Showing posts with label Kubur. Show all posts
Showing posts with label Kubur. Show all posts

Tuesday, July 31, 2012

Ada apa dengan kubur...

"Suatu kisah yang telah diceritakan dalam tazkirah ramadhan di sebuah masjid yang sangat mengharukan dan membuatkan aku menitiskan air Mata. 



Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah perkuburan, dan terus menjulang ke langit. Dia berasa  ketakutan dan hatinya tiba-tiba berdebar.

Terpegun dan kaku beliau melihat kejadian itu. Dia terfikir berkemungkinan kubur ini adalah milik seseorang yang sangat istimewa. Samada beliau seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu sebagai tanda.

Keesokan hari nya lelaki itu datang lagi kekawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui milik siapakah kubur yang sangat indah dan luar biasa itu. Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.

Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anehnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya hanya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru quran. Malah suaminya tidak pandai membaca quran langsung dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati. Apakah insan yang serba kurang ini mendapat kelebihan itu dari kekurangannya?

Akhirnya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara rutin yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati iaitu setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya  setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam bilik kosong lalu diambilnya alqur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek alqur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta alqur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh dan mebelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

Katanya suaminya akan merintih seakan memohon keampunan dan merayu dengan kata-kata “Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.” “Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan Ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu. “ “Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”. Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani alqur’an buah hati kesayangannya.

Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat alquran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan Ada bekas-bekas airmata di kertasnya tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh alqur’an. Dia sangat mengasihi kalimat tuhan dengan sesungguhnya. Bererti dia mengasihi tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Bak kata para sufi “Apabila kita cintakan seseorang maka segala miliknya juga akan kita sayangi dan cintai juga”. Jadi seandainya kita melihat kekurangan pada orang lain janganlah kita mencerca, menghukum serta menilai mereka menurut pandangan mata kita kerana tak semestinya pandangan mata kita sama dengan padangan Allah terhadap seseorang..



KUBUR HAJAH SIAH
(dipetik dari melayukini.net)

Selepas berbuka puasa pada malam 1 Ramadan 2002, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.

Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.

Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.

Cahaya aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.

Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna. Cahaya apakah itu? Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. 

“Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin. “Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar. “Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi. “Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid. “Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.

Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik. Malam berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam. Masing-masing bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal muncul!

Ada juga yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu. Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.

Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara. Sejak itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah Siah.

Tapi… dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.
Orang luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya. Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.

Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran. Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.

Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca? Jamaliah tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula. Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan. “Misalnya, sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!

“Tengah malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali. “Mak selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah. Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.” “Tengah berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula. Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.

Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah? “Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya. “Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.

Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur. “Kata mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah pula. Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.

Marilah Kita menghidupkan alquran di dalam masjid Kita, di dalam rumah Kita, di dalam diri Kita, sepanjang bulan ramadhan, bulan pengampunan ini. Perkisahan ini ditulis dan disesuaikan semula untuk bacaan semua. Semoga ia mampu member pengajaran dan iktibar buat kita semua.

Monday, July 23, 2012

Suara Mengaji di Kubur......

Oleh
Al-Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas



عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَجْعَلُوْا بُيُوْتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِيْ تُقْرَأُ فِيْهِ سُوْرَةُ الْبَقَرَةِ

Dari Abu Hurairah berkata Rasulallah saw bersabda, “Janganlah kalian jadikan rumah kalian seperti kuburan, kerana sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca surah al-Baqarah di dalamnya.”

TAKHRIJ HADIS
Hadis ini diriwayatkan oleh :
1. Imam Muslim dalam Shahih-nya (no. 780)
2. Imam at-Tirmidzi dalam Sunan-nya (no. 2877), dan ia menshahihkannya.

SYARAH HADIS
Hadis ini dengan sangat jelas menerangkan bahawa kuburan menurut syariat Islam bukanlah tempat untuk membaca al-Qur'ân. Tempat untuk membaca al-Qur'ân adalah di rumah atau di masjid. Syariat Islam melarang keras menjadikan rumah seperti kuburan, kita dianjurkan untuk membaca al-Qur'ân dan melakukan solat-solat sunnah di rumah.

Jumhur ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah ra, Imam Mâlik ra dan imam-imam lainnya melarang membaca al-Qur-an di kuburan. Berikut ini nukilan pendapat mereka.

Imam Ahmad ra berpendapat bahwa membaca al-Qur'an di kuburan tidak boleh. Pendapat ini dibawakan oleh Imam Abu Dawud ra dalam kitab Masâil Imam Ahmad. Imam Abu Daud ra mengatakan, “Aku mendengar Imam Ahmad ra ketika beliau ditanya tentang membaca al-Qur'ân di kuburan ? Beliau menjawab, “Tidak boleh.”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah ra berkata, “Dari Imam asy-Syâfi’i ra sendiri tidak ada perkataan tentang masalah ini. Ini menunjukkan bahawa (baca al-Qur'ân di kuburan) menurut beliau adalah bid'ah. Imam Mâlik ra berkata, “Tidak aku dapati seorang shahabat pun juga tabi’in yang melakukan hal itu !”

Yang wajib diperhatikan oleh seorang Muslim iaitu tidak boleh beribadah di sisi kuburan dengan melakukan solat, berdoa, menyembelih binatang, bernazar atau membaca al-Qur'ân dan ibadah lainnya. Tidak ada satupun keterangan yang sah dari Rasûlullâh sawbmaupun para Sahabatnya yang mengisyaratkan mereka melakukan ibadah di sisi kubur. Sebaliknya, yang ada adalah ancaman keras bagi orang yang melakukan ibadah di sisi kuburan orang shalih, baik dia seorang wali ataupun seorang nabi, apalagi (jika tempat dia melakukan ibadah itu) bukan (kuburan) orang soleh.

Nabi Muhammad saw mengeluarkan ancaman keras bagi orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Rasûlullâh saw bersabda,

لَعَنَ اللهُ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى اِتَّخَذُوْا قُبُوْرَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Allâh melaknat orang-orang Yahudi dan Nashrani (kerana) mereka menjadikan kuburan para nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadah).

Semua kuburan itu sama, tidak ada satupun kuburan yang keramat dan barakah. Dari sini kita ketahui bahwa orang yang sengaja mendatangi kuburan tertentu untuk mencari karamat dan barakah, bererti dia telah jatuh ke dalam perbuatan bid’ah atau syirik. Dalam Islam, tidak dibenarkan untuk sengaja melakukan safar (perjalanan) dalam rangka ziarah ke kubur-kubur tertentu (dengan tujuan ibadah), seperti, kuburan wali, kyai, habib dan lainnya dengan niat mencari keramat dan barakah dan melakukan ibadah di sana. Perbuatan seperti ini terlarang dan tidak dibenarkan dalam Islam. Semua ini termasuk bid’ah dan boleh menjadi punca yang membawa sang pelaku ke perbuatan syirik.

Rasûlullâh saw bersabda :

لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: مَسْجِدِيْ هَذَا، وَالْـمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَالْـمَسْجِدِ الْأَقْصَى

Tidak boleh mengadakan safar (perjalanan dengan tujuan beribadah) kecuali menuju tiga masjid, iaitu masjidku ini (Masjid Nabawi), Masjidil Haram, dam Masjidil Aqsha.

Adapun adab ziarah kubur, kaum Muslimin dianjurkan ziarah ke pemakaman kaum Muslimin dengan mengucapkan salam dan mendo’akan agar dosa-dosa mereka diampuni dan diberikan rahmat oleh Allâh swt.

Di antara faedah lain yang terdapat dalam hadis di atas (“Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kuburan…”), iaitu seseorang tidak boleh dikubur di rumahnya. Dia dikuburkan di pemakaman kaum Muslimin. Kerana jika ia dikubur di rumahnya, akan terjadi beberapa hal berikut :

1. Menjadi tempat yg boleh membawa kepada kesyirikan,

2. Rumah itu berpeluang untuk diagungkan,

3. Terhalang dari do’a kaum muslimin yang mendoakan ampunan kepada orang-orang Muslim yang sudah meninggal ketika mereka ziarah kubur,

4. Akan menyusahkan ahli waris, membuat mereka bosan dan tidak senang, dan jika mereka ingin menjual rumah tersebut, maka tidak ada harganya (harganya murah).

5. Dan akan tejadi juga di sisi kuburan tersebut hiruk pikuk, senda gurau, hal yang tidak bermanfaat, dan perbuatan-perbuatan yang haram yang bertentangan dengan syari’at. Padahal Rasûlullâh saw bersabda, “Berziarah kuburlah, karena itu akan membuatmu mengingat akhirat.”

Wallaahu A’lam bish Shawaab.

Sunday, April 22, 2012

Bila Roh Berpesan..

Aku rasa kali ni aku nak sambung tulisan aku tentang alam ghaib lagi. Kalau sebelum ni aku banyak membicarakan soal ruh maka ini adalah lanjutan dari penulisan itu. Inilah jawapan sebenar kepada persoalan "Siapakah yang akan disoal dan di seksadi dalam kubur?". Ini kerana bila kita menyakitkan jenazah maka ruhnya juga terasa sakit. So bila ruh disoal tetapi menjawab dengan gagal  maka jasad yang akan ditibai oleh Mungkar dan Nakir. Sedangkan ketika memandikan jenazah dan para pemandi terkasar sedikit mengakibatkan ruh akan merasa sakit inikan pula dengan pukulan Munkar dan nakir. Moga penjelasan ini menjawab segala persoalan anak didik ku, apara pembaca blog ini serta isteriku tercinta.


Apakah Pesan Ruh Kepada Manusia???
 
Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jiin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". 

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh". 

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat. 

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". 

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. 

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku". 

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku". Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari. 

Baginda Rasullullah saw bersabda: Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu." Sambung Rasullullah saw lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya. 

Dari sebuah hadis meriwayatkan bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt " Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." 

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt. Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu. " Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. 

Abu Bakar ra telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar ra: "Roh itu menuju ketujuh tempat:- 

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin. 
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus. 
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina. 
\4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka. 5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat. 
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat." 

Telah bersabda Rasullullah saw: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:- 

1. Orang-orang yang mati syahid. 
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan. 
3. Orang berpuasa di hari Arafah. 

Sekian untuk ingatan kita bersama. Kalau rajin. Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. Sila panjangkan (share) kisah ini kepada semua saudara islam kita.