Showing posts with label hadith. Show all posts
Showing posts with label hadith. Show all posts

Wednesday, April 25, 2012

Neraka... Open for booking..

As’salamualaikum . Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu hari raya, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa’. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana , dan memberi salam dan memberi tazkirah seperti berikut:
“Assalamu’alaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, Aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka”.
Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?’ Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:
  • Kamu banyak mengutuk/menyumpah
  • Kamu kufurkan kebaikan suami
Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya:
  • Banyak beristighfar
  • Banyak bersedekah
Keterangan: Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah
 
Contoh 1 – Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, “Driver bas ni dah mampus agaknya.” Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.
 
Contoh 2 – Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata “Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis.” Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I’tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami. Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham apa yang dimaksudkan dengan ‘kufurkan kebaikan suami’.
Rasulullah SAW berkata,”Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,”Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”(Terjemahan langsung dari Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut:"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']
 
Rasulullah SAW sambung lagi ,’Mana-mana isteri yang berkata, “Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”, maka akan gugur pahala-pahala amalannya.’ Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari dua perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.
 
Fadhilat beristighfar:
a. Sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).” Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 X sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.
 
b .Sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita”
 
c. Istighfar juga memurahkan rezeki.
Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda.Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:
 
1. Tuturkata/percakapan yang baik.
Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu dikalangan isteri-isteri baginda.
 
Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, “Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tutur katanya”.
 
2. Memberi salam.
3. Memaniskan wajah.
Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda,”Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah.” Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :”Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.” Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifatburuk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

Monday, March 26, 2012

Menyingkap Kata-kata Rasulallah SAW..


Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tiada solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, tentu mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini pernyataan cukup jelas kepada umat Islam supaya mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Dilema generasi sekarang mahu bangun mengerjakan solat Subuh di rumah pun amat berat, apatah lagi jika diajak berjemaah di masjid. Rasulullah juga ada mengatakan solat berjemaah bagi solat Subuh dan Isyak diberi ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Namun, dalam situasi semasa yang kebanyakan manusia begitu sibuk mencari kemewahan duniawi, kesedaran untuk bersolat secara jemaah semakin hambar.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan Rasulallah dalam sabdanya itu? Mari kita kutip dan kupas sedikit apakah yang dimaksudkan oleh baginda dengan: Seandainya mereka mengetahui pahala di sebalik solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, tentu mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.

Menurut Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-MakkiKetika kita melangkah menuju ke masjid untuk solat berjemaah, seluruh tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan mendoakan kesejahteraan kita”.

Menurut baginda Rasulallah dalam satu hadis lain:

“Sembahyang Isyak itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku”

Sembahyang Isyak (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dirinya daripada terkena nyala api neraka dan diberikan kepadanya cahaya untuk menyeberangi Titian Sirath”
“Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari. Ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaita”. Seseorang mukmin yang mengerjakan sembahyang Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberikan kepadanya oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu dibebaskan daripada api neraka dan dibebaskan dari nifaq (kemunafikan)”
Mari kita jadikan firman Allah ini sebagai motivasi untuk gagah ke masjid bersolat berjemaah. Allah menegaskan: Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” (Maksud Surah Al-Isra’ ayat 78).

Inilah perintah Allah kepada kita semua agar sentiasa mematuhi suruhan mendirikan solat dan lihatlah bagaimana Allah mengkhususkan solat Subuh dengan memberikan pujian yang lebih, iaitu solat Subuh itu disaksikan malaikat.

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim).

Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari.

Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau 'Subuh gajah', iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: "Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya) ." (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: "Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya." Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh?

Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.".

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.Diriwayat kan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, "Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah).

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.