Tuesday, April 23, 2013

Jadilah Bilal Ibni Rabbah bukan bilal yang rebah..



 
SEJARAH DAN ASAL USUL AZAN

Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.”(Hadis riwayat Muslim).

Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka menunaikan solat pada waktunya.

Setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya.

Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil umat Islam untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. Memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir,namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya?
Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :

"Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng,aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat.". Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik?" Dan aku menjawab "Ya!". Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang  "Allahu Akbar, Allahu Akbar"

Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda:

"Itu mimpi yang sebetulnya nyata,berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal."

Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.

KELEBIHAN AZAN

Berhubung dengan soal azan ini ada beberapa banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan pahala dan kelebihan mereka yang menjadi bilal (muazzin). Di antaranya baginda bersabda:

‘Siapa yang azan kerana sembahyang selama 7 tahun sambil mengharapkan pahalanya nescaya di tulis oleh Allah terlepas akan dia daripada api neraka.’

Sabdanya lagi:

‘Siapa yang azan selama 12 tahun di wajibkan baginya masuk syurga’.

Hadis yang lain ada menerangkan:

‘3 orang yang di pelihara Allah daripada terkena azab kubur iaitu orang yang mati syahid, muezzin dan orang yang mati pada hari jumaat atau malamnya.’

Sabdanya lagi:

‘Siapa yang mendengar seruan azan maka mengucup 2 ibu jarinya serta di letakkan ke atas 2 matanya sambil membaca doa ‘Marhaban Ya zikrillahi Taala Qurratu Akyunina Bika Ya Rasulullah’ maka aku akan mensyafaatkannya pada hari kiamat dan memimpinnya lalu dibawa ke syurga’.

Sebelum daripada melakukan solat 5 waktu maka di sunatkan azan terlebih dahulu, Adapun syaratnya adalah Islam, Mumayyiz (cukup umur) serta lelaki.

KAIFIAT AZAN

Bacaan lafaz azan adalah seperti berikut:

ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR (2 kali)
ASYHADU ALLAA ILAA HA ILLALLAH (2 kali)
ASYHADU ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH (2 kali)
HAIYA ALASSOLAH (2 kali)
HAIYA ALAL FALAKH (2 kali)
ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR (2 kali)
LAA ILA HA ILLALLAH (1 kali)

Ertinya lafaz azan itu adalah:

ALLAH MAHA BESAR
AKU NAIK SAKSI BAHAWA TIADA TUHAN DI SEMBAH MELAINKAN ALLAH
AKU NAIK SAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH
MARILAH MENUNAIKAN SOLAT
MARILAH MENUJU KEJAYAAN
ALLAH MAHA BESAR
TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH

Tetapi apabila azan waktu subuh mahulah di tambah selepas daripada lafaz ‘HAIYA ALAL FALAKH’ tadi dengan lafaz ‘ASSOLAATU KHAIRU MINAN NAUM (2 kali)’ yang maksudnya ‘SOLAT ITU LEBIH BAIK DARIADA TIDUR’.

Maka di sunatkan menjawab tiap-tiap mereka yang mendengar azan itu iaitu sebagaimana yang di ucapkan oleh muazzin melainkan pada lafaz ‘HAIYA ALAS SOLAH dan HAIYA ALAL FALAKH’ mahulah dijawan dengan perkataan: ‘LAA HAW LAWALA QUWWATA ILLA BILLAH’ yang maksudnya ‘TIADA KEKUATAN BAGI KAMI (HENDAK MENOLAK MAKSIAT DAN TIADA HENDAK MENGERJAKAN TAAT) MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH.’
Adapun pada lafaz ‘ALLAHU AKHBAR’ dan ‘LAA ILAA HA ILLALLAH’ hendaklah di jawab seperti yang demikian jua.

Hanya pada lafaz ‘ASSOLAATU KHAIRU MINAN NAUM’ wajiblah di jawab dengan lafaz: ‘SODAQTU WA BARARTU’ yang maksudnya ‘BENARLAH PERKATAAN ENGKAU DAN KAMU TELAH MENDAPAT KEBAJIKAN’.

TAFSIRAN AZAN

ALLAHU AKBAR - ALLAH YANG MAHA BESAR .
Sesungguh nya,kalimah azan itu adalah mengandungi falsafah dan pengajaran yang sangat penting bagi setiap muslim untuk menempuh kehidupan ini. 
Kita diminta untuk membesarkan Allah dalam seluruh kehidupan kita,dan dlm semua perkara.Kita mestilah menanamkan kedalam jiwa kita bahawa tidak ada yang lebih besar daripada Allah .Apabila kita telah membesarkan Allah,semua perkara lain menjadi kecil;dan akan tertanam kedalam jiwa kita semangat keberanian yang kental.Kita tidak akn berasa takut lagi terhadap apa sahaja selain dari Allah. 

ASH HA DUALLA ILA HAILALLAH - AKU NAIK SAKSI BAHAWA TIADA TUHAN LAIN YG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH.
Kita juga dituntut untuk memgakui bahawa hanya Allah lah sahaja yang berhak disembah.Kita mesti mengakui keesaan dan keagungan Allah.

AKU NAIK SAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH
Kita dituntut mengaku bahawa sesungguhnya nabi Muhammad saw itu sebenar-benarnya utusan Allah yang membawa ajaran Islam yang syumul seperti mana yang terkandung di dalam al-Quran. Sesungguhnya,pengakuan sahaja tidak cukup sebaliknya kita di tuntut untuk mengamalkan dan menurut segala ajaran yg di bawa oleh Rasullallah saw itu. 

HAIYA ALAS SOLAH - MARILAH MENUNAIKAN SOLAT. 
Kemudian kita di ajak mendirikan solah.Sesungguhnya solah itu adalah ibu bagi segala ibadah.Ianya merupakan tiang kepada Islam itu,dan juga menjadi tiang kepada kerohanian seseorang Muslim.Sabda Rasullallah saw: sesungguh nya solah itu merupakan tiang ugama.Sesiapa yang mendirikan nya,bermakna mendirikan ugama,sesiapa yang meninggalkan nya,bermakna meruntuhkan ugama. Sabda baginda lagi:Yang membezakan orang Islam dengan orang kafir itu adalah mendririkan solah.Oleh yang demikaian setiap Muslim itu mestilah sentiasa memelihara dan mengerjakan solah dengan sungguh-sungguh.Barangsiapa yang meninggalkan solah,atau pun meringan-ringankan nya,atau cuai dan lalai dari menunaikan nya,maka terhijablah dia daripada mendapat pertolongan Allah. 

HAIYA ALAL FALAH - MARILAH MENUJU KEMENANGAN.
Setelah kita melaksanakan perintah solat denagn sempurna zahir dan batin,barulah kita diajak kepada kejayaan dan kemenangan.maka layaklah kita memperoleh kemenangan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. 

LA ILA HAILALLAH - TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH 
Setelah kita beroleh kejayaan dan kemenangan,kita sekali lagi di ingatkan bahawa kita mesti terus secara konsisten membesarkan Allah.Apabila kejayaan telah berada dalam tangan kita,jangan sesekali melupakan Allah,jika tidak,kejayaan tersebut akn menjadi kosong ,tidak bernilai langsung di sisi Allah dan kita juga dituntut untuk terus mentauhidkan dan mengesakan Allah . 

Demikian lah indahnya falsafah dan pengajaran dari azan itu,yang mana,sekira nya dapat dilaksanakan oleh setiap muslim bersungguh-sungguh,nescaya kita akan mendapat pertolongan dari Allah dan kita insyaAllah akan menjadi umat yang kuat dan berjaya di dunia dan di akhirat.


DOA SELEPAS AZAN


Setelah selesai azan, Doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut Muslim lain yang mendengar azan:

Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan.
(Allahumma rabba hazhi-hid da'wa-tit-tamma was-solatil qai-ma)
اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة

Berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan
(Ati muhammadanil wasilata wal fadiila)
آت محمداً الوسيلة و الفضيلة

Serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya
(Wab ath-hu maqamam-mahmuda-nil lazhi wa at-ta)
وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدته

 ADAB MENDENGAR AZAN



Dalam zaman serba maju ini, pada saat ramai meletakkan dunia sebagai pilihan nombor satu, apakah kita juga akan terikut-ikut dengan lagak mereka? Inilah masanya akal yang waras digunakan. Pernahkah terjadi, apabila kita mahu berhenti seketika sewaktu sedang asyik bermesyuarat atau bersukan semata-mata kerana terdengar laungan azan, ramai yang terkejut. Bukannya lama, tidak sampai pun dua minit kerana itu adalah suara menyeru kepada kebaikan.

Padahal mendengar lagu-lagu melalaikan sehingga berjam-jam boleh pula. Ada juga yang berterusan bergosip, berbual perkara mengaibkan dan bergurau senda hingga mengabaikan batas pergaulan tatkala azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?
 
Agama Islam sendiri telah mengajar bahawa jika seseorang itu mendengar azan atau iqamah, walaupun ketika itu dia sedang membaca Al-Qur'an, berzikir, menuntut ilmu atau berdoa, maka sunat bagi orang itu berhenti sekejap untuk menjawab azan atau iqamah. Sunat juga menjawab azan dan iqamah walaupun dalam keadaan berhadas, junub, haid atau nifas kerana ianya adalah zikir, melainkan ketika dalam sembahyang fardu atau sunat, bersetubuh dan qada' hajat (buang air kecil atau besar) namun sunat dijawab kemudian jika tidak lama jaraknya. Ini jelas kepada kita sedangkan ketika beramal ibadat juga kita disunatkan menjawab azan, maka apatah lagi ketika berbuat perkara-perkara yang lain seperti sedang berbual-bual, menonton televisyen, bersukan dan sebagainya, bukankah lebih utama baginya untuk berhenti seketika bagi mendengar dan menjawab azan yang sedang dilaungkan?.

Dalam perkara ini juga terdapat suatu keadaan yang tidak menyenangkan berlaku di mana terdapat sebilangan orang yang seolah-olah tidak mendengar seruan azan apabila ia dikumandangkan, baik ketika berada di dalam masjid atau berdekatan masjid atau di mana saja ia berada. Begitu juga keadaan di pasar-pasar raya khususnya yang berdekatan dengan masjid, pada masa seruan azan dilaungkan, ketika itulah juga lagu-lagu nyanyian dan muzik dimainkan tanpa diberhentikan. Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara Islam dan selaku umat Islam, kita hendaklah menghormati azan sebagaimana yang telah diajarkan oleh agama kita.
 
Walaupun amalan menghormati azan nampak kecil sahaja perbuatannya namun apabila terjumpa sebuah hadis yang bermaksud; “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak ALLAH akan kelukan lidahmu ketika maut menghampiri.

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya tidak kita ketahui. Cuba kita amati mengapa kebanyakan orang sedang nazak dan hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa… lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya menahan kesakitan ‘sakaratul maut.’ Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izin-Nya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
 
Ya. Itulah maknanya hadis tadi. Jikalau sudah sahih ada hadis menyarankan agar mendiamkan diri semasa azan berkumandang, maka usahlah dipertikai. Sebagai orang yang bernama Islam maka wajiblah menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, ALLAH akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah semasa ajal hampir tiba, tidak dapat mengucapkan kalimah nikmat itu.
 
Suatu waktu dulu, laungan azan sama ada di radio dan televisyen, akan dimulai dan disusuli dengan doa dan muzik lembut. Ketika itu kita pun mula bangun untuk bersolat. Emak dan bapa sudah mula menjeling-jeling, kita yang asyik bermain atau menonton tv segera bangun. Namun keadaan sekarang sudah jauh berubah, masuk sahaja waktu solat, azan hanya ditulis pada skrin. Atau jika di radio, juruhebah hanya memberitahu sudah masuk waktu kemudian diikuti dengan lagu rap yang cintan-cintun atau lagu dangdut yang alahai… Maka tumpuan kita pada azan hilang terbang.

Menurut hadis itu lagi sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah “Lailahaillallah” ketika nyawanya dicabut ALLAH, adalah dengan izin-Nya menjanjikan syurga untuk mereka. Tulisan ini tidak lain tidak bukan, ingin mengajak bersama-sama menghormati azan dan mohon kepada ALLAH supaya lidah ini tidak kelu ketika nyawa sedang dicabut.

Diriwayatkan, Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan, hobinya suka mendengar muzik. Dia memiliki pentasnya sendiri dan beberapa penyanyi yang menjadi penghiburnya. Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar sahaja seruan azan, dia segera memerintahkan penyanyi dan pemuziknya berhenti seketika untuk menghormati seruan azan.

Setelah selesai menjawab azan barulah disambung semula nyanyian, hanya itulah sahaja amalan yang sentiasa dijaganya. Setelah dia meninggal, ramai kalangan orang yang soleh bertemu dengannya. Tanya mereka, “ibadah apakah yang menyebabkan ALLAH mengampunkan dosamu, adakah kerana kamu telah menggali sebuah kolam air antara Makkah dan Madinah?

Jawab Zubaidah, “ALLAH telah mengampun dosaku dengan banyak mengucap syukur. Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali semasa hayatku dulu, apabila mendengar sahaja azan, sedang waktu itu aku tengah berhibur maka dengan serta-merta aku menyuruh mereka menghentikan hiburan dan menghormati seruan azan. Itulah ibadah yang benar-benar aku jaga.” Maka ALLAH berfirman, “kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada dalam dadanya masakan dia mahu menyebut-Ku dalam keadaan leka.”

 
AZAN DI SELURUH DUNIA

Ketahuilah kamu semua bahawa pada setiap waktu solat, ribuan bilal atau muezzin di merata dunia akan melaungkan azan dan mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Layak Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul-nya.'

Azan subuh dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta seawal subuh. Sebaik masuk waktu Subuh, azan akan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Keagungan Allah S.W.T dan Nabi Muhammad s.a.w tak kira di kota atau di desa. Proses ini akan berterusan ke arah barat kepulauan Indonesia. Perlu diketahui bahawa perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1½ jam.

Belumpun laungan azan diserata negara Indonesia selesai, di waktu yang sama azan subuh pun mula berkumandang di Malaysia. Berikutnya di Burma pula selepas jarak masa satu jam setelah azan dilaungkan di Jakarta, kemudian diikuti pula masuknya waktu subuh di Dakka di Bangladesh. Selepas itu laungan azan terus bersahutan dari Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India.

Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit, jadi dalam jangka masa ini azan akan berkumandang diseluruh Pakistan setelah Srinagar. Namun itu bukanlah penamatnya. Belum berakhir azan subuh di Pakistan, azan subuh akan dilaungkan pula di Afghanistan dan Muscat, Oman. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman , Kuwait dan Iraq .

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa azan yang dikumandangkan olehh bilal-bilal di serta dunia dengan berbagai-bagai alunan suara dari Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah selama 9½ jam.Belumpun azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, azan Zohor  menandakan masuk nya waktu zohor pula berkumandang kembali di Indonesia. Proses ini berterusan bagi setiap waktu solat dan tidak pernah putus-putus. Jadi pada setiap detik akan berkumandang zan dilaungkan di mukabumi Allah ini. Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam.

MENGAZANKAN BAYI

Seperti yang kita tahu, Islam mensyariatkan supaya AZAN dilaungkan di telinga KANAN (bayi lelaki sahaja)  dan IQAMAT di telinga KIRI bayi yang baru lahir. Jadi apa rahsia disebalik laungan tersebut? Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah antara rahsianya adalah seperti berikut:

-     Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang disifatkan sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru lahir.

-     Satu penyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.

AZAN DAN WARNA ALAM

Cuba ingat semula, seawal mana kita menunaikan solat. adakah seawal 5 minit selepas usai azan menandakan masuknya waktu solat atau 5 minit lagi nak masuk waktu solat berikutnya. Tepuk dada tanyalah iman. pakcik yang menulis ni pun kadang2 lalai jugak.
Bila dah duduk depan komputer semua benda tak ingat. Tapi bila terbaca tentang artikel ni barulah tersedar tentang pentingnya solat di awal waktu.

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh

Ketika ini alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zohornya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.


Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.



1 comment:

Anonymous said...

Greetings from Colorado! I'm bored at work so I decided to check out your site on my iphone during lunch break. I really like the knowledge you present here and can't wait
to take a look when I get home. I'm surprised at how quick your blog loaded on my mobile .. I'm not even using WIFI, just 3G .

. Anyways, awesome blog!

Visit my weblog hurtownia torebek