Wednesday, February 15, 2012

Tolong Doakan Aku...

Saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah, sangat menerapkan doa dalam kehidupan seharian kerana doa adalah senjata ampuh orang2 mukmin. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat, Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa dan agar doa saya sentiasa dimakbulkan. Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan maka saya percaya doa saya dimakbulkan. Itu sebab saya berdoa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.

Cerita yang saya dengar itu begini:

Kisah berkenaan adalah kisah seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan Allah SWT. Si abang saban hari tanpa jemu dan penuh kusyuk berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidup mereka. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya dijadikan kaya raya.

Sementara si adik pula seorang yang kurang cerdas. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas kerana tidak mampu mengingati ayat-ayat doa. Sebelum bapanya mati dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya Allah mempertemukan si abang dengan seorang perempuan yang cantik lagi kaya seperti yang dimintanya setiap kali berdoa. Perempuan itu jatuh hati kepadanya lantas mereka pun berkahwin. Si abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka untuk menduduki mahligai idamannya dan meninggalkan adiknya yang hidup serba sederhana.

Si abang akhirnya menjadi kaya malah terus menambah kekayaan apabila dia memasuki bidang bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH hingga melewat-lewatkan solat, jarang membaca Al-Quran tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH dengan selalu berdoa. Kalau dalam bab perniagaan dan kekayaan dunia maka berbondong-bondonglah doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya Allah sentiasa memperkenankan apa yang dia minta hingga si abang rasa dirinya istimewa disisi Allah.

Si adik pula hidupnya tidak pernah berubah. Dia masih hidup dirumah pusaka yang serba sederhana dengan kelemahannya sebagai seorang kurang cerdas akalnya. Si adik juga rajin berdoa. Si abang tahu adiknya rajin berdoa tapi Si abang melihat hidup adiknya tidak berubah-ubah.

Lantas satu hari ketika si abang menziarahi adiknya si abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.” Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abang amat bermakna kerana abangnya ambil berat pada dirinya.

Si adik terus hidup serbasederhana di dalam rumah pusaka dan masih berdoa tanpa jemu dengan melihat kertas saban hari. Dia tetap tidak berubah walupun hari silih berganti. Tidak menjadi kaya seperti abangnya.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia menyahut panggilan Ilahi. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka dia berjumpa sehelai kertas bertulis. Kertas itu adalah kertas yang sering dipegang adiknya ketika berdoa. Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca tulisan dikertas kecil itu.

Di kertas kecil itu tertulis doa adiknya:   “ Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pengasih lagi mengasihani. Demi kasih engkau Ya Rabb makbulkan lah segala doa abangku kepadamu. Sesungguhnya aku tak berharap kepada yang lain selain darimu, oleh itu kau berikanlah segala kelebihan untukku kepada abangku. Amin ya rabbal alamin”

Masya Allah…  Si abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada Allah dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan Allah swt. Adiknya sedikit pun tidak meminta dunia kepada Allah malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa si abang dimakbulkan. Si Abang tidak pernah sedikit pun terlintas untuk mendoakan si adik yang tidak pernah sedikitpun irihati dengan kejayaan abangnya.

Si Abang mula menginsafi bahwa selama ini bukan doanya yang dimakbulkan Allah. Tetapi doa adiknya yang ikhlas dan luhur yang dimakbulkan oleh Alah swt. Lantaran itu segala yang dihajati si abang dalam doanya menjadi makbul.

Cerita ini amat meruntun hati saya dan sentiasa membuat saya berfikir panjang. Kadang-kadang bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka mengimbau usaha-usaha kita. "Aku buat beginilah yang jadi begini." "Doa aku makbul seh!" "Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta je pun." Tanpa sedar kita bongkak, riak, jumud dan takabbur. Sedangkan kita tak tahu mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa guru2 kita atau doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati saya. Membuatkan setiap kali saya berdoa saya tidak lupa mendoakan ibu bapa saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya serta sahabat-sahabat karib saya yang teramat akrab. Saya sering sebutkan nama mereka agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.

Kita ini banyak dosa. Banyak hijab. Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya dan lebih suci jiwanya yang makbul menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah.

Dari corong radio yang sempat saya dengar dalam perjalanan ke tempat kerja tempohari seorang ustaz menyatakan bahawa ada tiga golongan yang Allah sentiasa makbulkan doanya iaitu pemerintah yang adil, orang yang dizalimi serta mereka yang sedang berpuasa. Allah Huaklam.


Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya. Dan jangan rasa segan dan malu untuk minta orang lain doakan kita. Semoga kisah ini memberi manfaat kepada kita semua. Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya. Semoga Allah redha dengan kita.

JADI TOLONG DOAKAN AKU ANDAI KAMU RASA CORETAN INI MEMBERI MANFAAT PADAMU. DOA ANDA SEMUA AMAT SAYA PERLUKAN............

No comments: