Tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang saya kasihi sekalian.. Izinkan saya mencurahkan pengalaman "semalam di kedai tomyam" seorang rakan saya yang diberikan rahmat untuk mengetahui di sebalik sisi gelap kehidupan manusia bertopengkan syaitan di muka bumi ini.. Perbualan ini dalam bahasa inggeris. Oleh kerana kisah benar ini menarik minat saya maka dengan penuh minatnya saya mengolah semula kisah ini dengan menterjemahkannnya dalam bahasa melayu untuk bacaan semua..
Menurut teman saya ceritanya bermula begini... Malam itu setelah keluar dari masjid setelah selesai solat Isyak di
masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke
sebuah kedai makanan tomyam untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang
saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di
kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah
meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang
di meja tersebut. Selalunya tok siak masjid akan datang menemani saya dengan meneguk teh tarik kurang manis sebelum beliau pulang. Tapi al-maklumlah malam jumaat jadi malam tu besar tanggungjawab dia kat rumah tu. Apabila pelayan datang saya pun memesan nasi goreng kampung telur mata dengan air kelapa laut, makanan yang menjadi favorite saya. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula
seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya
wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Encik, boleh saya duduk di sini..? Encik boleh lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.." "Oh, ok.. tak
mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu.
Kemudian
pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk
minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya
dengan rasa pelik, "Saudari seorang diri sahaja? Dan saudari kelihatan bukan
orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya
lalu menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya
ingin ke rumah seorang kawan.."
"Oh Korea Selatan..
sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab
saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian
tatkala mata gadis itu kembali ke telefon pintarnya sambil
menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan kadangkala dia
juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang
kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya
menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan
nada yang tegas dan berani. "Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan saudari.." jawab saya serta-merta. Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira
15-20 minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan
minuman gadis itu.
"Encik mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya. "Jika saudari berminat untuk bercerita kepada saya, saya suka
mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup air kelapa laut yang saya pesan. "Ok sekejap beberapa
minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil
jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon pintarnya. Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan
mula menyuap makanan
dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan
menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali. "Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang saudari ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi. Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk
gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi
orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai
pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila
gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk
menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan
hadiah yang sangat
lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana
dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa. "Ok, kemudian..?" tukas saya lagi dengan perasaan yang ingin tahu. "Oh,
ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada encik. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar encik dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi. "Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok...
Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para
peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik
masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter
dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan
sebuah istana besar
dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka
semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang
dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur
pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur
di istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan
melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan
berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti
pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah
melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang
berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika
pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai
pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu
sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai
kasut tumit tinggi dan
pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para jutawan
yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik
mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam ataupun tidak."
"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…" kata saya lagi "Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja. "Satu
ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat
palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana
tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam
renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan
minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika
cuba memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai
dan kepalanya pecah. Ada
yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang
tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke
dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang
dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka
sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika
itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan
ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang
pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja
yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis
yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya
berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi
para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam
istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi
hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup
mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke
sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk
lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai di sini
tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya
serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak. Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya, "Hey,
please don't cry here… people will look at us. Please calm down. I'm
so sorry because make you telling me this story…" kata saya kepadanya
perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk
beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa
sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf
banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya
sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu yang
sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."
"Its ok.. its ok... (katanya sendu sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan
miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Encik
tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh
di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri...
Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu
saya membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya
meninggal dunia."
Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula
tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya
dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa
saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi
mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."
"Sejurus selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi
seorang wanita yang
memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana
kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu
menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila
saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya
telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya
bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan
akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah
sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia
adalah pilihan adik saya sendiri."
"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu
malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu
saya koma dan apabila saya
dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia meninggal
dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit
tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan
mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang
terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah.
Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini
adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat saudari kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya. "Alhamdulillah,
terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa
dengan seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup
saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi
Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan
ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu
cahaya yang sangat terang seperti matahari dan mendamaikan seperti
bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus
berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan encik tahu tak, jiwa saya
berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat
Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat Agama Islam di bandar Seoul.
Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar
muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini
dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata,
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali
dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan
segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama
masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat
tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan." Setelah itu dia diam dan meminum
minumannya...
"Kisah saudari amat menarik tetapi
menakutkan. Adakah saudari sudah mengambil tindakan undang-undang bagi
pihak adik saudari, atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?"
ujar saya kembali kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak
polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan
melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis
enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh
mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil
kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai.
Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan
diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun
dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya
melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif
polis ialah dia sudah meninggal dunia
akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan
kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak
mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada
mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan
gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana
rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka
semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana
palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang
masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan
ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi
insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan
dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak polis. Yang
pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk
menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan
sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita."
jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh,
ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa
umur saudari dan mengapa saudari berada di Malaysia? Dan... apa yang saudari
sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu
berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih
tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?" "Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur saudari." "Kisah
sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa
bulan dan harinya. Cukuplah encik tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini
saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba
mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita
Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk
bertemu di sini.
Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia di
kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya
berterus-terang dengan nada jujur.
"Oh, saudari sungguh
berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik teksi seorang
diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini kepada
saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan
membalas dosa penganiyaan mereka ke atas adik saudari dan mangsa-mangsa lain yang telah
teraniaya..." kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk. "Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan
tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat
itu!" balasnya dengan nada yang keras.
"Encik ingat artis
yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup bandar Gangnam..?
Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah berasa tertekan
dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi
sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya
menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka." "Whoa...
kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya sambil
mengangkat kedua-dua kening dan menyedut air kelapa laut yang masih
bersisa dengan straw.
"Oh, jangan encik berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya. "Tidak,
tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah saudari.
Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat saudari seorang yang tabah, kuat
dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya. "Oh ya, adakah saudari datang ke sini dengan biaya sendiri?
Bagaimana dengan suami saudari dan kerjaya saudari di Korea?" tanya saya
kepadanya dengan meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum
bersuami dan saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk
datang ke sini.
Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau
ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak
tentang Islam di sana. Encik kan tahu, Timur Tengah kini tidak stabil
dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan
saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa
Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur."
jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum. "Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh
benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu
dengan encik." ujarnya teruja dengan muka yang sangat gembira. Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik
kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain
yang sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita
sedikit
sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas
kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama
juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30
malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu
meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan
memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah.
Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka
di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya
pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak
pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah
memuliakan mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh
mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya
di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat
kepada Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para
pembaca agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri. Kisah
tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah
yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui
sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya
melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang
dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan
menjual segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia
bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara
bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah
di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang
yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang
diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah
tadi. Apa yang
saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan
harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia
telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata.
Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada
seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah
mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang
mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di
dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat
lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat
sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan,
mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti
Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak
bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia. Di
dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak
batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam
poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah
Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang
maju.. bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis
Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah
tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar
tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai
kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang
besar.
Allahu Allah, betapa teruknya manusia
menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...