Pada sebahagian golongan, persoalan-persoalan tersebut digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka.
Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyimpang atau sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, berhati keras dan kepala batu seperti orang-orang Arab Badwi di masa lalu yang keras dan kasar. Malahan lebih daripada itu banyak yang dituduh munafiq, zindiq, dan musyrik.
Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini; walaupun pada hakikatnya ia termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimana pun jumlah masalah-masalah yang disepakati jauh lebih banyak daripada yang diperselisihkan.
Jika dihitung masalah-masalah fiqh yang berasal dari ulama terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logik (masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah, lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang dengan ungkapan yang tajam terhadap temannya? Sehingga hal itu menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu fiqh dan pemahaman terhadap agama secara keseluruhan.
Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bidaah.
Pada hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membidaahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para fuqaha'. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.
Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya al-Salafiyyah al-Mu'assarah, menulis :
Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama Allah.. kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan.. hingga memporak-perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bidaah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..
Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalahgunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:
Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka.
Jadi sahabat2 dan pembaca blog sekelian, jgnlah kamu setakat mengkopi dan paste sahaja posting dan terjemahan oleh mereka2 yang bukan ahli sedangkan yg mengaku bijak pandai juga ramai dan mereka jugalah yang banyak mengheret kita ke dalam neraka sebagaimana sabda nabi Muhammad saw. Sesungguhnya kadangkala diam itu lebih baik dari berkata2.
No comments:
Post a Comment