Tuesday, March 12, 2013

Dua Empat Empat Tiga Empat ....


Terlebih dahulu izinkan saya panjatkan rasa syukur dan puji-pujian ke hadrat Allah swt. di atas restu dan izinNya yang mengatur dan memberi kekuatan untuk terus menyumbang dan bersama-sama para sahabat yang dirahmati. Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad saw., kepada para ahli keluarganya dan para sahabat baginda, para tabi'in dan tabi' attabi'in serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah swt. Kepada semua pembaca blog ini saya doakan agar kalian terus-terusan mendapat panduan, kerahmatan dan bantuan dari Allah swt. Tidak lupa juga salam kerberkatan untuk semua sahabat yang lain yang mencintai akan kebenaran dan memperjuangkan akan keadilan. Dan kepada sahabat yang bukan beragama Islam, salam ceria dan sejahtera diucapkan.

Dalam pada xde masa nak online ada juga sahabat yang sudi bertanya dengan hamba dalam fesbuk tentang solat dan rokaatnya serta penjaganya.. maka disini ingin hamba huraikan serba sedikit tentang solat dan rakaatnya buat beliau serta sedikit pembetulan tentang penjelasan hamba pada beliau tentang solat subuh sedangkan yang lain tidak berubah..

Ketahuilah hikmah ditentukan solat ditetapkan lima waktu berserta rakaatnya. Hukama' ada berkata "Ditentukan tiap-tiap solat itu (kerana) setiap solat (diwakilkan) oleh seseorang Nabi daripada Anbiya Allah swt. pada waktunya"

Penjelasan untuk orang awam   

Solat Subuh

Nabi yang pertama sekali solat fardhu Subuh ialah Nabi Adam as. tatkala baginda keluar daripada syurga. Melihat akan zulmah (kegelapan), Nabi Adam as. menjadi takut yang amat sangat. Di kala Subuh dan pecah (terbit) fajar, solatlah Nabi Adam as. dua rakaat


Rakaat pertama bermaksud syukur Nabi Adam as. kerana dilepaskan daripada kelam (kegelapan)
Rakaat kedua bermaksud syukur Nabi Adam as. kerana kembali siang hari (terbit fajar)

Solat Zuhur

Firman Allah swt. di dalam Surah As-Saaffaat ayat 102 dan 103

[102] Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"
[103] Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami)


Nabi yang pertama sekali yang menunaikan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim as. tatkala keluar perintah Allah swt. yang menyeru Nabi Ibrahim as. menyembelih anakandanya Nabi Ismail as. Datangnya perintah Allah swt. pada ketika gelincir (sedikit) matahari. Maka bersolatlah Nabi Ibrahim as. empat rakaat


Rakaat pertama bermaksud syukur bagi penebusan
Rakaat kedua bermaksud membukakan (meleraikan) dukacita anakandanya
Rakaat ketiga bermaksud menuntut keredhaan Allah swt.
Rakaat keempat bermaksud sebab diberi penebus (tukar ganti) yang amat besar seperti mana firman Allah swt. di dalam Surah As-Saaffaat ayat 107

[107] Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan (kibasy) yang besar;

Nota: Kibasy yang dibawa turun daripada syurga iaitu kibasy Habil

Solat Asar

Nabi Yunus as. adalah nabi yang pertama sekali menunaikan solat Asar ketika Allah swt. mengeluarkan baginda daripada perut ikan Nun ibarat burung yang tidak berbulu. Keadaan Nabi Yunus as. ibarat berada di dalam empat kelam

i. Kelam zulmah kesalahan
ii. Kelam airnya
iii. Kelam malam
iv. Kelam perut ikan

Ketika Nabi Yunus as. berjaya keluar daripada perut ikan Nun pada waktu Asar dan bersolatlah Nabi Yunus as. sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. daripada terlepasnya empat zulmah (kegelapan) itu tadi


Solat Maghrib

Solat Maghrib adalah solat Nabi Isa as. tatkala baginda diangkat oleh Allah swt. daripada kaumnya. Pada waktu itu matahari telah jatuh (maghrib)

Rakaat pertama bermaksud menafkan adanya tuhan selain daripada Allah swt.
Rakaat kedua bermaksud menafikan tohmahan terhadap bondanya, Mariam daripada dituduh kaumnya
Rakaat ketiga bermaksud memberi bukti tuhan itu satu iaitu Allah swt. Kerana dengan ini juga kedua-dua rakaat dia atas itu saling berhubung. Manakala yang ketiga itu tinggal sendirinya
 
Solat Isya

Nabi Musa as. adalah nabi yang pertama menunaikan solat Isya tatkala baginda sesat sewaktu keluar daripada negeri Madyan (perbatasan Hijaz dan Syam). Pada saat itu juga isteri Nabi Musa as., Shafura (anakanda Nabi Syu’aib as.) berada di dalam keadaan berdukacita dan begitu juga saudaranya Nabi Harun as. turut di dalam keadaan berdukacita, musuh Nabi Musa as., Firaun turut berdukacita berserta beberapa orang anaknya.
 
Maka dilepaskan oleh Allah swt. mereka daripada keadaan dukacita dengan janjNYA dan berlaku pada waktu Isya yang akhir. Maka solatlah Nabi Musa as. sebagai tanda syukur terlepas daripada segala bentuk dukacita yang empat itu.

Pada riwayat yang lain ada juga menyebut solat Subuh itu solat Nabi Adam as., solat Zuhur itu solat Nabi Daud as., solat Asar bagi Nabi Sulaiman as., Nabi Ya'akub solat Maghrib dan Isya itu solat Nabi Yunus as.

Dipetik dari Kitab "Mun-Yatul Mushalli" Sheik Daud Al-Fathani, halaman 73 sehingga 75

Disini pula penjelasan buat Pengikut Tasawwuf

Penjelasan ALHAMDU .....( Alif – Lam – Ha – Mim - Dal )

ALIF

Huruf ALIF itu waktu subuh. Nabi Adam a.s cahayanya putih. Malikatnya Jibril Ruhani. Sahabatnya Abu Bakar & Fatimah Keluar dari huruf ALIF itu dua rakaat kerana tajalli Tuhan dua mertabat yakni mertabat zat atau AHDIAH dan Mertabat sifat atau WAHDAH. Istananya dibawah susu kiri . Keluar cahaya pada dahi. Kenyataan pada kita ialah MULUT &  LIDAH

Sedikit Penerangan :  Solat Subuh dikerjakan 2 rakaat,dan dapat dilakukan secara berjamaah.Solat ini memperingati saat kita dilahirkan ke alam fana ini.Kita lahir terdiri dari 2 bahagian iaitu zahir dan batin.Lagi pula kita lahir tidak sendirian. Disaksikan oleh Bidan/Doktor,Bapak,Ibu. Itu sebabnya maka solat subuh ini biasa dilakukan secara berjamaah

LAM

Huruf LAM itu waktu ZUHUR. Nabi IBRAHIM cahayanya Kuning. Malaikatnya MAKRIBUN. Keluar dari huruf Lam itu empat rakaat kerana TAJALLI Tuhan WUJUD – ILMU – NUR – SUHUD. Istananya pada HATI di lambung susu kiri yaitu RUH MAZIFAH. Kenyataan pada kita ialah HIDUNG & MATA


Sedikit Penerangan : Solat zuhur 4 rakaat. Tujuannya ialah sewaktu hidup kita wajib untuk mencari nafkah (zahir maupun Batin) Dalam mencari nafkah, maka memerlukan ke 4 hawa nafsu iaitu nafsu amarah, lawamah, safiyah dan mutmainah. Solat ini pula dilakukan berjamaah cuma bila solat Jumaat dilakukan hanya 2 rakaat, kerana yang 2 rakaat pertama sudah dipergunakan untuk khutbah. Dan khutbah itu wajib diikuti keranana merupakan rezeki batin (Santapan rohani )
 
HA

Huruf HA ini waktu ASAR. Nabinya Nabi Yunus a.s Cahayanya Hijau Kuning. Malikaynya MIKAIL. Sahabatnya pula ialah Omar. Keluar dari huruf HA ini empat rakaat yakni API – AIR – ANGIn – TANAH. Istanayna pada LIMPA – Nafsu Jasmani. Kenyataan pada kita ialah BAHU & DADA.


Sedikit Penerangan :  Solat asar  4 rakaat . Tujuannya di dalam hidup juga kita diwajibkan untuk berbuat amal. Dalam berbuat amal zahir dan amal batin, maka dipergunakan empat unsur iaitu jasad, nyawa, roh dan rohani

MIM

Huruf MIM itu waktunya MAGHRIB . nabinya ialah Nabi MUSA. Cahayanya MERAH HITAM. Malikatnya ISHDAH & WAHIDIAH. Waktu Maghrib 3 rakaat kerana Tajalli Tuhan itu 3 perkara yaitu Ahadiyat, Wahdah dan Wahidiyat artinya Zat, Sifat dan Af’al. Istananya PARU – PARU Nafsunya Nafsu Haiwan. Kenyataan pada kita ialah MATA ( Cahayanya ).

Sedikit Penerangan : Solat maghrib  3 rakaat. Tujuannya setelah hidup maka manusia itu akan menuju mati. Tiga rakaat kerana orang mati itu melepaskan tiga perkara iaitu zat, nur dan Sirr

DAL

Huruf DAL itu waktu ISYA’ Nabinya Nabi NUH. Cahayanya HIJAU HITAM. Malikatnya IZRAFIL. Sahabatnya ALI. Keluar dari huruf DAL itu 4 rakaat kerana Tajalli Tuhan DI – WADI – MANI – MAKNIKAM. Istananya HEMPEDU dari bawah lidah hingga ke telinga. Kenyataan pada kita ialah TAPAK KAKI.

Sedikit Penerangan : Solat Isya 4 rakaat.Kerana tujuannya untuk hijrah sesudah mati (pindah dari Alam Fana ke Alam Akhirat), maka jasad harus membawa empat roh bersamanya iaitu roh jasmani, roh haiwani, roh nabati dan roh rawani.  Nyawa harus membawa Roh Rahmani dan Roh Nurani, Roh harus membawa Roh Kudus dan Rohani harus membawa Roh Rabbani dan Roh Burhani

Kalau pembaca tak faham yang ni tak mengapa.. fahamkan yang atas dulu sebab penerangan Alhamdu ini dipetik dari kitab Tok Peramu… Hanya akan faham kepada yang faham… sebab hamba kan gila..

Assalamualaikum wbt..

No comments: