan sahaja mereka, insyaAllah hati kita akan lebih tenang.. dan laci hitam akan terhapus dari peti hati kita.

Monday, March 5, 2012

Sejarah Islam Mengikut Hari.

Dimulai dengan hari AHAD ertinya Satu dalam bahasa arab.Ianya juga dipanggil hari kejadian kerana banyak penciptaan Allah berlaku pada hari ini antaranya:

*   Allah menjadikan alam,bintang2, api neraka, bumi sebanyak 7 lapis, lautan dan tujuh anggota manusia.

Hari ISNIN, atau isnaini bererti Dua dalam bahasa arab.ianya juga hari kunjungan atas sebab2 yang berikut:

*   Nabi Idris diangkat ke langit, Nabi Musa mengunjungi Bukit Tursina, Bukti keesaan Allah diturunkan,
     Nabi Muhammad dilahirkan dan diwafatkan, wahyu pertama diturunkan.

Hari SELASA atau salasa bererti Tiga dalam bahasa arab. Ianya juga dipanggil sebagai hari pembunuhan kerana banyak sejarah pembunuhan berlaku pada hari ini antaranya:

*   Nabi Yahya, Nabi Zakaria, Asiah isteri Firaun, Lembu Bani Israel dan Habil dibunuh, tukang2 sihir Firaun
     ditewaskan mukjizat Nabi Musa.

Hari RABU atau arba'a atau Empat dalam bahasa arab. Ianya dipanggil hari kehancuran kerana pada hari Rabu:

*   Qarun dan hartanya dibenam dalam bumi, Firaun dan tenteranya binasa, Raja Namrud ditewaskan oleh
     tentera nyamuk, Umat Nabi Salleh di hancurkan dengan teriakan Jibrail a.s, Umat Nabi Hud dibinasakan
     oleh taufan yg kuat

Hari KHAMIS atau khamsa atau Empat dalam bahasa arab. Ianya dipanggil hari penyatuan atas beberapa sebab. Antaranya:

*   Nabi Ibrahim dan Nabi Musa memasuki Mesir, Nabi Yusuf bertemu saudaranya di Mesir, Nabi Yaakob
     bertemu dengan Nabi Yusuf di Mesir dan Nabi Muhammad saw memasuki Kota Mekah.

Hari JUMAAT atau jum'ah ertinya berhimpun dalam bahasa arab. Hari ini dinamakan hari berhimpun kerana hari inilah manusia2 yg dimuliakan Allah berkahwin antaranya:

*   Perkahwinan Nabi Adam dgn Siti Hawa, Nabi Yusuf dgn Zulaikha, Nabi Musa dgn Siti Safura (anak Nabi
     Shuib), Nabi Sulaiman dgn Puteri Balqis, Nabi Muhammad dgn Siti Khadijah dan Siti Aisyah serta
     Saidina Ali dgn Fatimah Az-Zahra.

Hari SABTU atau sabt atau hari memotong dalam bahasa arab.Hari ini dalam sejarahnya banyak terjadi penipuan dan penindasan. ANtara peristiwanya adalah:

*   Nabi Nuh dipersendakan oleh kaumnya, Nabi Salleh ditipu oleh umatnya, Nabi Yusuf ditipu oleh
     saudara2nya, Nabi Musa ditindas oleh Firaun, Nabi Isa diperdayakan oleh kaum yahudi dan Nabi
     Muhammad saw menjadi pengerusi di sidang Darul Nadwah.