Monday, April 8, 2013

Siri Jejak Rasul.... Nabi Idris a.s.



Nabi Idris a.s. ialah salah seorang rasul dan nabi yang diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Nabi Idris merupakan rasul kedua daripada 25 rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam.

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi.Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57 dan dalam surah Anbiya ayat 85 dan 86: "Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 - Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." { Maryam : 56 - 57 } "Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh." { Anbiya : 85 - 86 }.

Nabi Idris diutus oleh Allah Swt. untuk mengingatkan umat keturunan Kabil yang telah bersikap durhaka. Nabi Idris a.s merupakan keturunan keenam Nabi Adam a.s, anak kepada Yarid bin Mihla‟el bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s dan merupakan keturunan pertama yang dikurniakan kenabian selepas Nabi Adam a.s dan Nabi Syith a.s. di kalangan bangsa Ibrani.
Nabi Idris a.s. dilahirkan dan dibesarkan di sebuah daerah yang bernama Babylon. Sejak kecil Nabi Idris a.s. telah berguru tentang kehidupan dan pelbagai perkara kepada Nabi Syits.Kemana pun Nabi  Syits berdakwah Nabi Idris akan sentiasa menemaninya.

Nabi Idris a.s. adalah pemuda yang sangat bijak,pandai dan memiliki aspirasi yang tinggi. Nabi Idris a.s. dilahirkan seratus tahun selepas kematian Nabi Adam a.s. dan merupakan manusia pertama yang belajar menulis.Nabi Idris a.s. juga adalah manusia yng menemui sains astronomi dan aritmetik. Sebagai nabi, nabi Idris a.s. dikurniakan pelbagai kepandaian oleh Allah SWT.      Selain pandai menulis, membaca,mengetahui ilmu alam dan ilmu matematik, Nabi Idris a.s. selalu membuat pakaiannya sendiri dengan fesyen yang indah.

Selain bidang itu, Nabi Idris juga dianugerahkan Allah SWT pandai membuat rumah dengan binaan sederhana tetapi indah. Rumah-rumah yang dihuni manusia pada ketika itu, meniru reka bentuk rumah Nabi Idris a.s. Kelebihan-kelebihan Nabi Idris a.s. tersebut di manfaatkan untuk mengajak orang melakukan kebaikan, berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran.

Dalam misi kenabiannya, Nabi Idris a.s menerima wahyu daripada Allah SWT melalui Malaikat Jibril sebanyak 30 shahifah iaitu 30 wahyu firman Allah SWT yang perlu disampaikan kepada umat manusia. Nabi Idris a.s menetang manusia yang menyembah manusia yang mengagung-agungkan patung atau berhala. Selain itu, Nabi Idris a.s. juga menganjurkan kaumnya untuk melakukan puasa sebagai latihan untuk mengawal nafsu.

Nabi Idris a.s di dalam Al-Quran digolongkan sebagai manusia yang sabar. Seringkali Nabi Idris a.s mendapat dugaan tetapi semua itu dapat di atasinya. Nabi Idris a.s. percaya bahawa Allah SWT akan menolongnya. Dalam berdakwah, pasti ada manusia yang menolak ajarannya dan berasa tersinggung. Malah mereka melakukan kezaliman dan bersikap kasar terhadapnya. Namun, Nabi Idris a.s. tetap tenang menghadapinya.

Nabi Idris a.s sering bertindak tegas terhadp orang-orang yang tidak beriman dan zalim.Selain tegas, Nabi Idris a.s adalah seorang yang gagah berani dan tangkas menunggang kuda. Nabi Idris a.s. dan pengikutnya selalu menang dalam peperangan melawan orang-orang zalim.     Oleh kerana kegagahan,keberanian serta kecerdikan itulah, Nabi Idris a.s. digelar sebagai Asadul Asad yang bermaksud "lebih singa daripada segala singa".

Selama puluhan tahun berdakwah, Nabi Idris a.s. hanya mendapat beberapa orang pengikut sahaja. Namun, Nabi Idris a.s. tetap tegar dan tidak pernah putus asa. Nabi Idris a.s. tidak mahu memaksa suatu kaum untuk masuk ke dalam ajaran Allah SWT. Jika ada sekelompok manusia menolak  apa yang disampaikannya beliau akan meninggalkannya dan mencari daerah baru untuk berdakwah.

Walaupun Nabi Idris a.s. menghadapi banyak musuh, Nabi Idris a.s selalu dilindungi oleh Allah SWT. Selain itu, beliau memang seorang yang bijak dan pandai dalam menyusun strategi perang. Walau pun dari segi jumlah pengikut, Nabi Idris a.s. tidak mempunyai banyak pengikut namun mereka adalah pengikut yang sangat beriman. Oleh kerana, kebijaksanaan, ketegasan dan kesabarannya, akhirnya Nabi Idris a.s. diangkat menjadi Nabi iaitu pada usia 82 tahun.
Pada suatu hari Nabi Idris a.s. didatangi seorang lelaki yang membawa sebiji telur. Ketika itu Nabi Idris a.s. sedang menjahit bajunya. Tanpa ucapan salam, lelaki itu terus menegur Nabi Idris, “Wahai Idris, bolehkah Tuhan kamu memasukkan dunia ke dalam telor yang sedang aku pegang ini?”

 Dengan izin Allah SWT. Nabi Idris tahu dengan siapa dia sedang berhadapan kerana itulah kelebihan yang dikurniakan kepada beliau. Lalu berkata Nabi Idris, “Datanglah dekat denganku dan tanyalah apa yang engkau hendak tanya.” Lelaki itu pun mendekati Nabi Idris yang masih sedang menjahit. “Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ke dalam telur ini?” Lelaki asing itu mengulangi pertanyaannya. “Tuhanku boleh memasukkan dunia ke mana sahaja, jangankan ke dalam telur yang engkau pegang itu, bahkan Dia boleh masukkan dunia ke dalam lubang jarum yang aku pegang ini.” kata Nabi Idris a.s.

 Kemudian dengan pantas sekali baginda bingkas mencucuk mata lelaki itu dengan jarum yang ada di tangannya. Terperanjat lelaki asing itu dan dia tidak sempat berbuat apa-apa. Kelam-kabut dia melarikan diri meninggalkan Nabi Idris a.s. yang telah membutakan matanya. Lelaki yang menganggu Nabi Idris a.s adalah Iblis laknatullah.

Diriwayatkan Nabi Idris as. telah naik ke langit pada hari Isnin. Peristiwa naiknya Nabi Idris as. ke langit ini, telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka) kisah, Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57).

Nama Nabi Idris as. yang sebenarnya adalah ‘Khunuh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT. Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, beliau mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang menempahnya dengan tanpa meminta upah. Walaupun demikian, Nabi Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan beliau. 

Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah SWT, agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as. Setelah memberi salam, Malaikat pun duduk. Nabi Idris as. mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari Syurga membawa makanan Nabi Idris, lalu beliau menikmati makanan tersebut. Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari Syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu.

Kemudian Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi Malaikat itu menolaknya. Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit matahari. Nabi Idris merasa hairan melihat sikap Malaikat itu. Kemudian beliau berkata: “Wahai tuan, mahukah tuan bersiar-siar bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran? Malaikat Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”

Maka berjalanlah keduanya melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris as. “Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk saya makan? Nabi Idris pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam tadi tuan tidak mahu memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang tuan mahu memakan yang haram?”

Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah bersiar-siar selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu. 

Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan yang sebenarnya? Saya adalah Malaikat Maut.” “Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?” “Benar ya Idris.” “Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?” “Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap makanan.” “Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?” “Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT telah mengizinkan niatku itu.” “Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu, iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah Setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.” Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”

Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar ia mencabut nyawa Idris as. Maka dicabutnyalah nyawa Idris saat itu juga. Maka Nabi Idris pun merasakan kematian ketika itu. Di waktu Malaikat Maut melihat kematian Nabi Idris itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan sedih ia bermohon kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan oleh Allah SWT kembali. Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan ia bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu? “ “Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya. “Padahal-kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan.”

“Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat melihat Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu”. “Wahai Idris as. saya tidak dapat pergi ke Neraka jika tanpa izin dari Allah SWT.” Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke dalam Neraka. Maka pergilah mereka berdua ke Neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris as. dapat melihat semua yang diciptakan Allah SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya. Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri, air panas yang mendidih dan lain-lain.

Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris as. berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk ke dalam Syurga. Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT. Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah dari Allah SWT.” Jawab Malaikat Maut. Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada Malaikat Maut supaya ia membawa Nabi Idris masuk ke dalam Syurga. 

Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut. Dari situ Nabi Idris dapat melihat pemandangan di dalam Syurga. Nabi Idris dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya. Berupa buah-buahan, pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan lain-lain. Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah melihat dahsyatnya api Neraka. Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki Syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api Neraka?”

Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga dan kemudian harus keluar lagi. Nabi Idris pun masuk ke dalam Syurga, beliau meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah beliau berada di luar, Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut. “Wahai Malaikat Maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam Syurga. Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam Syurga, dan ambil kasut tuan.” Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya.

 “Ya Idris, keluarlah!. Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT telah berfirman bermaksud: “Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Ali-Imran: 185) Sedangkan saya telah merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu.” (Maryam: 71) Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud: “… Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (Syurga).” (Al-Hijr: 48). Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah menetapkan di azali, bahawa ia akan bertempat tinggal di Syurga.”

Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris ini kepada Rasulullah SAW dengan firman-Nya bermaksud: “Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)

Sewaktu Nabi Muhammad S.A.W dan Jibril a.s melalui suatu tempat pada malam Israk dan Mikraj baginda bertemu dengan Nabi Idris. Di antara kata-kata hikmah Nabi Idris a.s sewaktu menyeru kaumnya adalah “Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah daripada orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka di dalam doa”

No comments: