Wednesday, November 28, 2012

Bulan ini dalam sejarah... Muharram

Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada  asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

Asal Usul Sejarah Bulan Muharram

Tradisi kalendar Hijriyah dirintis pada masa kekhalifahan Umar Bin Khattab RA. Pada waktu itu muncul wacana diperlukannya kalendar yang baru dan seragam untuk berbagai urusan kenegaraan dan kemasyarakatan. Kemudian, muncullah berbagai usul dari para Sahabat. Pada akhirnya disepakati bahwa peristiwa hijrah Nabi SAW dari Makkah menuju Madinah dijadikan rujukan dalam perhitungan awal tahun kalender Islam.

Dalam sejarahnya, Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) pernah menerima surat dari Gobenornya di Bashra Abu Musa Al Asy’ari yang menyebutkan pada awal suratnya berbunyi: “……menjawab surat Tuan yang tidak bertarikh…..”. Perkataan pendek yang tampaknya tidak begitu penting telah menarik perhatian Khalifah Umar, iaitu perlunya umat Islam mempunyai kalendar. Hingga akhirnya diadakan musyawarah khusus untuk menentukan bila awal tahun baru Islam.

Dalam musyawarah yang dihadiri oleh para tokoh-tokoh terkemuka dari kalangan sahabat itu, muncul beberapa usul untuk menentukan bila dimulakan tahun baru Islam. Di antara usul tersebut terdapat pendapat yang mengatakan tarikh dihitung dari peristiwa penyerangan Abrahah terhadap Ka’bah, yang dikenal dengan sebutan “Amul Fiil” (tahun Gajah) dan itu sudah sering dipakai. Ada yang menyarankan kalendar Islam dihitung dari turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW, di mana waktu itu beliau secara rasmi dilantik oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul untuk seluruh umat. Ada juga yang mengusulkan takwim Islam dihitung dari wafatnya Rasululah saw, dengan alasan pada waktu itu diturunkan wahyu terakhir yang menegaskan bahwa Islam sebagai agama yang sempurna. Dan ada pula yang berpendapat bahwa kalendar Islam dihitung dari hijrahnya Rasullah saw dari Mekah ke Madinah, dengan alasan kerana peristiwa itu merupakan pintu masuk kehidupan baru bagi Rasulullah SAW dan umatnya dari dunia kemusyrikan menuju dunia tauhid (Islam).

Setelah lama musyawarah bersama dengan berbagai pendapat dan bantahan masing-masing, akhirnya disepakati bahwa usul terakhir itu yang diterima (kalendar Islam dihitung dari hijrahnya Rasullah saw dari Mekah ke Madinah), yang kemudian diumumkan oleh khalifah bahawa tahun baru Islam dimulai dari Hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah.

Menariknya, meskipun awal bulan Muharram merupakan awal tahun bagi tahun Hijriyah, ternyata Muharram bukan awal permulaan hijrah Nabi SAW. Soalnya hijrah beliau jatuh pada permulaan bulan R. Awwal tahun ke-13 kenabian (14 Sept 622 M), bukan pada awal Muharram. Sedangkan antara permulaan hijrah Nabi Saw dan permulaan kalender Islam (Muharram) sesungguhnya terdapat jarak sekitar antara 62-64 hari, dan antara keduanya terdapat bulan Safar.

Dalam kitab tarikh Ibnu Hisyam dinyatakan bahwa keberangkatan hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah pada akhir bulan Safar, dan tiba di Madinah pada awal bulan R. Awal. Jadi bukan pada tanggal 1 Muharram sebagaimana anggapan sebahagian orang.

Adapun penetapan bulan Muharram sebagai awal tahun baru dalam kalender Hijriyah adalah hasil musyawarah para sahabat nabi saw pada zaman Khalifah Umar bin Khattab ra saat mengumumkan takwim Islam. Pada saat itu ada yang mengusulkan R. Awal sebagai awal tahun dan ada pula yang mengusulkan bulan Ramadhan. Namun kesepakatan yang muncul saat itu adalah bulan Muharram, dengan pertimbangan bahawa pada bulan itu telah bulat keputusan Rasulullah saw untuk hijrah ke Madinah pasca peristiwa Bai’atul Aqabah (ikrar penduduk Madinah yang datang ke Mekah untuk masuk Islam). Di mana saat ada 75 orang Madinah yang ikut baiat untuk siap membela dan melindungi Rasulullah SAW, jika beliau datang ke Madinah di kemudian hari. Dengan adanya bai’at ini, Rasulullah SAW pun melakukan persiapan untuk hijrah, dan baru dapat direalisasikan pada bulan Safar, meski ancaman maut dari orang-orang Quraisy senantiasa mengintai beliau.

Betapa besar dan berat perjuangan Rasul SAW waktu itu hingga setiap datang tarikh 1 Muharram, ingatan kita terlukis kembali pada puncak perjuangan beliau SAW 14 abad silam. Suatu perjuangan untuk membebaskan kaum muslimin dari kezaliman dan tindakan sewenang-wenang yang menimpa mereka disebabkan tindakan orang-orang kafir tersebut semakin hari semakin meningkat pada taraf yang sangat membahayakan masa depan Islam dan kaum muslim. Dengan izin Allah SWT, Rasulullah SAW beserta para sahabatnya yang setia, akhirnya meninggalkan tanah kelahirannya yang tercinta Makkah Al-Mukarramah untuk pindah ke negeri yang baru yaitu Yastrib (Madinah). Perpindahan beliau dari Makkah ke Yastrib inilah yang disebut “hijrah”, dan oleh Khalifah Umar bin Khattab dijadikan momentum dan starting point, pangkal tolok perjalanan sejarah Islam, dengan ucapannya: “Hijrah itu memisahkan antara yang hak dengan yang batil, kerana itu jadikanlah catatan sejarah”.


Peristiwa Bersejarah
 
Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan inilah berlakunya segala kejadian alam ini. Bulan Muharam juga merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-nya. Pada tarikh 1 Muharam itu juga Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mujizat kepada Nabi-Nabi-nya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah, namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, maka mereka dapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah
memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw:

"Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."

Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari dan bulan kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.

Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini sepertimana terdapat dalam satu hadis.

"Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka."

Sahabat pun bertanya, "Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari." Jawab Rasulullah, "benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan
menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura."

Maka pada hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya memohon keampunan.

Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.

Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh kehormatan.

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini
merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.

4. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.

5. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.

6. Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.

7. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan
terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s

8. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.

9. Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan
kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

10. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.


 
11. Pada 10 Muharram juga merupakan, hari pertama Allah menciptakan alam, menurunkan rahmat, menjadikan Malaikat Jibril, hari pertama Allah menurunkan hujan, Allah menjadikan 'Arasy dan Allah menjadikan Luh Mahfuz. 

Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw telah bersabda dengan maksudnya:

"Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh meninggalkannya."


Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.




12. Orang Yahudi menjadikan hari ini 10 Muharram sebagai perayaan, bagi menyatakan kegembiraan mereka kerana terselamat dari kekejaman Firaun. Mereka turut berpuasa pada hari ini dengan nama puasa Asyura’. Berdasarkan petunjuk nabi Muhammad saw, Islam menyuruh umat Islam supaya berpuasa pada hari ini kerana “kami lebih utama dari kamu (Yahudi) untuk memuliakan Musa”. Bagi membezakan amalan ini kepada umat Islam berdasarkan petunjuk nabi ialah berpuasa sehari sebelum atau sesudahnya.

13. Pada bulan Muharram adalah permulaan hijrah nabi dari Mekah ke Madinah yang kemudian menjadi permulaan Sejarah Islam, sedangkan Muharram adalah bulan terawal bagi orang Arab. Mereka telah memilih bulan Rabiulawal (yang merupakan berlaku hijrah sebenarnya) kepada Muharram, kerana bermula keazaman untuk berhijrah ialah pada bulan Muharram. Sementara “baiah” berlaku pada bulan Zulhijjah yang menjadi pengenalan hijrah. Justeru bulan terawal selepas baiah dan keazaman untuk berhijrah ialah bulan Muharram, maka ianya disesuaikan untuk dijadikan permulaan tahun Hijrah.

14. Pada pertengahan bulan Muharram tahun ketiga Hijrah, berlaku peperangan Qarqarah al-Kadr (Al-Kadr ialah salah satu sumber air bani Sulaim). Rasulullah saw telah keluar bersama sejumlah tentera di mana Ali bin Abi Talib r.a memegang panjinya dan Abdullah bin Ummu Maktum dibenarkan tinggal di Madinah. Nabi saw menuju tempat ini yang menghimpunkan Bani Sulaim dan Ghatfan. Namun nabi tiada mendapati seorangpun. Namun yang ada hanya seorang remaja yang menjaga gembalaan mereka yang dikenali “Yassar”. Lalu nabi bertanya beliau tentang oang ramai. Beliau menjawab: Saya tidak mengetahui tentang mereka. Kemudian Rasulullah beredar dan memenangi dengan nikmat ini, iaitu memperolehi 500 ekor unta dan “Yassar” dibawah kuasa nabi saw. Lalu beliau dimerdekakan. Peperangan ini berlangsung selama 15 hari. Namun Ibn Ishaq mengatakan peperangan ini belangsung pada bulan Syawal tahun kedua hijrah.

15.  Pada tanggal 10 Muharram 61H, terjadilah peristiwa yang memilukan dalam di sebuah tempat cucu Rasulullah sejarah Islam, iaitu terbunuhnya Husein yang bernama Karbala. Peristiwa ini kemudian dikenal dengan “Peristiwa Karbala”. Pembunuhan tersebut dilakukan oleh pendukung Khalifah yang sedang berkuasa pada saat itu iaitu Yazid bin Mu’awiyah, meskipun sebenarnya Khalifah sendiri ketika itu tidak inginkan pembunuhan tersebut. .


Pakej mandi bunga ke mandi kerbau..

Agak-agak korang berapa ramai manusia dalam Malaysia dan nusantara ni yang taksub sgt nak pakai susuk supaya cantik tanpa fikir apa akibatnya? Dulu aku pernah terbaca dalam akhbar harian tentang manusia yg cuba melawan takdir Allah Taala yang menjadikan beliau sebegitu rupa.. tapi demi nafsu untuk cantik sanggup menyusahkan diri dan meminta bantuan jin untuk capai hajat nafsunya... Ceritanya seperti ini..

KUALA TERENGGANU: Melihat rakan karib mati dalam keadaan ngeri apabila wajah berubah hodoh dengan kulit seolah-olah hangus akibat memakai susuk, seorang wanita insaf dan nekad membuang susuk dipakainya lebih 20 tahun.

Wanita berusia 48 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati berkata, kematian sahabatnya menginsafkannya menyebabkan dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana tidak sanggup mengalami nasib serupa.

“Bagaimanapun, bukan senang untuk membuang pelbagai susuk yang lebih 20 tahun tertanam di beberapa anggota tubuh kerana prosesnya amat menyeksakan. “Saya terpaksa berendam seminggu dalam kubang kerbau dengan bantuan bomoh yang membuang debu-debu susuk di dalam tubuh.

“Sepanjang seminggu itu, makanan dihantar bomoh berkenaan kerana kubang kerbau tempat saya berendam jauh daripada orang ramai,” katanya yang sedia berkongsi keterlanjuran silamnya sebagai iktibar kepada masyarakat.   Hayati berkata, dia mula memakai susuk ketika berusia 25 tahun berikutan ingin kelihatan cantik supaya kedai makan diusahakannya menarik pelanggan.


Harus diingat wahai para pembaca budiman sekalian bahawa pemakaian susuk yang berasaskan penanaman bahan tertentu didalam badan menggunakan jin yang menjaga bahan2 tersebut yang menjadikan mata org lain kabur. Sebenarnya secara fizikalnya anda tak berubah cumalah pemerhatian org lain yang berubah.. Siapalah manusia untuk merubah ciptaan Allah sedangkan dia lagi maha berkuasa. Dah la nak masukkan benda2 tu menyiksakan, nak hidup dgn benda tu menyiksakan (byk pantang larang) nak buang nya pun menyiksakan.. So pilihan di tangan anda..

Jadi persoalannya boleh ke pakai susuk ni? Jawapannya boleh.. Tak haram ke? Jawapannya tak haram selagi tak lari akidah.. Percaya pada tuhan bukan pada susuk.. Percaya pada doa dan bukan pada diri sendiri...

Macam mana nak pakai susuk ni? Ok pengenalannya saya namakan pemakaian susuk ni ilmu susuk air.. So apa keperluannya? Hanyalah sebekas air sebagai bahannya mudah kan?
Caranya:
  • sediakan air yang secukupnya untuk membasuh atau mengenakan muka anda
  • bacalah ayat yang diberi dengan mengikut tajwid, bilangan dan turutan yang diberi:
    • Bismillah hirrahma nirrohim - 313 kali
    •  Ya qowwi Ya mattin (Asma' 53&54) - 313 kali
    • Ya rohim Ya rahman (asma' 2&3) - 313 kali
    • Istighfar (Astaghfirullah hal adzim) - 99 kali
    • Selawat (Allah hum masolli a'la Muhammad waa'la ali muhammad) - 33 kali
  • kemudian berdoa dan minta apa yang diinginiseperti ingin kelihatan berseri, cantik, tampan, menawan dan lain2 niatkan apa yang anda inginkan dan niatlah di dlm hati tidak perlu kuat.
  • pastu, tariklah nafas sedalam-dalamnya tiupkan kt air tu 1x kali. Caranya semasa menarik nafas itu sebutkan "Al" dan semasa hembuskan sebut "Lah" yakni kalimah ALLAH..
  • minum sedikit dan ambil air tersebut basuh atau kena muka anda
Kalau nk buat mandian pun boleh, cuma kalau boleh tu jgn mandi dlm tandas la. mandi kt tmpt yang bersih (pandai2 la korang carik kat mane)  ..dan jika boleh diamalkan selama 40hari supaya lebih baik kesannya. kalau tak mampu, buat setakat yang termampu je la~ Insya ALLAH kalau ade izin ALLAH apa yang korang inginkan akan termakbul ..

So mudah jer nak buat. Korang tak payah nak bayar beratus ribu untuk pakai susuk atau mandi bunga..  Dah la siksa lagi mensyirikkan.. Dan lebih elok berhiaskan ayat2 Allah yang Qidam dari benda2 baharu yang tak pernah kekal.. Harus diingat.. bukanlah kesaktiannya terletak atas mandian tersebut sebaliknya doa yang dimakbulkan Allah itu jualah yang menjadi berkatnya.. Allah Hu-aklam..

Monday, November 26, 2012

Aku suka pada yang "TA" yang satu iaitu cinta...

Di suatu masa , saya pernah bercerita atau dalam erti kata lain sembang kosong atau dalam erti kata lain yg saya dang geng2 saya selalu sebutkan Sierra Tanggo (ST - Sembang Taik) tentang keperluan  malah 'pengantin veteran' perlu ada iaitu tiga 'ras' untuk kebahagiaan rumah tangga yang berkekalan iaitu:

waras (berkaliber sebagai pemimpin rumah tangga yang sentiasa berfikiran matang), 
beras (kemampuan menyediakan nafkah kehidupan) dan 
keras (kesihatan yang baik); 

Kemudian saya terdengar dalam suatu ceramah agama ustaz tersebut dalam ceramahnya mengutarakan tiga 'ta' yang katanya menjadi pembinasa lelaki. Saya pun tertunggu-tunggu dan tertarik ingin mengetahui apakah tiga 'ta' itu. Sama ada Rozita kah atau Permata yang Hilang kah,  

Yang pertama kata si ustaz, 'takhta' iaitu kedudukan, pangkat dan kuasa. Orang yang gila 'ta' ini tidak pernah puas dengan kedudukan yang sudah diraihnya. Jika tiada kuasa, dia mahu kuasa, jika sudah ada jawatan dan kuasa dia mahu yang lebih tinggi lagi. Dia sentiasa lapar kuasa, mungkin dia mahu kedudukan setinggi langit. Dia akan buat apa saja untuk mendapatkan kedudukan ini - soal halal haram - tiada dalam kamus kehidupannya. Yang penting orang puji dan sanjungnya berdasarkan kedudukan, pangkat dan kuasa yang dia ada.

'Ta' kedua kata si ustaz, adalah 'harta'. Orang gila harta ini juga akan berbuat apa saja untuk memperbanyak kepunyaannya, halal dan haram tolak ke tepi. Harta ini adalah dalam pelbagai bentuk, yang paling penting adalah wang. Terlalu ramai orang gila wang, ada yang siang malam berhempas pulas bekerja kerana mahukan wang yang banyak. Mereka akan gembira melihat angka besar wang mereka dalam bank. Dengan melihat angka saja mereka rasa senang, tidakkah itu gila namanya.Mengenai 'gila harta' ini, Nabi kita (s.a.w.), ada memberi amaran dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Andaikata anak cucu Adam (manusia) memiliki dua lembah emas, nescaya dia tetap menginginkan lembah (emas) yang ketiga, dan tidaklah penuh perut anak cucu Adam melainkan tanah, dan Allah memberi taubat kepada orang yang mahu bertaubat (kepada-Nya)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ustaz itu memberitahu 'ta' ketiga adalah wanita. Ramai lelaki yang nampak perkasa dengan mudah tewas dengan wanita yang lemah lembut sifatnya. Ramai raja, pahlawan, 'spy' (pengintip) malah ada ahli agama tersungkur di kaki wanita. Dengan pujuk rayu wanita sudah cukup untuk mencairkan hati lelaki, semuanya akan digadaikan termasuklah takhta dan harta. Inilah pembinasa lelaki paling hebat.

Dalam satu lagi ceramah yang saya dengar, si ustaz memberitahu perihal kelemahan orang lelaki dan wanita. Katanya, wanita cukup mudah tewas dengan harta kekayaan seperti assesori kehidupan seperti emas permata. Longgokkanlah harta di depan mereka, hati mereka akan cair. Orang tua ganyut yang meminang pun akan diterima asalkan dia berharta dan berkuasa. Cubalah orang tua tiada harta, tiada kuasa dan kedudukan mahu menyunting, mahukah mereka?

Jika perempuan lemah pada godaan harta benda, orang lelaki pula mudah tewas dengan perempuan, kata ustaz itu. Orang tua keriput yang berkuasa jika sudah kahwin orang muda, akan didengar dan diikuti saja kehendak isteri mudanya. Disepak dan diterajang oleh si isteri pun tak apa; bagi orang lain itu satu penghinaan, bagi si tua bangka tak sedar diri mungkin ia suatu keseronokan pula...syoknya kena sepak kerana yang melakukannya si intan payung cantik jelita daripada orang asing berbangsa mulia pula.

* Berkenaan 'takhta' (kedudukan, pangkat dan kuasa) kedudukan, pangkat dan kuasa tidak wajar dikejar; itu bukan matlamat orang beriman; bagi mereka kehadiran di dunia ini adalah untuk mendapatkan keredaan Illahi semata-mata. Namun bagi orang yang tidak mengejar dunia, dunia akan mengejarnya pula. Itulah kedudukan, pangkat dan kuasa akan diberikan kepada mereka. Pada ketika itu, ia menjadi amanah dan inilah yang ditakuti oleh insan beriman.

Seperti diperkatakan si ustaz pada awal celoteh, 'ta' (takhta) adalah pembinasa lelaki, namun jika 'ta' ini digunakan dengan ikhlas untuk mendapatkan reda Illahi, insya-Allah tugas berat yang dipikul ini akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Demikian juga dengan dua 'ta' lagi iaitu harta dan wanita jika ditangani semata-mata kerana Allah Taala, insya-Allah akan membawa kita ke syurga-Nya.

Sepanjang sejarah Islam, ketiga-tiga 'ta' ini telah digunakan bagi mengapai keredaan Illahi. Dengan 'taktha', telah ditegakkan negara Islam Madinah, dengan adanya 'harta', Sayidina Abu Bakar r.a. telah menunjukkan contoh apabila mendermakan seluruh miliknya untuk jihad fisabillah manakala dengan adanya wanita serikandi seperti Sayidatina Khadijah Khauwalid, Sayidatina Fatimah Rasulullah dan Sayidatina Aishah Abu Bakar telah membantu menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Mereka berdiri kukuh di sisi suami, bapa atau saudara mereka dalam perjuangan menegakkan Islam. Terbukti tiga 'ta' itu (takhta, harta dan wanita) jika dipimpin di jalan benar, semuanya adalah penyumbang ke arah syurga Allah, jika disalahgunakan akan menjerumuskan seseorang lelaki ke neraka Illahi!

Whoooppppa Gangnam Style....


Tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang saya kasihi sekalian.. Izinkan saya mencurahkan pengalaman "semalam di kedai tomyam" seorang rakan saya yang diberikan rahmat untuk mengetahui di sebalik sisi gelap kehidupan manusia bertopengkan syaitan di muka bumi ini.. Perbualan ini dalam bahasa inggeris. Oleh kerana kisah benar ini menarik minat saya maka dengan penuh minatnya saya mengolah semula kisah ini dengan menterjemahkannnya dalam bahasa melayu untuk bacaan semua..
 
Menurut teman saya ceritanya bermula begini... Malam itu setelah keluar dari masjid setelah selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke sebuah kedai makanan tomyam untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut. Selalunya tok siak masjid akan datang menemani saya dengan meneguk teh tarik kurang manis sebelum beliau pulang. Tapi al-maklumlah malam jumaat jadi malam tu besar tanggungjawab dia kat rumah tu. Apabila pelayan datang saya pun memesan nasi goreng kampung telur mata dengan air kelapa laut, makanan yang menjadi favorite saya. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut pergi datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,

"Encik, boleh saya duduk di sini..? Encik boleh lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."  "Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu.

Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Saudari seorang diri sahaja? Dan saudari kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"

Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah seorang kawan.."

"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon pintarnya.

"Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu." jawabnya dengan nada yang tegas dan berani. "Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan saudari.." jawab saya serta-merta. Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu.

"Encik mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya. "Jika saudari berminat untuk bercerita kepada saya, saya suka mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup air kelapa laut yang saya pesan. "Ok sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.." jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon pintarnya. Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.

"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali. "Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang saudari ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi. Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,

"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."

Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa. "Ok, kemudian..?" tukas saya lagi dengan perasaan yang ingin tahu. "Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu menceritakannya kepada encik. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar encik dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi. "Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.

"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."

"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam ataupun tidak."

"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…" kata saya lagi  "Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja. "Satu ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."

"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak berupaya dan mereka sangat kasihan."

"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."

Sampai di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak. Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya, "Hey, please don't cry here… people will look at us. Please calm down. I'm so sorry because make you telling me this story…" kata saya kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.

Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."

"Its ok.. its ok... (katanya sendu sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Encik tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri... Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."

Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."

"Sejurus selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya... dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah ini kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan adik saya sendiri."

"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan berputus asa."

"Dan kerana itu saya melihat saudari kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya. "Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan encik tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat Agama Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."

Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan." Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...

"Kisah saudari amat menarik tetapi menakutkan. Adakah saudari sudah mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik saudari, atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.

"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis, sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita." jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.

"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur saudari dan mengapa saudari berada di Malaysia? Dan... apa yang saudari sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu.

"Kamu agak saya berumur berapa…?" "Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur saudari." "Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah encik tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada jujur.

"Oh, saudari sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dosa penganiyaan mereka ke atas adik saudari dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..." kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk. "Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" balasnya dengan nada yang keras.

"Encik ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka." "Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut air kelapa laut yang masih bersisa dengan straw.

"Oh, jangan encik berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya. "Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah saudari. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat saudari seorang yang tabah, kuat dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya. "Oh ya, adakah saudari datang ke sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami saudari dan kerjaya saudari di Korea?" tanya saya kepadanya dengan meneka-neka.

"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam di sana. Encik kan tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum. "Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.

"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu dengan encik." ujarnya teruja dengan muka yang sangat gembira. Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.

Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah. Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.

Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.

Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.

Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam dunia. Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...

Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.

Allahu Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...