Showing posts with label Khalifah. Show all posts
Showing posts with label Khalifah. Show all posts

Friday, May 25, 2012

Imam Syafi'e - Anak Yatim yang Dimuliakan Allah...


Sedikit riwayat hidup Imam Besar As-Syafi'e yang saya terjemahkan dari tulisan Sheikh Ja'far Umar Thalib untuk iktibar dan ilmu buat semua.

Di kampung miskin di kota Ghazzah (orang Barat menyebutnya Gaza) di bumi Palestina, pada tahun150 H (bertepatan dengan tahun 694 M) lahirlah seorang bayi lelaki dari pasangan suami isteri yang berbahagia, Idris bin Abbas Asy-Syafi’e dengan seorang wanita dari suku Azad. Bayi lelaki keturunan Quraisy ini akhirnya dinamai Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e . Demikian nama lengkapnya sang bayi itu. Namun kebahagiaan keluarga miskin ini dengan kelahiran bayi tersebut tidaklah berlangsung lama. Kerana beberapa saat setelah kelahiran itu, terjadilah peristiwa menyedihkan iaitu ayah sang bayi meninggal dunia dalam usia yang masih muda. Bayi lelaki yang rupawan itu pun akhirnya hidup sebagai anak yatim.

Sang ibu sangat menyayangi bayinya sehingga anak yatim Quraisy itu membesar sebagai bayi yang sihat. Maka ketika ia telah berusia dua tahun dibawalah oleh ibunya ke Makkah untuk tinggal di tengah keluarga ayahnya di kampung Bani Mutthalib. Kerana anak yatim ini, dari sisi nasab ayahnya, berasal dari keturunan seorang Sahabat Nabi saw  yang bernama Syafi’e bin As-Sa’ib. Dan As-Sa’ib ayahnya Syafi’e, sempat tertawan dalam perang Badar sebagai seorang musyrik kemudian As-Sa’ib menebus dirinya dengan wang jaminan untuk mendapatkan status pembebasan dari tawanan Muslimin. Dan setelah dia dibebaskan, iapun masuk Islam di tangan Rasulullah saw . Maka nasab bayi yatim ini secara lengkap adalah sebagai berikut: Muhammad bin Idris bin Al-Abbas bin Utsman bin Syafi’e bin As-Sa’ib bin Ubaid bin Abdi Yazid bin Hasyim bin Al-Mutthalib bin Abdi Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin An-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan. Dari nasab tersebut, Al-Mutthalib bin Abdi Manaf, datuk Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e, adalah saudara kandung Hasyim bin Abdi Manaf datuk Nabi Muhammad saw yang juga saudara kandung Abdul Mutthalib bin Hasyim, datuk Nabi Muhammad saw , bernama Syifa’, dinikahi oleh Ubaid bin Abdi Yazid sehingga melahirkan anak bernama As-Sa’ib, ayahnya Syafi’e. Kepada Syafi’e bin As-Sa’ib r.a inilah bayi yatim tersebut dinisbahkan nasabnya sehingga terkenal dengan nama Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e Al-Mutthalibi. Dengan demikian nasab yatim ini sangat dekat dengan Nabi Muhammad saw . Bahkan kerana Hasyim bin Abdi Manaf yang kemudian melahirkan Bani Hasyim, adalah saudara kandung dengan Mutthalib bin Abdi manaf, yang melahirkan Bani Mutthalib, maka Rasulullah saw bersabda:
“Hanyalah kami (yakni Bani Hasyim) dengan mereka (yakni Bani Mutthalib) berasal dari satu nasab. Sambil beliau menyilang-nyilangkan jari jemari kedua tangan beliau.” (HR. Abu Nu’aim Al-Asfahani dalam Hilyah nya juz 9 hal. 65 – 66).

Di lingkungan Bani Al-Mutthalib, dia membesar menjadi anak lelaki yang penuh gagah dan tampan. Di usia kanak-kanaknya dia sibuk dengan latihan memanah sehingga di kalangan teman sebayanya dia amat jitu dalam memanah. Bahkan dari sepuluh anak panah yang dilepaskannya sepuluh yang kena sasaran sehingga dia terkenal sebagai anak muda yang ahli memanah. Demikian terus kesibukannya dalam panah memanah sehingga ada seorang ahli perubatan waktu itu yang menasihatinya. Doktor itu menyatakan kepadanya: “Bila engkau terus menerus demikian maka sangat dikuatirkan akan terkena penyakit luka pada paru-parumu kerana engkau terlalu banyak berdiri di bawah panas terik mata hari.” Maka mulailah anak yatim ini mengurangi kegiatan panah memanah dan mengisi waktu dengan belajar bahasa Arab dan menekuni bait-bait syair Arab sehingga dalam waktu yang singkat anak muda dari Quraisy ini menjadi tokoh yang disegani dalam bahasa Arab dan syair dalam usia kanak-kanak. Di samping itu dia juga menghafal Al-Quran sehingga pada usia tujuh tahun telah menghafal Al-Quran keseluruhannya. 

Demi ia merasakan manisnya ilmu maka dengan taufiq Allah dan hidayah-Nya dia mulai senang mempelajari fiqh setelah menjadi tokoh dalam bahasa Arab dan syair. Remaja yatim ini belajar fiqih dari para Ulamak fiqih yang ada di Makkah seperti Muslim bin khalid Az-Zanji yang waktu itu berkedudukan sebagai mufti Makkah. Kemudian beliau juga belajar dari Dawud bin Abdurrahman Al-Atthar. Juga beliau belajar dari bapa saudaranya yang bernama Muhammad bin Ali bin Syafi’e dan juga menimba ilmu dari Sufyan bin Uyainah. Guru yang lainnya dalam fiqih ialah Abdurrahman bin Abi Bakr Al-Mulaiki, Sa’id bin Salim, Fudhail bin Al-Ayyadl dan masih banyak lagi yang lainnya. Dia pun semakin menonjol dalam bidang fiqih hanya dalam beberapa tahun saja duduk di berbagai halaqah ilmu para Ulamak fiqih sebagaimana tersebut di atas. Oleh kerana telah dahagakan ilmu beliau akhirnya berangkat dari Makkah menuju Al-Madinah An Nabawiyah untuk belajar di halaqah Imam Malik bin Anas di sana. Di majlis beliau ini si anak yatim tersebut menghafal dan memahami dengan cemerlang kitab karya Imam Malik iaitu Al-Muwattha’ . Kecerdasannya membuat Imam Malik amat mengaguminya. Sementara itu As-Syafi’e sendiri sangat cenderung meneladani dan sangat mengagumi Imam Malik di Al-Madinah dan Imam Sufyan bin Uyainah di Makkah. Beliau menyatakan kekagumannya setelah menjadi Imam dengan pernyataannya yang terkenal berbunyi: “Seandainya tidak ada Malik bin Anas dan Sufyan bin Uyainah nescaya akan hilanglah ilmu dari Hijaz.” Juga beliau menyatakan lebih lanjut kekagumannya kepada Imam Malik: “Bila datang Imam Malik ke suatu majlis maka Malik menjadi bintang di majlis itu.” Beliau juga sangat tertarik dengan kitab Al-Muwattha’ Imam Malik sehingga beliau menyatakan: “Tidak ada kitab yang lebih bermanfaat setelah Al-Quran, lebih dari kitab Al-Muwattha’ .” Beliau juga menyatakan: “Aku tidak membaca Al-Muwattha’ Malik, kecuali mesti bertambah pemahamanku.” Dari berbagai pernyataan beliau di atas dapatlah diketahui bahawa guru yang paling beliau kagumi adalah Imam Malik bin Anas dan Imam Sufyan bin Uyainah. Di samping itu pemuda ini juga duduk menghafal dan memahami ilmu dari para Ulamak yang ada di Al-Madinah seperti Ibrahim bin Sa’ad, Isma’il bin Ja’far, Atthaf bin Khalid dan Abdul Aziz Ad-Darawardi. Beliau banyak pula menghafal ilmu di majlis Ibrahim bin Abi Yahya. Tetapi sayang guru beliau yang disebutkan terakhir ini adalah pendusta dalam meriwayatkan hadis serta memiliki pandangan yang sama dengan madzhab Qadariyah yang menolak untuk beriman kepada takdir dan berbagai kelemahan fatal lainnya. Sehingga ketika pemuda Quraisy ini telah terkenal dengan gelar sebagai Imam Syafi’e khususnya di akhir hayat beliau, beliau tidak mau lagi menyebut nama Ibrahim bin Abi Yahya ini dalam berbagai periwayatan ilmu.

Ketika Muhammad bin Idris As-Syafi’e Al-Mutthalibi Al-Qurasyi telah berusia dua puluh tahun dia sudah memiliki kedudukan yang tinggi di kalangan Ulamak di zamannya dalam berfatwa dan berbagai ilmu yang berkisar pada Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi beliau masih tidak berpuas hati dengan ilmu yang dicapainya. Maka beliaupun berangkat menuju negeri Yaman untuk mempelajari ilmu dari para Ulamak disana pula. Disebutkanlah sederet Ulamak Yaman yang didatangi oleh beliau ini seperti Mutharrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf Al-Qadli dan banyak lagi yang lainnya. Dari Yaman beliau melanjutkan musafir ilmiahnya ke kota Baghdad di Iraq dan di kota ini beliau banyak mengambil ilmu dari Muhammad bin Al-Hasan, seorang ahli fiqih di negeri Iraq. Juga beliau mengambil ilmu dari Isma’il bin Ulaiyyah dan Abdul Wahhab Ats-Tsaqafi dan masih banyak lagi yang lainnya. 

Sejak di kota Baghdad, Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi`ie mulai dikerumuni para muridnya dan mulai menulis berbagai keterangan agama. Juga beliau mulai membantah beberapa keterangan para Imam ahli fiqih dalam rangka mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw . Kitab fiqih dan Ushul Fiqih pun mulai ditulisnya. Populariti beliau di dunia Islam yang semakin luas menyebabkan banyak orang semakin kagum dengan ilmunya sehingga orang pun berbondong-bondong mendatangi majlis ilmu beliau untuk menimba ilmu. Tersebutlah tokoh-tokoh ilmu agama ini yang mendatangi majlis beliau untuk menimba ilmu dari beliau seperti Abu Bakr Abdullah bin Az-Zubair Al-Humaidi (beliau ini adalah salah seorang guru Al-Imam Al-Bukhari), Abu Ubaid Al-Qasim bin Sallam, Ahmad bin Hambal (yang kemudian terkenal dengan nama Imam Hambali), Sulaiman bin Dawud Al-Hasyimi, Abu Ya’qub Yusuf Al-Buaithi, Abu Tsaur Ibrahim bin Khalid Al-Kalbi, Harmalah bin Yahya, Musa bin Abil Jarud Al-Makki, Abdul Aziz bin Yahya Al-Kinani Al-Makki (pengarang kitab Al-Haidah ), Husain bin Ali Al-Karabisi (beliau ini sempat di tahdzir oleh Imam Ahmad kerana berpendapat bahawa lafaz orang yang membaca Al-Quran adalah makhluq), Ibrahim bin Al-Mundzir Al-Hizami, Al-Hasan bin Muhammad Az-Za’farani, Ahmad bin Muhammad Al-Azraqi, dan masih banyak lagi tokoh-tokoh ilmu yang lainnya. Dari murid-murid beliau di Baghdad yang paling terkenal dan sangat mengagumi beliau adalah Imam Ahmad bin Hambal atau terkenal dengan gelaran Imam Hambali. (***Tahdzir adalah: memperingatkan umat dari kesalahan individu atau kelompok dan membantah kesalahan tersebut; dalam rangka menasehati mereka dan mencegah agar umat tidak terjerumus ke dalam kesalahan serupa).


Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Mizzi dengan sanadnya bersambung kepada Imam Abdullah bin Ahmad bin Hambal (putra Imam Hambali). Beliau menceritakan: “Aku pernah bertanya kepada ayahku  Maka ayahku menjawab: .” Diriwayatkan pula bahawa Sulaiman bin Al-Asy’ats menyatakan: “Aku melihat bahawa Ahmad bin Hambal tidaklah condong kepada seorangpun seperti condongnya kepada As-Syafi’e.” Al-Maimuni meriwayatkan bahawa Imam Hambali menyatakan: “Aku tidak pernah meninggalkan doa kepada Allah di sepertiga terakhir malam untuk enam orang. Salah satunya ialah untuk As-Syafi’e.” Diriwayatkan pula oleh Imam Shalih bin Ahmad bin Hambal (putra Imam Hambali): “Pernah ayahku berjalan di samping keledai yang ditumpangi Imam Syafi’e untuk bertanya-tanya ilmu kepadanya. Maka melihat demikian, Yahya bin Ma’ien sahabat ayahku mengirim orang untuk menegur beliau. Yahya menyatakan kepadanya: kuniah bagi Imam Hambali), mengapa engkau ridla untuk berjalan dengan keledainya As-Syafi’e?>. Maka ayah pun menyatakan kepada Yahya: kuniah bagi Yahya bin Ma’ien), seandainya engkau berjalan di sisi lain dari keledai itu nescaya akan lebih bermanfaat bagimu>.” Di samping Imam Hambali yang sangat mengaguminya juga diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi dalam ktab Tarikh nya dengan sanadnya dari Abu Tsaur. Dia menceritakan: “Abdurrahman bin Mahdi pernah menulis surat kepada As-Syafi’e, dan waktu itu As-Syafi’e masih muda belia. Dalam surat itu Abdurrahman meminta kepadanya untuk menuliskan untuknya sebuah kitab yang terdapat padanya makna-makna Al Quran, dan juga mengumpulkan berbagai macam tingkatan hadis, keterangan tentang kedudukan ijma’ (kesepakatan Ulamak) sebagai hujjah / dalil, keterangan hukum yang nasikh (yakni hukum yang menghapus hukum lainnya) dan hukum yang mansukh (yakni hukum yang telah dihapus oleh hukum yang lainnya), baik yang ada di dalam Al-Quran maupun As-Sunnah. Maka As-Syafi’e mula menuliskan untuknya kitab Ar-Risalah dan kemudian dikirimkan kepada Abdurrahman bin Mahdi. Begitu membaca kitab Ar-Risalah ini, Abdurrahman menjadi sangat kagum dan sangat senang kepada As-Syafi’e sehingga beliau menyatakan: “Setiap kali aku solat aku selalu mendoakan As-Syafi’e.” Kitab Ar-Risalah karya Imam Syafi’e akhirnya menjadi kitab rujukan utama bagi para Ulamak dalam ilmu Ushul Fiqih sampai hari ini. Pujian para Ulamak dan kekaguman mereka bukan saja datang dari orang-orang yang seangkatan dengan beliau dalam ilmu akan tetapi datang pula pujian itu dari para Ulamak yang menjadi guru beliau. Antara lain ialah Sufyan bin Uyainah salah seorang guru beliau yang sangat dikaguminya. Sebaliknya Sufyan pun sangat mengagumi Imam As-Syafi’e sampai diceritakan oleh Suwaid bin Saied sebagai berikut: “Aku pernah duduk di majlis ilmu Sufyan bin Uyainah. As-Syafi’e datang ke majlis itu masuk sembil mengucapkan salam dan langsung duduk untuk mendengarkan Sufyan yang sedang menyampaikan ilmu. Waktu itu Sufyan sedang membaca sebuah hadis yang sangat menyentuh hati. Betapa lembutnya hati beliau saat mendengar hadis itu menyebabkan As-Syafi’e mendadak pengsan. Orang-orang di majlis itu menyangka bahawa As-Syafi’e meninggal dunia sehingga peristiwa ini dilaporkan kepada Sufyan: . Maka Sufyan pun menyatakan: .” Demikian pujian para Ulamak yang sebagiannya saya nukilkan dalam tulisan ini untuk menggambarkan kepada para pembaca sekalian betapa beliau sangat tinggi kedudukannya di kalangan para Ulama yang sezaman dengannya. Apalagi tentunya para Ulamak yang sesudahnya.

Imam As-Syafi’e tinggal di Baghdad hanya dua tahun. Setelah itu beliau berhijrah ke Mesir dan tinggal di sana sampai beliau wafat pada tahun 204 H dan usia beliau ketika wafat 54 tahun. Beliau telah meninggalkan warisan yang tak ternilai iaitu ilmu yang beliau tulis di kitab Ar-Risalah dalam ilmu Ushul Fiqih. Di samping itu beliau juga menulis kitab Musnad As-Syafi’e  berupa kumpulan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh beliau dan kitab Al-Um berupa kumpulan keterangan beliau dalam masalah fiqih. Sebagaimana kitab Al-Um  kumpulan riwayat keterangan Imam As Syafi’e dalam fiqih juga disusun oleh Al-Imam Al-Baihaqi dan diberi nama Ma’rifatul Aatsar was Sunan. Al-Imam Abu Nu’aim Al-Asfahani membawakan beberapa riwayat nasihat dan pernyataan Imam As-Syafi’e dalam berbagai masalah yang menunjukkan pendirian Imam As-Syafi’e dalam memahami agama ini. Beberapa riwayat Abu Nu’aim tersebut kami nukilkan sebagai berikut :  Imam As-Syafi’e menyatakan: “Bila aku melihat Ahli Hadis, seakan aku melihat seorang dari Sahabat Nabi saw .” (HR. Abu Nu’aim Al-Asfahani dalam kitab Al-Hilyah nya juz 9 halaman 109). Ini menunjukkan betapa tinggi penghargaan beliau kepada para Ahli Hadis.

Imam As-Syafi’e menyatakan: “Sungguh seandainya seseorang itu ditimpa dengan berbagai amalan yang dilarang oleh Allah selain dosa syirik, lebih baik baginya daripada dia mempelajari ilmu kalam.” (HR. Abu Nu’aim Al-Asfahani dalam Al-Hilyah nya juz 9 halaman 111).
Beliau menyatakan juga: “Seandainya manusia itu mengerti bahaya yang ada dalam Ilmu Kalam dan hawa nafsu, nescaya dia akan lari daripadanya seperti dia lari dari harimau.”
Ini menunjukkan betapa beliau menentang Ilmu Kalam, suatu ilmu yang membahas perkara Tauhid dengan cara pembahasan ilmu filsafat.

Diriwayatkan oleh Ar-Rabi’ bin Sulaiman bahawa dia menyatakan: Aku mendengar As-Syafi’e berkata: “Barangsiapa mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk, maka sungguh dia telah kafir.” ((HR. Abu Nu’aim Al-Asfahani dalam Al-Hilyah nya juz 9 halaman 113).

Diriwayatkan pula oleh Abu Nu’aim Al-Asfahani bahawa Al-Imam As-Syafi’e telah mengkafirkan seorang tokoh ahli Ilmu Kalam yang terkenal dengan nama Hafs Al-Fardi kerana dia menyatakan di hadapan beliau bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Demikian tegas Imam As-Syafi’e dalam menilai mereka yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk. Dan memang para Ulamak Ahlis Sunnah wal Jamaah telah sepakat untuk mengkafirkan siapa yang meyakini bahawa Al-Quran itu makhluk.

Al-Imam Adz-Dzahabi meriwayatkan pula dengan sanadnya dari Al-Buwaithie yang menyatakan: “Aku bertanya kepada As-Syafi’e: Maka beliau pun menjawabnya: . Akupun bertanya lagi kepada beliau: Maka beliau pun menjawab: .” 

Demikian Imam As-Syafi`e mengajarkan sikap terhadap Ahlil Bidaah seperti yang disebutkan contohnya dalam pernyataan beliau iaitu orang-orang yang mengikuti aliran Rafidlah yang sering dinamakan Syiah. Aliran Syiah terkenal dengan sikap kebencian mereka kepada para Sahabat Nabi saw  khususnya Abu Bakar dan Umar. Di samping Rafidlah masih ada aliran bidaah lainnya seperti Qadariyah iaitu aliran pemahaman yang menolak beriman kepada rukun iman yang keenam (iaitu keimanan kepada adanya taqdir Allah Ta`ala). Juga aliran Murji’ah yang menyatakan bahawa iman itu hanya keyakinan yang ada di hati dan amalan itu tidak termasuk dari iman. Murji’ah juga menyatakan bahawa iman itu tidak bertambah dengan perbuatan ketaatan kepada Allah dan tidak pula berkurang dengan kemaksiatan kepada Allah. Semua ini adalah pemikiran sesat, yang menjadi alasan bagi Imam As-Syafi’e untuk melarang orang solat di belakang imam yang berpandangan dengan salah satu dari pemikiran-pemikiran sesat ini.

Imam As-Syafi’e juga amat keras menganjurkan umat Islam untuk jangan bertaqlid (yakni mengikut dengan membabi buta) kepada seseorang pun sehingga meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah ketika pendapat orang yang diikutinya itu menyelisihi pendapat keduanya. Hal ini dinyatakan oleh beliau dalam beberapa pesan sebagai berikut: Al-Hafidh Abu Nu`aim Al-Asfahani meriwayatkan dalam Kitab Hilyah dengan sanad yang soheh riwayat Abdullah bin Ahmad bin Hambal, katanya: “Ayahku telah menceritakan kepadaku bahawa Muhammad bin Idris Asy-Syafi’e berkata: .” 

Demikianlah para Ulamak bersikap tawaduk sebagai keperibadian utama mereka. Sehingga tidak menjadi masalah bagi mereka bila guru mengambil manfaat dari muridnya dan muridnya yang diambil manfaat oleh gurunya tidak pula kemudian menjadi congkak dengannya. Tetap saja sang murid mengakui dan mengambil manfaat dari gurunya meskipun sang guru mengakui di depan umum tentang ketinggian ilmu si murid. Guru-guru utama Imam Asy Syafi’e, Imam Malik dan Imam Sufyan bin Uyainah, dengan terang-terangan mengakui keutamaan ilmu As-Syafi’e. Bahkan Imam Sufyan bin Uyainah banyak bertanya kepada Imam Asy-Syafi’e saat Imam Syafi’e ada di majlisnya. Padahal Imam Asy-Syafi’e duduk di majlis itu sebagai salah satu murid beliau, dan bersama para hadirin yang lainnya mereka selalu mengerumuni Imam Sufyan untuk menimba ilmu daripadanya. Tetapi meskipun demikian Imam Syafi’e tidak terpengaruh oleh sanjungan gurunya. Beliau tetap mendatangi majlis gurunya dan memuliakannya. Di samping itu hal yang amat penting pula dari pernyataan Imam Asy-Syafi’e kepada Imam Ahmad bin Hambal tersebut di atas menunjukkan kepada kita betapa kuatnya semangat beliau dalam merujuk kepada hadis soheh untuk menjadi pegangan dalam bermazhab biar dari manapun hadis soheh itu berasal.

Imam Asy-Syafi’e menyatakan pula “Semua hadis yang dari Nabi saw maka itu adalah sebagai hujahku. Walaupun kamu semua tidak mendengarnya dariku.” 

Demikian beliau memberikan ajaran kepada para murid beliau bahawa hadis soheh itu adalah dalil yang sah bagi segala pendapat dalam agama ini. Maka pendapat dari siapapun bila menyelisihi hadis yang soheh tentu tidak akan dapat menggugurkan hadis soheh itu. Bahkan sebaliknya pendapat yang demikianlah yang harus digugurkan dengan adanya hadis soheh yang menyelisihinya.

P e n u t u p :
Masih banyak mutiara hikmah yang ingin saya garapkan dalam tulisan ini dari riwayat hidup Imam Asy-Syafi’e. Namun dalam kesempatan ini rasanya tidak cukup halaman blog ini untuk saya memuatkan segala kemilau mutiara hikmah riwayat hidup beliau itu. Bahkan telah ditulis oleh para Imam-Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah kitab-kitab tebal yang berisi untaian mutiara hikmah riwayat hidup Imam besar ini. Seperti Al-Imam Al-Baihaqi menulis kitab Manaqibus Syafi’e  juga Ar-Razi menulis kitab dengan judul yang sama. Kemudian Ibnu Abi Hatim menulis kitab berjudul Aadaabus Syaafi’ie . Dan masih banyak lagi yang lainnya. Itu semua menunjukkan kepada kita betapa agungnya Imam besar ini di mata para Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Semoga Allah Taala menggabungkan kita di barisan mereka di hari kiamat nanti, insyaallah.. Alfatihah buatmu khalifah dan ilmuan islam yang banyak berjasa kepada agama kita…

Tuesday, April 3, 2012

Biodata Syaidina Ali Bin Abi Tholib R.A

Saidina Ali Abi Talib ialah Imam Islam pertama selepas Rasulullah SAW dan khalifah terakhir Islam daripada Khulafa al-Rasyidin. Beliau juga ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengahwini anak perempuan Rasulullah s.a.w. iaitu Fatimah.


Saidina Ali dilahirkan di Makkah pada tahun 598. Bapa Saidina Ali, Abu Talib ialah pembesar puak Quraisy dan juga ialah bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w.. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Saidina Ali telah memeluk Islam ketika berumur 8 tahun dan merupakan kanak-kanak yang mula-mula sekali memeluk Islam. Setengah riwayat menyatakan bahawa beliaulah yang paling dahulu Islam dari Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A. Saiyidina Ali Bin Abu Talib termasuk ahli keluarga Rasulullah S.A.W. sendiri kerana beliau adalah anak saudara baginda yang membesar dalam asuhan dan pemeliharaan Nabi S.A.W. 

Saiyidina Ali R.A. dilahirkan dalam Kaabah, kiblat yang menjadi kerinduan ummat Islam. Mula-mula yang dilihatnya ialah Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah sedang sembahyang. Ketika beliau ditanyakan kenapa memeluk Islam tanpa lebih dahulu mendapat izin ayahnya, Ali R.A. menjawab, "Apa perlunya aku bermesyuarah dengan ayah demi untuk mengabdi kepada Allah?

Saiyidina Ali R.A. pernah berkata, "Aku telah menyembah Allah S.W.T. lima tahun sebelum disembah sesiapapun dari ummat Muhammad ini". Bahkan beliau adalah salah seorang yang pertama bersembahyang bersama Rasulullah S.A.W. Dalam hubungan ini Anas Bin Malik R.A. pernah berkata, "Muhammad diangkat menjadi Rasulullah pada hari Isnin, sedang Ali Bin Abi Talib sudah ikut sembahyang bersama baginda Rasul pada keesokan harinya. 

 Saiyidina Ali R.A. bukan sahaja seorang sahabat besar Rasullullah S.A.W. serta yang paling dicintai oleh baginda bahkan beliau juga seorang manusia luarbiasa yang memiliki ilmu bagaikan lautan, kefasihan lidahnya yang tiada bandingan sebagai seorang ahli sastera dan pidato, di samping seorang pahlawan yang tiada seorangpun dapat menafikan kehandalannya di antara barisan pahlawan-pahlawan yang terbilang. 


Pada mulanya agama Islam hanya berkembang di sekitar lingkungan rumah Rasulullah S.A.W. sahaja, yakni berkisar pada diri Rasulullah S.A.W., isterinya Siti Khadijah, Ali dan Zaid Bin Haritsah. Pada suatu hari Nabi Muhammad S.A.W. telah mengundang sekelian sanak saudaranya pada satu jamuan di rumahnya. Setelah mereka itu datang maka Rasulullah S.A.W. pun menerangkan kepada mereka itu tentang agama Islam yang dibawanya itu. Maka Abu Lahab memutuskan pembicaraannya serta menyuruh hadirin yang lain supaya meninggalkan jamuan makan itu. Pada keesokan harinya Rasulullah S.A.W. mengadakan pula jamuan makan, dan setelah selesai bensantap, maka bersabdalah Rasul S.A.W.

"Saya rasa tak ada seorang yang membawa sesuatu yang lebih mulia daripada yang ku bawa sekarang. Maka siapakah di antara kalian yang akan menolongku? Tatkala mendengarkan rayuan Rasul itu mereka semua marah lalu bangkit untuk meninggalkan rumah itu. Tetapi Ali yang masih lagi belum baligh ketika itu lantas bangun seraya berkata, "Hai Rasulullah, akulah yang akan menolongmu. Aku akan memerangi sesiapa sahaja yang akan memerangimu , lalu disambut oleh hadirin dengan tertawa sambil melihat-lihat Abu Talib dan anaknya itu. Kemudian meneka meninggalkan rumah Rasul itu sambil mengejek-ejek. 




Abu Talib, bapa saudara Rasul adalah seorang yang miskin lagi susah hidupnya serta mempunyai ramai anak. Maka dengan maksud untuk meringankan beban Abu Talib itulah atas fikiran. Nabi S.A.W., Saiyidina Abbas Bin Abu Muttalib telah mengambil Ja'afar menjadi tanggungannya sedang Rasul sendiri mengambil Ali. Dengan hal demikian tumbuhlah Ali Bin Abu Talib sebagai seorang pemuda di tengah-tengah keluarga Rasulullah dan langsung memperoleh asuhan dan baginda. Saiyidina Ali R.A. banyak mengambil tabi'at Nabi S.A.W. dan beliaulah yang terdekat sekali hubungannya dengan Rasul serta yang paling dicintainya. 

Demikian akrabnya Saiyidina Ali R.A. dengan Rasulullah S.A.W. hinggakan beliau hampir-hampir tidak pernah berpisah sejengkal pun dari Rasulullah S.A.W. baik di waktu suka mahupun di waktu susah. Pergorbanannya terhadap Islam dan Rasulnya adalah demikian besar sekali dan akan selamanya menjadi contoh keutamaan yang tiada bandingannya dalam sejarah ummat Islam.

Tatkala Rasulullah S.A.W. melakukan hijrah ke Madinah di atas perintah Allah S.W.T. bagi menyelamatkan dirinya dari rencana pihak musyrikin Quraisy yang bertujuan hendak membunuhnya, maka kepada Saiyidina Ali R.A. ditugaskan oleh baginda untuk tidur di tempat tidurnya pada malam yang sangat genting itu. Walaupun tugas itu sangat berat dan merbahaya sekali namun Saiyidina Ali R.A. sebagai sifatnya seorang pejuang yang sejati, telah menyanggupi tugas tersebut dengan hati yang ikhlas dan gembira, kerana beliau mengerti bahawa berpeluang menyerahkan nyawanya demi untuk menebus seorang Rasul. Bahkan beliau juga mengerti bahawa tugas yang dilaksanakannya itu akan merupakan pengorbanan yang tidak ada tolok bandingannya di kemudian hari.

Setelah Rasulullah S.A.W. selamat sampai ke Madinah, tidak lama kemudiannya tibalah pula rombongan Saiyidina Ali R.A. Apakala ramai kaum Muhajinin sampai di kota Madinah itu, Rasullullah S.A.W. telah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Tetapi anihnya dalam hubungan ini Rasulullah tidak mempersaudarakan Saiyidina Ali R.A. dengan sesiapapun juga, hanya baginda berkata kepada Saiyidina Ali, demikian sabdanya, "Wahai Ali, engkau adalah saudaraku di dunia dan saudaraku juga di Akhirat. Demikian jelaslah bahawa baginda telah mempersaudarakan Saiyidina Ali dengan diri baginda sendiri. Kesayangan Rasulullah S.A.W. terbukti dengan menjodohkan Saiyidina Ali R.A. dengan puteri yang paling disayanginya iaitu Fatimah Az-Zahrah, seorang wanita yang paling utama di syurga, padahal sebelum itu Fatimah sudah pernah dilamar oleh Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar Al Khattab R.A. tetapi Rasulallah menolaknya dengan lemah lembut dan dengan cara yang bijaksana.

Sebagai seorang yang gagah berani dan sahabat yang paling disayangi baginda Rasulallah, Saiyidina Ali R.A. tidak pernah ketinggalan dalam mana-mana peperangan baik besar mahupun kecil yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Beliau telah melakukan peranan yang penting dalam Peperangan Badar yang terkenal itu. Ketika itu beliau merupakan seorang pemuda yang gagah dan tampan masih dalam lingkungan 20an  lagi. Dalam peperangan itulah buat pertama kalinya Rasulullah S.A.W. telah menyerahkan panji-panji peperangan kepada Saiyidina Ali R.A. dimana beliau telah menjalankan tugasnya dalam peperangan tersebut dengan cemerlang sekali. 

Setelah peperangan tamat para sahabat tidak menemui Nabi S.A.W. di tengah-tengah mereka. Dalam keadaan mereka tertanya-tanya itu tiba-tiba muncul Rasulullah S.A.W. bersama Saiyidina Ali R.A. seraya baginda bersabda, "Saya sebenarnya ada di belakang kalian sedikit kerana merawati perut Ali yang luka. Dari peristiwa ini dapatlah dilihat betapa besarnya kecintaan baginda terhadap Saiyidina Ali R.A. dan bagaimana pula besarnya pengorbanan Ali R.A. dalam menegakkan kemuliaan Agama Islam. 

Semasa berlakunya Perang Badar, Saidina Ali menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba di samping askar-askar Makkah yang lain. disamping itu para sahabat Rasulullah juga memainkan peranan yang penting di sisi Nabi sebagai pejuang agama Allah. Beliau mengahwini Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w. Ketika itu beliau berumur 25 tahun dan Siti Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Saidina Ali menjual baju besi perangnya untuk dijadikan mahar. walaupun begitu para sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu demi memuliakan Rasulullah SAW, kekasih yang amat mereka cintai. Sepanjang sepuluh tahun Nabi Muhammad s.a.w. mengetuai penduduk Madinah, Saidina Ali senantiasa menolong dan membantu baginda demi kemajuan umat Islam.

Dalam apa jua peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W., Saiyidina Ali R.A. tetap berada di samping baginda. Pada suatu ketika iaitu dalam Perang Tabuk, tiba-tiba Rasulullah S.A.W. tidak membenarkan Saiyidina Ali R.A. untuk menyertai baginda hingga sikap Rasulullah S.A.W. itu telah dijadikan modal fitnah oleh pihak musuh-musuh Islam serta kaum munafik konon baginda tidak senang hati terhadap Saiyidina Ali R.A. Jika tidak demikian masakan baginda menegahnya menyertai perang. Sebagai seorang yang benar dan mencintai kebenaran Saiyidina Ali R.A. kurang berasa senang mendengar desas-desus yang kurang menyenangkan itu lantas beliau terus menjumpai Rasul untuk meminta penjelasan. Sebagai menghilangkan keraguan beliau itu, Rasul lalu bersabda kepadanya, "Tidakkah engkau rela hai Ali, kedudukanmu di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa?" Mendengarkan kata-kata Rasulullah s.a.w yang menyejukkan jiwanya itu maka barulah puas Saiyidina Ali R.A. 

Perkataan Rasul itu terang memperlihatkan betapa besarnya kecintaan dan penghormatan baginda terhadap dirinya. Dalam Perang Khaibar pula di mana sebuah ibu kota kaum Yahudi yang sukar dapat ditakluki oleh angkatan tentera Islam. Saiyidina Ali R.A. telah memainkan peranannya yang utama sekali. Pada mulanya pihak Islam gagal untuk menakluki kota tersebut sekalipun telah dilakukan pengepungan beberapa hari lamanya. Dalam detik-detik yang sukar itulah akhirnya Rasulullah S.A.W. bersabda "Saya akan menyerahkan panji-panji peperangan esok pada seorang lelaki yang mencintai Allah dan RasulNya dan dicintai oleh Allah dan RasulNya". 

Sekelian panglima pasukan masing-masing mengharapkan agar dirinya akan diserahkan panji-panji tersebut kerana setiap mereka bercita-cita hendak mendapatkan kemuliaan yang begitu besar sebagai seorang yang mencintai Allah dan RasulNya dan dicintai pula oleh Allah dan RasulNya. Pada  keesokan harinya, setelah selesai sembahyang subuh Rasulullah S.A.W. lantas mencari-cari Saiyidina Ali R.A. Nyatalah bahawa Saiyidina Ali R.A. tidak ada di situ kenana ketika itu Ali R.A. mengidap sakit mata. Kemudian bersabdalah Rasul "Panggillah Ali ke mari menjumpai saya. Saiyidina Ali R.A. yang sedang sakit kedua matanya itu lalu datang mengadap Rasulullah S.A.W. seraya baginda pun meludah kepada mata beliau yang sakit itu. Maka dengan serta merta sahaja sembuhlah mata beliau. Kemudian Rasul pun menyerahkan panji-panji kepada Saiyidina All R.A. Maka benteng yang sudah berhani-hari tidak dapat ditembus itu akhirnya dapat dikalahkan  di bawah pimpinan panglima Ali Bin Abu Talib R.A. 

Satu lagi peperangan di mana Saiyidina Ali Bin Abu Talib R.A. memperlihatkan kegagahan dan keberaniannya yang luarbiasa ialah tatkala berlakunya Perang Khandak atau Ahzab. Perang ini adalah antara pihak Islam dengan angkatan musyrik Mekah yang mendapat bantuan dari puak-puak Arab yang lain serta orang-orang Yahudi. Orang-orang Islam telah menggali parit-parit yang digelarkan Khandak di sekeliling kota Madinah sebagai jalan untuk membendung kemaraan pihak musuh danipada memasukinya. Jumlah pihak musuh adalah kira-kira 10,000 orang tetapi mereka tidak dapat masuk kerana terhalang oleh parit-parit. Namun begitu mereka terus mengepung kota itu selama 15 hari lamanya. Kemudian Allah S.W.T. turunkan angin ribut dari tentera Allah yang tak kelihatan memukul dan menerbangkan khemah-khemah serta alat perang musuh sehingga mereka pun mengundurkan diri dengan penuh kekecewaan. 

Semasa peperangan inilah diriwayatkan bahawa beberapa pahlawan musyrik Quraisy telah dapat menyeberangi parit dengan mengenderai kuda. Di antara mereka ialah Amru Bin Abd Wid, Ikrimah Bin Abu Jahal dan Dhiraar Ibnul Khattab. Apakala mereka itu telah berada di seberang parit, tiba-tiba Amru Bin Wid telah bertempik meminta lawan untuk beradu kekuatan dengan pihak pahlawan-pahlawan Islam. Dia mencabar seraya berkata, "Siapa di antara kalian yang berani berlawan dengan aku, silakan! Cabaran itu lantas disambut oleh Saiyidma Ali R.A. yang kemudiannya terus meminta izin dari Rasulullah S.A.W. untuk melawan pahlawan musyrik itu. Kata Ali R.A., "Saya akan melawan dia, ya Nabi Allah, Izinkanlah saya. Tetapi Rasulullah S.A.W. telah menahannya dengan sabdanya, "Duduklah engkau hai Ali! Tidakkah engkau tahu dia Amru. 

Amru kemudian minta lawan lagi berulang-ulang hingga dua kali. Setiap ia mencabar, Saiyidina Ali R.A. telah berdiri menyahutnya tetapi Rasulullah senantiasa menyuruhnya duduk sambil mengingatkan bahawa lawannya itu bukan padannya kerana Amru itu memang terkenal gagah lagi perkasa. Namun begitu Saiyidina Ali R.A. tetap juga mengatakan, "Sekalipun dia itu Amru, hai Nabi Allah, saya tidak takut melawannya. Izinkanlah saya menemuinya. Akhirnya Rasulullah S.A.W. mengizinkannya untuk melawan musuh yang keadaan orangnya lebih tua, lebih besar lagi lebih berpengalaman dari dirinya itu. Sebelum Saiyidina Ali R.A. pergi mendapatkan musuhnya yang menanti itu, Rasulullah S.A.W. telah membekalnya dengan pedangnya lalu kemudian berdoa ke hadrat Allah S.W.T. untuk keselamatan Saiyidina Ali Bin Abu Talib R.A. Tidak lama kemudian tampillah Saiyidina Ali R.A. ke hadapan. Manakala Amru melihatnya dia tidak dapat mengenalinya kerana muka dan kepala Saiyidina Ali R.A. bertopeng besi lalu ditanyainya:Siapa engkau, hai pahlawan? Jawapnya, "Ali! Tanya Amru lagi, "Ali, anak Abdul Manaf? Jawab Ali R.A. "Ali, anak Abu Talib

Mendengar nama itu Amru enggan hendak melawannya seraya katanya untuk memperkecilkan kehandalan Ali R.A. "Wahai anak saudaraku! Lebih baik orang lain sahaja engkau suruh melawan aku. Panggillah paman-pamanmu yang lebih kuat danipadamu. Aku benci menumpahkan darahmu, kerana aku memandang ayahmu seorang sahabat baikku.

Saiyidina Ali R.A. lalu menjawab, "Tetapi aku, demi Allah, tak benci menumpahkan darahmu. Demi mendengarkan jawapan itu maka menjadi marahlah Amru dan mulalah ia hendak menyerangnya. Tetapi Saiyidina Ali R.A. lalu berkata, "Macamana aku hendak bertempur denganmu padahal engkau di atas kuda. Turunlah ke mari sama-sama aku di bawah. 

Mendengar itu Amru telah menghambur dari kudanya, dihunusnya pedangnya itu dan untuk menunjukkan garangnya ditetak kudanya dicencangnya mukanya supaya tak boleh lari. Kemudian ía mara ke hadapan mendapatkan Saiyidina Ali R.A. yang disambut pula olehnya dengan mengacukan perisainya yang dibuat daripada kulit. Amru telah menetaknya, perisainya tersiat sedang pedangnya pula melekat di situ dan mengenai kepala Saiyidina Ali R.A. Maka Saiyidina Ali R.A. pun membalas menetak bahu Amru. Ia lalu tersungkur rebah serta mati di situ juga. Saiyidina Ali R.A. lantas memekikkan takbir, "Allahu Akbar" yang disambut pula dengan pekikan takbir yang bengemuruh di angkasa oleh kaum Muslimin yang menyaksikannya, sebagai tanda kesyukunan di atas kemenangannya. Dan dengan kematian Amru itu kawan-kawannya yang lain bertempiaran lari mengundurkan diri.

Rasulullah S.A.W. selalu memilih Saiyidina Ali R.A. untuk diberikan tugas dalam pekerjaan-pekerjaan yang amat berat, yang memerlukan keberanian yang luarbiasa serta ketabahan yang besar. Pada suatu masa, Rasulullah S.A.W. telah mengutus pahlawan Islam Khalid Bin Walid ke negeri Yaman untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dan mubaligh Islam di negeri itu. Setelah bekerja selama enam bulan ternyata Khalid tidak berjaya memperoleh hasil yang diharapkan walaupun setelah bekerja bertungkus lumus. Kemudian Rasulullah S.A.W. pun mengutus pula Saiyidina Ali R.A. untuk menggantikan tempat Khalid Bin Walid sebagai mubaligh dan pemenintah di sana. Demi apakala penduduk Yaman mendengar bahawa Saiyidina Ali R.A. yang telah mereka kenal Sebagai Harimau Padang Pasir itu ditugaskan sebagai pemerintah yang baru maka bersegeralah mereka berkumpul hingga akhirnya Saiyidina Ali R.A. dapat melakukan sembahyang subuh bersama-sama mereka itu.

Setelah selesai sembahyang subuh, Saiyidina Ali R.A. pun membacakan surat dakwah di hadapan para hadirin. Maka seluruh penduduk dan kaum Hamdan sekeliannya memeluk Islam pada hari itu. Dalam laporan yang dikirimkan oleh beliau kepada Rasulullah S.A.W. Saiyidina Ali R.A. telah mengisahkan peristiwa yang telah terjadi itu. Setelah Rasul S.A.W. membaca laporan tersebut segeralah baginda sujud menyembah Allah sebagai tanda syukur atas kejadian itu senaya bersabda, "Sejahteralah penduduk Hamdan.

Selaku pemerintah dan mubaligh di Yaman, Saiyidina Ali R.A. juga telah diperintahkan untuk menjadi hakim dalam bidang pengadilan. Oleh kerana beliau berasa dirinya kurang ahli dalam bidang pengadilan itu maka dengan terus-terang dan ikhlas beliau berkata kepada Rasul S.A.W., "Ya Rasul Allah, saya tidak mengerti dan tidak mempunyai keahlian yang cukup mengenai hal pengadilan ini.

Mendengar perkataan Saiyidina Ali R.A. itu segeralah Rasulullah S.A.W. menyapu dada beliau dengan tangan Rasulullah S.A.W. sendiri sambil bersabda, "Ya Allah, bukalah dada Ali untuk menerima ilmu dan lapangkanlah ucapannya dalam soal pengadilan". Adalah diriwayatkan bahawa berkat doa Nabi Muhammad S.A.W. itu Saiyidina Ali Bin Abu Talib R.A. kemudiannya menjadi seorang hakim yang bijak lagi adil hukumannya. Baik di zaman Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A. mahupun di zaman Saiyidina Umar Al Khattab R.A. selalulah Saiyidina Ali R.A. diajak bermesyuarah dalam memutuskan sesuatu masalah yang dihadapi oleh Khalifah-Khalifah itu. Bahkan Saiyidina Umar Al Khattab R.A. biasanya enggan memutuskan sesuatu keputusan sebelum lebih dahulu Saiyidina Ali R.A. diajaknya berunding. 

Demikianlah beberapa kisah riwayat tentang peranan yang pernah dilakukan oleh Saiyidina Ali Bin Abu Talib di zaman hidupnya Rasulullah S.A.W. Ketika Rasulullah S.A.W. wafat, Saiyidina Ali R.A. tidak mempunyai kesempatan untuk menyertai pertemuan para sahabat dan golongan Muhajirin dan Ansar di Balai Bani Saidah hingga terpilihnya Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq sebagai Khalifah. Sebabnya ialah ketika itu beliau sibuk menguruskan jenazah Rasulullah S.A.W. Pada hari yang penuh dukacita itu, beliau sama sekali tidak menghiraukan permesyuaratan yang berlangsung di Balai Bani Saidah itu kerana beliau sibuk dengan tugas-tugas pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W. serta mententeramkan sekelian keluarga Rasul S.A.W. 

Permesyuaratan di Balai Bani Saidah hampir-hampir sahaja menimbulkan keadaan yang kacau tetapi akhirnya dapat ditenteramkan dengan terpilihnya Saiyidina Abu Bakar R.A. sebagai Khalifah pertama sesudah Rasulullah S.A.W. Pada mulanya Saiyidina Ali R.A. enggan memberikan persetujuannya terhadap pemilihan Abu Bakar Al-Siddiq R.A. sebagai Khalifah, bukan kerana benci atau kurang senang terhadap Saiyidina Abu Bakar R.A. bahkan kerana rasa hati beliau yang sedang remuk redam disebabkan hilangnya Rasulullah S.A.W.  Enam bulan kemudian setelah isteri beliau iaitu Siti Fatimah meninggal dunia, maka baharulah Saiyidina Ali Bin Abu Talib R.A. memberikan persetujuannya secara rasmi terhadap pengangkatan Saiyidina Abu Bakar R.A. sebagai Khalifah. Saiyidina Abu Bakar R.A. pun selaku pemerintah ummat yang agung, tidak pernah meninggalkan Saiyidina Ali R.A. di dalam permesyuaratan penting. 

Apakala Saiyidina Umar Al Khattab menjadi Khalifah yang kedua, Saiyidina Ali R.A. tetap memperoleh kemuliaan dan penghormatan dan Saiyidina Umar R.A. sepertimana yang dinikmatinya semasa pemenintah Abu Bakar R.A. Walaupun diketahui bahawa Umar Al Khattab terkenal sebagai sahabat yang sangat ahli dan bijak dalam bidang hukum, namun baginda sering minta bantuan kepada Saiyidina Ali R.A. di dalam menyelesaikan beberapa hal yang sulit-sulit bahkan pernah diriwayatkan orang bahawa Saiyidina Umar Al Khattab R.A. tidak suka merundingkan soal-soal yang sulit tanpa dihadiri oleh Saiyidina Ali Bin Abu Talib. 

Setelah wafat Saiyidina Umar Al Khattab jawatan Khalifah akhirnya jatuh pula ke tangan Saiyidina Uthman Bin Affa'n R.A. Namun begitu Saiyidina Ali R.A. tetap memberikan persetujuannya serta ketaatannya kepada Khalifah Uthman R.A. sekalipun dirinya juga bercita-cita agar terpilih sebagai Khalifah. Sungguhpun demikian, kesayangan Khalifah Uthman yang berlebih-lebihan terhadap kaum kerabatnya sendiri menyebabkan pandangan Saiyidina Ali R.A. dalam beberapa hal berubah terhadap Khalifah. Bahkan sebahagian danipada penduduk melihat seolah-olah terdapat keretakan dalam hubungan antara dua tokoh besar itu. 

Keadaan inilah yang menyebabkan setengah-setengah pihak yang memusuhi Saiyidina Ali R.A. menuduh Saiyidina Ali R.A. terlibat dalam pembunuhan Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. Padahal yang sebenarnya Saiyidina Ali R.A. sama sekali tidak bertanggungjawab dalam perkara yang terjadi ke atas Khalifah Uthman R.A. Bahkan beliaulah sahabat yang paling mengambil berat terhadap keselamatan Khalifah. Ketika rumah Khalifah Uthman R.A. dikepung oleh puak pemberontak, Saiyidina Ali R.A. segera mengirim puteranya Saiyidina Hasan R.A. supaya menjaga keselamatan Khalifah. Tetapi ketika Saiyidina Hasan Bin Ali R.A. datang ke rumahnya untuk menawarkan bantuan, Khalifah Uthman R.A. menolak bantuannya serta menyuruhnya pulang. Lebih dari itu, apakala Saiyidina Ali R.A. mendengar khabar tentang pembunuhan Khalifah Uthman R.A. beliau telah memukul anaknya Hasan R.A. serta mengancam Muhammad Bin Talhah kerana dianggapnya kurang rapi menjalankan tugas menjaga keselamatan Saiyidina Uthman R.A. 

Saiyidina Ali R.A. akhinnya telah dipilih kemudiannya sebagai Khalifah selepas kewafatan Khalifah Uthman R.A. sedang ketika itu sebahagian besar para sahabat Rasulullah S.A.W. sudah berselerak di pelusok kota-kota di seluruh wilayah Islam. Yang masih tinggal di Madinah hanya sebahagian kecil sahaja. 

Setelah jawatan Khalifah jatuh kepadanya maka baharulah Saiyidina Ali R.A. cuba bemtindak untuk membawa garis politik seperti yang pernah dijalankan oleh Rasulullah S.A.W.,  Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar Al Khattab R.A. Tetapi keadaan masyarakat dan ummat sudah jauh berubah disebabkan perkembangan ekonomi dan pembangunan yang diakibatkan oleh perluasan takluk Islam. Cita-cita Saiyidina Ali R.A. untuk membawa kembali dasar pemerintahan ummat sebagaimana zaman Rasulullah dan Saiyidina Abu Bakan R.A. dan Umar R.A. telah menghadapi rintangan dari pihak-pihak yang bersimpati dengan Saiyidina Uthman R.A. yang menuduhnya bentanggungjawab dalam peristiwa pembunuhan itu. 

Perkara pertama beliau lakukan selepas dilantik menjadi khalifah ialah mencari pembunuh saidina Uthman mengikut saluran undang-undang Islam dengan menghapuskan pemberontakan yang hendak dibuat oleh golongan Rafidhah yang menghasut para sahabat. Isteri Rasulullah iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair ibn Awwam telah terlibat sama. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal (juga dikenali sebagai Perang Unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair terkorban akibat dibunuh oleh golongan Rafidhah yang mengaku sebagai pengikut Saidina Ali. Manakala Saidatina Aisyah dikembalikan ke Madinah oleh Saidina Ali. Beliau menjalankan satu misi dengan mengarahkan 100 orang wanita menyamar lelaki dan menutup muka, lalu menarik unta Ummul Mukminin Aisyah kembali ke Madinah.


Namun ada juga yang mengatakan: Keluarnya Aisyah bersama Thalhah dan Az Zubair bin Al Awwam ke Bashrah dalam rangka mempersatukan kekuatan mereka bersama Ali bin Abi Thalib untuk menegakkan hukum qishash terhadap para pembunuh Utsman bin Affan. Hanya saja Ali bin Abi Thalib meminta penundaan untuk menunaikan permintaan qishash tersebut. Ini semua mereka lakukan berdasarkan ijtihad walaupun Ali bin Abi Thalib lebih mendekati kebenaran daripada mereka. (Daf'ul Kadzib 216-217)

Selepas itu, Saidina Ali melantik gabenor-gabenor baru bagi menggantikan pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh Saidina Uthman. Saidina Ali memindahkan pusat pentadbiran Islam daripada Madinah ke Kufah, Iraq. Kota Damsyik, Syria pula ditadbir oleh Muawiyah, Gabebor Syria dan saudara Saidina Uthman. Muawiyah telah dilantik sebagai Gabenor pada masa pemerintahan Saidina Umar lagi.

Muawiyah, yang menyimpan cita-cita politik yang besar, berpendapat bahawa siasatan berkenaan dengan pembunuhan Saidina Uthman adalah merupakan keutamaan bagi negara ketika itu dan beliau ingin mengetahui siapakah pembunuh Saidina Uthman dan pembunuh tersebut mestilah dihukum qisas. Bagi Saidina Ali, beliau berpendapat keadaan dalam negara hendaklah diamankan terlebih dahulu dengan seluruh penduduk berbaiah kepadanya sebelum beliau menyiasat kes pembunuhan Saidina Uthman.



Disebabkan adanya golongan yang keras menentang sikapnya itu seperti Muawiyah Bin Abu Sufyan dan pembantunya Amru Bin Al As maka tenjadilah satu perbalahan yang sengit antara dua golongan itu. Muawiyah kemudiannnya menyatakan rasa kesal dengan kelambatan Saidina Ali menyiasat kematian Saidina Uthman, lalu melancarkan serangan ke atas Saidina Ali. Akhirnya terjadilah Perang Siffin di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Di dalam peperangan ini antara para sahabat yang terlibat adalah Amru Al-Ash, Ammar ibn Yasir, Abdullah ibn Amru Al Ash, Abdullah ibn Abbas. Ada di antara para sahabat bersikap berkecuali di dalam hal ini. Antaranya adalah Abdullah ibn Umar, Muhammad ibn Maslamah, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Usamah ibn Zaid. Satu pertelingkahan yang panjang yang mengakibatkan pertumpahan darah di antara sesama ummat Islam. 

 Muawiyah berkeras enggan mengakui Saiyidina Ali Bin Abu Talib sebagai Khalifah serta menuntut baginda mengenakan hukuman terhadap orang-orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Saiyidina Uthman R.A. Sedang Saiyidina Ali R.A. pula terlebih dahulu telah memecat Muawiyah sebagai gabenor Syam dan juga tokoh-tokoh yang pernah dilantik oleh Khalifah Uthman R.A. atas dasar kekeluargaan. Akibatnya maka berlakulah peperangan yang berpanjangan antara pihak Khalifah Ali R.A. dengan pihak penyokong Muawiyah Bin Abu Sufyan yang terdiri dari penduduk negeri Syam. Kesudahan dari perbalahan yang panjang itu Saiyidina Ali Bin Abu Talib akhirnya telah mati terbunuh oleh pengikut golongan Khawarij.

Biodata Khalifah Uthman Ibn Affan R.A

Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai (syura).

Nama beliau sebenarnya ialah Uthman b. ‘Affan b. Abul-As yang mana beliau dilahirkan ketika baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraish dari Bani Ummayah. Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati. Beliau merupakan salah seorang dari saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau digelarkan dengan gelaran “al-Ghani“.

Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam, sebagai contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan hartanya iaitu 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1,000 dinar. Begitu juga ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman. Oleh itu Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma dari seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma.

Saidina Uthman bin Affan ra adalah seorang yang bertaqwa dan bersikap wara’. Tengah malamnya tak pernah disia-siakan. Beliau memanfaatkan waktu itu untuk mengaji Al-Quran dan setiap tahun beliau menunaikan ibadah haji. Bila sedang berzikir dari matanya mengalir air mata haru. Beliau selalu bersegera dalam segala amal kebajikan dan kepentingan umat, dermawan dan penuh belas kasihan. Khalifah Uthman telah melaksanakan hijrah sebanyak dua kali, pertama ke Habsyah, dan yang kedua ke Madinah.

Era sebelum Islam memerintah, orang Arab menyembah berhala dan hidup dalam keadaan jahiliyyah seperti menanam anak perempuan hidup-hidup dan menumpahkan darah yang jumlahnya bukan sedikit walaupun tanpa alasan. Semangat perkauman antara kabilah sangat kuat, dan menjadikan tuan menghina dan menzalimi hamba mereka. Perempuan diperlakukan dengan kejam, dianggap sebagai objek pemuas nafsu lelaki. Mereka semata-mata untuk melahirkan anak dan kegunaan pribadi.

Sebagai pemuda yang penuh denga kekuatan, Uthman bin Affan menjelajah ke banyak tempat untuk berdagang. Kerana itu dia mendapat kesempatan untuk mengenali berbagai orang dari berbagai bangsa dan untuk belajar banyak tentang pelbagai kepercayaan lain, yang berbeza darinya. Pandangannya tentang berhala dan gaya hidup orang Arab berubah ketika dia mengetahui tentang Kristian dan Yahudi.

Satu hari ketika Uthman bin Affan kembali ke Mekah setelah selesai berdagang, dan ketika itu orang berbicara tentang Muhammad bin Abdullah.Seluruh kota nampaknya berada dalam kekacauan kerana Muhammad memperkenalkan dirinya sebagai Rasulullah kepada semua orang di seru untuk menyembah hanya satu tuhan yakni Allah yang layak disembah dan tidak harus dikaitkan dengan apapun. Muhammad meminta mereka untuk meninggalkan kebiasaan menyembah semua berhala dan beribadah kepada Allah saja. Meskipun Arab mengetahui Allah, dakwah Muhammad nampaknya aneh, kerana mereka telah sejak lama menyembah tuhan lain selain Allah.

Uthman bin Affan mengetahui tentang Muhammad dengan sangat baik. Muhammad adalah seorang yang luar biasa yang sangat baik keperibadiannya. Walaupun dia tidak segera menerima kepercayaan Islam, ia tidak menentang Muhammad atau Islam seperti yang di lakukan oleh pemimpin Quraisy. Dia ingat akan pengalaman yang di perolehi dalam perjalanannya berdagang, dia mendengar cendekiawan Kristian dan Yahudi berbicara tentang kedatangan Nabi akhir di tanah Arab.

Apabila Uthman bin Affan mendengar tentang nabi akhir dari Kristian dan orang-orang Yahudi, ia berharap bahwa nabi yang mereka cakapkan akan memimpin Arab ke dalam jalan terang dan lurus. Dia berfikir tentang apa yang Kristian dan Yahudi bicarakan dan akhirnya dia memutuskan untuk mengunjungi salah satu temannya, Abu Bakar, untuk mengetahui tentang kepercayaan baru ini. Dia tahu bahawa Abu Bakar telah menerima Islam dan dia sangat rapat dengan Muhammad. Abu Bakar menjelaskan banyak hal tentang Islam. Dia mengatakan bahawa orang Islam diminta untuk beribadah kepada Allah saja dan untuk melepaskan dari menyembah tuhan palsu atau berhala. Kemudian Abu Bakar mengundang dia untuk memeluk agama Islam. Uthman bin Affan merasa bahwa Islam adalah agama yang benar dari Allah dan segera masuk Islam atas undangan Abu Bakar. Setelah itu, Uthman bin Affan bertemu Nabi dan menyatakan bahwa dia menerima Islam.

Beliau digelarkan sebagai “Zunnurain” yang bermaksud dua cahaya kerana menikahi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Rasulullah SAW telah menikahkan beliau dengan puteri Baginda iaitu Ummi Kalthum. Uthman berkahwin sebanyak tujuh kali selepas kematian Ummi Kalthum dan seluruh anaknya berjumlah seramai 16 orang. Isterinya yang terakhir ialah Nailah binti Furaifisha.

Beliau dilantik menjadi khalifah selepas kematian Khalifah Umar r.a yang ditikam. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 23 Hijrah oleh jawatankuasa syura yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a semasa pemerintahannya.


Dalam tahun kesembilan hijrah, Nabi mendapat berita bahwa Rom sedang merancang untuk memusnahkan Negara Islam yang baru muncul. Nabi seterusnya mengarahkan kaum kaum Muslimin untuk melengkapi diri mereka dengan persiapan perang. Tetapi persediaan menjadi sukar kerana pada tahun itu, kaum Muslimin nampaknya kekurangan sumber tanaman, dan mereka sedang menghadapi musim panas yang sangat panas. Mereka tidak memiliki kelengkapan yang cukup seperti tentera, kerana sebahagian besar Muslimin terdiri dari golongan yang miskin. Situasi ini tidak menghentikan Nabi SAW. Baginda mendesak para sahabat mempersiapkan diri untuk berperang. Setiap sahabat mencuba segala yang terbaik untuk memperkuatkan pasukan Muslimin. Perempuan menjual perhiasan emas dan permata yang mereke miliki untuk membantu persiapan perang.

Walaupun ratusan sahabat yang siap untuk masuk ke medan perang, mereka kekurangan banyak perkara yang diperlukan untuk berperang, seperti kuda, unta, dan bahkan pedang. Nabi mengatakan kepada mereka bahawa ini adalah persoalan yang hidup atau mati untuk negara Islam yang baru. Nabi lantas membuat pengumuman yang jelas: “Barangsiapa yang menyediakan kelengkapan untuk para prajurit, akan diampuni segala dosa oleh Allah.”

Uthman bin Affan saat mendengar ucapan Rasulullah SAW, dia menyiapkan dua ratus unta berpelana untuk melakukan perjalanan ke As-Sham, dan mereka semua disiapkan dengan 200 auns emas sebagai sumbangan. Dia menyumbangkan 1000 dinar dan meletakkannya ke atas riba Nabi. Lagi dan lagi Uthman bin Affan sampai ia memberi sumbangan dengan menambah 900 unta dan 100 kuda, selain wang yang diberikan. Melihat kedermawanan Uthman bin Affan, Nabi membuat pernyataan berikut:” Dari pada hari ini, tidak akan ada apa yang akan membayakan Uthman bin Affan walaupun apa yang dilakukannya.”


Khalifah Uthman banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka. Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang telah dibuka melalui angkatan tentera ini.


Perluasan kuasa telah menyebabkan penyebaran Islam terjadi secara meluas. Apabila ramainya orang-orang yang memeluk Islam sudah tentu banyaknya perbezaan antara sesuatu wilayah dengan wilayah yang lain dari segi mereka mempelajari Islam. Apa yang paling ketara sekali ialah dalam masalah mereka mempelajari Al-Quran. Banyak terdapatnya perbezaan bacaan yang membawa kepada salah bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain. Dengan keadaan ini banyak terjadinya salah faham dan saling tuduh menuduh sesama orang Islam dalam menyatakan siapakah yang betul pembacaannya.

Oleh itu Khalifah Uthman telah mengadakan satu naskhah Al-Quran yang baru yang mana ianya digunakan secara rasmi untuk seluruh umat Islam. Khalifah Uthman telah menggunakan lahjah Bahasa Quraish dan yang mana Al-Quran yang berbeza telah dibakar. Al-Quran inilah yang digunakan hingga kehari ini yang mana ianya dikenali dengan nama Mushaf Uthmani. Langkah-langkah ini bertujuan untuk menjamin kesucian Al-Quran sebagai sumber perundangan Islam.

Masjid Nabawi telah menjadi padat kerana dipenuhi dengan jemaah yang semakin ramai, Oleh itu Khalifah Uthman telah membesarkan masjid tersebut dengan membeli tanah bagi memperluaskan kawasan tersebut. Masjid tersebut telah diluaskan pada tahun 29 Hijrah.

Khalifah Uthman sering berdakwah di penjara dan beliau berjaya mengislamkan ramai banduan. Beliau juga banyak mengajar hukum-hukum Islam kepada rakyatnya. Ramai pendakwah telah dihantar keserata negeri bagi memperluaskan ajaran Islam. Beliau juga telah melantik ramai pengajar hukum Islam dan juga melantik petugas khas yang membetulkan saf-saf solat. Beliau juga banyak menggunakan Al-Quran dan as-Sunah dalam menjalankan hukum-hukum.

Al-Fitnah al-Kubra (Zaman Fitnah)

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah Saidina Uthman ra. hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya. Fitnah yang keji datang dari Mesir berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dibawa oleh orang-orang yang datang hendak umrah pada bulan Rejab. Saidina Ali bin Abi Thalib ra. bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka. Saidina Ali menanyakan keluhan dan tuduhan mereka, yang segera dijawab oleh mereka, “Uthman telah membakar mushaf-mushaf, solat tidak diqasar sewaktu di Mekah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pimpinan dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala kemudahan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Pada hari Jumaat, Saidina Uthman berkhutbah dan mengangkat tangannya seraya berkata, “Ya Allah, aku beristighfar dan bertaubat kepadaMu. Aku bertaubat atas perbuatanku. ” Saidina Ali ra menjawab, “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini dan adalah yang disepakati bersama keshahihannya. Adapun solat yang tidak diqasar sewaktu di Mekah, adalah kerana dia berkeluarga di Mekah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternakan sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternakan unta dan domba miliknya sendiri.

Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pimpinan dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Setelah mendengar penjelasan Ali ra., umat Islam pulang dengan rasa puas. Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnah dan merencanakan makar jahat mereka. Di antara mereka ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu daripada sahabat termuka yang memburukkan Uthman. Mereka juga menuntut agar Uthman dibunuh. Fitnah keji pun terus menjalar dengan kejamnya, sebahagian besar umat termakan fitnah tersebut hingga terjadinya pembunuhan atas dirinya, setelah sebelumnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa inilah yang disebut dengan “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, sehingga merobek persatuan umat Islam.

Pembunuhan Khalifah Uthman Ibnu Affan

Saidina Uthman ra. syahid dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang mengepung rumahnya. Pada tanggal 8 Zulhijah 35 Hijriah, Uthman menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk Al-Quran yang dibacanya. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan darah. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.
Uthman syahid.

Anas bin Malik meriwayatkan hadis berikut:

“Nabi pernah naik gunung Uhud dengan Abu Bakar, Umar, dan Uthman bin Affan. Gunung menggocangkan mereka. Nabi berkata (kepada gunung), Teguhlah wahai Uhud! Untuk Anda ada Nabi, seorang Siddiq, dan dua orang syahid.” (HR Bukhari)

Biodata Khalifah Umar Al-Khattab R.A

Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.  Beliau adalah anak kepada Hantamah bte Hasyim bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Umar bin Makhzum dan Al-Khattab. Beliau dilahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan  berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam kira bicara, berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.  

Ketika Nabi Muhammad menyebarkan Islam secara terbuka di Mekkah, Umar sangat benci terhadapnya. Dalam beberapa catatan mengatakan bahawa kaum Muslim saat itu mengakui bahawa Umar adalah lawan yang paling mereka takuti. Ini adalah kerana Umar yang memang sudah mempunyai reputasi yang sangat baik sebagai ahli strategi perang dan seorang prajurit yang sangat tangkas dalam setiap peperangan yang ia lalui. Umar juga dicatat sebagai orang yang paling banyak dan paling sering menggunakan kekuatannya untuk menyeksa pengikut Nabi Muhammad.
Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap  perkembangan Islam. Sebelum ini beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi perkembangan Islam. Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat. 

Beliau digelar “al-Faruq” yang bermaksud orang yang membezakan hak dengan yang batil. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada gangguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad SAW juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.
Semasa sebelum memeluk Islam, beliau merupakan duta bagi kaumnya terutama untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Beliau merupakan mertua Rasulullah SAW apabila Rasulullah bernikah dengan anaknya, Hafsah bte Umar. Beliau salah seorang yang dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.

Pada puncak kebenciannya terhadap ajaran Muhammad, Umar memutuskan untuk mencuba membunuh Muhammad,

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau berjalan dilorong-lorong mundar-mandir sambil membawa pedang yang entah berapa banyak nyawa disembelihnya. wajahnya nampak bengis. hampir selalu dia begitu dan rakyat kota sudah maklum dengan perangai beliau yang perongos, garang dan tak tahu maksud takut. Namun saat dalam perjalanannya ia bertemu dengan salah seorang pengikut Nabi Muhammad bernama Nu'aim bin Abdullah yang menyapanya dengan bertanya “Hai umar, apa yang kau cari?” Dengan suara hampir memekik nada benci beliau menjawab, “muhammad! aku mahu cari muhammad untuk aku tunjukkan dia pedang aku ini dan menghabiskan nafasnya!”  Lelaki itu membalas, “hai umar, dari kau cari muhammad yang entah berada di mana, lebih baik kau pergi ke rumah adik kandung kau sendiri. dengarnya, dia sudah mengikut ajaran muhammad”.Lelaki itu rupanya memberi khabar bahawa saudara perempuan Umar telah memeluk Islam, ajaran yang dibawa oleh Muhammad yang ingin dibunuhnya saat itu.

Merah telinga umar mendengar jawapan itu. dia tak menjawab. mata pedangnya lebih pandai mengatur ayat dari lidahnya. kakinya melangkah laju ke arah rumah adik kandungnya, pengikut muhammad. muhammad yang paling dia benci.

Dilihat daun pintu rumah adiknya tertutup rapat. hatinya berat untuk percaya yang adiknya telah mengkhianatinya. adik perempuan yang paling dia sayang telah mengikut muhammad yang paling dia benci! biar mata pedang yang mengadili. dia ketuk dedaun pintu. semakin lama semakin kuat dan pantas. kenapa lambat mahu buka? apa yang sibuk sangat? Di dalam rumah itu suasana kelam kabut. adiknya, fatimah sangat pasti itu suara abangnya yang bengis. dia tak mahu bayangkan akibat jika abangnya tahu yang dia sedang belajar membaca al-quran.

Fatimah tahu jika dia tak buka pintu itu, umar pasti dapat robohkannya dengan sekali ayun. dia bangun dan membuka pintu. “Apa yang kau tengah buat tadi? kenapa kau lambat buka pintu? apa yang kamu sembunyikan di belakang kamu itu?” Fatimah semakin erat menggenggam ayat2 al quran yang sedang di bacanya tadi. abangnya takkan dapat pegang tulisan ayat suci itu walau apapun yang terjadi. fatimah nekad. “Aku dengar kau sudah jadi pengikut muhammad”, umar bertanya lagak algojo berlakon hakim. “ya” Jawab Fatimah pendek.

PAAAANGGGG! umar menampar pipi adiknya. jatuh Fatimah terkulai disepak tangan pahlawan perang itu. Dari mulutnya keluar darah. Fatimah menangis menahan sakit.
fikiran umar berkecelaru, beliau sesal bertindak sebegitu kejam ke atas adik kandung perempuannya. timbul rasa bersalah yang amat sangat. umar duduk disamping adiknya, cuba memujuk. “Adikku, bagi aku tengok apa yang kau baca tadi”.  “Tidak, abang masih najis! abang tak boleh pegang ayat suci ini”. tangan fatimah memeggang pipinya menahan rasa pedih. darah dari mulutnya masih mengalir. “Kau kena bersihkan dulu dirimu, kemudian aku akan bagi kau baca ayat suci ini”

Umar yang menanggung rasa bersalah itu turut saja kemahuan adiknya. Setelah selesai mandi, beliau menghulurkan tangan kepada adiknya. Beliau membaca ayat itu perlahan-lahan. Surah tahaa ayat 1-6.

Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi

Tubuh badannya lemah. “Ini bukan rekaan Muhammad, tak mungkin Muhammad yang buta huruf dapat buat sesuatu yang indah seperti ini. Mana Muhammad? Aku mesti jumpa dia” Fatimah keliru. Adakah abangnya mahu mengapa-apakan kekasih Allah? Dia sanggup menahan pipinya sekali lagi jika perlu daripada Rasulallah disakiti. “Kau nak buat apa jumpa Muhammad?” “Aku mesti isytihar memeluk Islam depan Muhammad sendiri” kata Umar. “Benarkah begitu?” tanya Fatimah yang kegembiraan bercampur pilu. “Ya, sekarang beritahu aku di mana Muhammad” jawab Umar. “Muhammad, RasuluLlah di Bukit Suffa” jawab Fatimah.

Umar berlalu dengan pantas. Dia tak sabar lagi nak berjumpa kekasih Allah, Muhammad. Dia mahu sangat peluk Muhammad sekarang. Lagi dipikirkan, semakin laju langkahnya. Rasulallah ketika itu sedang berbincang dengan sahabat2 beliau. Tiba2 datang seorang infomer berlari2 memberitahu Umar telah datang membawa pedang. Syaidina Hamzah tersentak. Dia telah sedia untuk mempertahankan Muhammad. Ia menyenteng lengan bajunya dan mencapai pedangnya seraya berkata “Wahai Muhammad, kau jangan bangun, biar saja yang bereskan si Umar itu”. Rasulallah memberi isyarat agar Hamzah duduk. Para sahabat yang lain mulai risau. Baginda bingkas bangun menuju ke muka pintu. Kini Umar mengetuk-ngetuk pintu meminta dijawab.

Rasulullah membuka pintu lantas mencapai leher baju Umar. Dipulas dan ditariknya umar sehingga hampir jatuh. Umar tidak pula melawan. “Tiada Tuhan selain Allah, dan kamu Muhammad adalah pesuruh Allah” terus terkeluar kata2 tersebut dari mulut Umar. Lantas Rasulullah memeluk Umar. Doa baginda telah dijawab Allah. Sebelum ini baginda berdoa agar satu dari dua Umar memeluk Islam iaitu Umar Al-Khattab atau Umar bin Syam (Abu Jahal).
Nyata Islam semakin bersinar selepas itu. Perjalan umar yang pada mulanya ingin menghabiskan riwayat Muhammad bertukar terus sehingga beliau menjadi salah seorang yang paling mencintai Rasulullah. Umar, seorang yang sangat berani dengan manusia tetapi sangat takut kepada Allah.


Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.

Pada tahun 637, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.

Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.
Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.

Syaidina Umar Beradu Tenaga Dengan Jin

Zaman Sahabat dahulu ranking terhebat penggusti di Madinah jatuh kepada Rasulullah S.A.W, diikuti Khalid al Walid dan Saidina Umar. Mereka inilah panglima perang yang hebat bertempur di medan perang demi menegakkan Islam di muka bumi ini.


Suatu ketika dahulu di kota Madinah diadakan pertandingan gusti. Kita sedia maklum bahawa jaguh gusti ketika itu semestinya Rasulullah, Khalid Al Walid, Saidina Umar, Amru Al Ash. Tetapi kali ini hanya Saidina Umar sahaja yang ambil bahagian. Saidina Umar sepatutnya boleh menang dengan mudah tetapi lawannya kali ini sangat hebat. Bukan dalam kalangan sahabat, tetapi.....

Perlawanan bermula, seperti biasa Saidina Umar yang sememangnya handal bergusti sudah tentu menang perlawanan demi perlawanan dan masuk ke peringkat akhir. Almaklumlah, Khalid al Walid tak masuk. Jika tidak, meranalah Saidina Umar.Tiba-tiba Saidina Umar melihat seorang penggusti tercampak jauh daripada gelanggang. Dia mula berasa hairan dengan kekuatan seorang pemuda ini. Dia mampu menewaskan musuh dengan mudah, sekali libas sahaja.

Sampailah giliran Saidina Umar melawan pemuda itu. Mereka bertemu di pusingan akhir. Saidina Umar menyerang, tetapi serangannya begitu senang dipatahkan. Saidina Umar hampir tercampak dek serangan musuhnya yang terlampau hebat.Dia hampir kalah. Saidina Umar mula berikhtiar, mencari cara untuk mengalahkan lawannya. Saidina Umar tidak mahu kenangan pahit ketika kalah kepada Khalid al Walid sewaktu mereka kecil dahulu berulang.
Kemudian dia sedar akan sesuatu. Saidina Umar mula mengatur serangan. Dia melompat ke arah pemuda gagah itu. Setelah dua minit bergelut, pemuda gagah itu serta merta rebah. Saidina Umar berjaya mengalahkan pemuda itu.

Setelah upacara penyampaian hadiah berakhir, Pemuda itu datang kepada Saidina Umar. Pemuda itu berkata,"Kau main tipu, mana adil.."Saidina Umar tergelak kecil,"Mana ada tipu, adilllah itu."Pemuda itu berkata pula,"Kau baca ayat Qursi, memanglah aku kalah." Pemuda itu sebenarnya adalah jin. Jin yang menyamar jadi manusia. Kesimpulannya, jin ini lemah dengan ayat Qursi jadi amalkanlah ya untuk mengelakkan gangguan jin ini. InsyaAllah..

Al Tabrani dan Abu Naim menjelaskan di dalam kitabnya Al Dalail riwayat daripada Ibnu Mas'ud,seorang lelaki keluar kemudian bertemu dengan jin, tiba-tiba jin itu berkata, "Apakah engkau boleh berlawan denganku? Kalau boleh mengalahkan aku, akan ku ajarkan satu ayat kalau dibawa ketika engkau masuk ke dalam rumah dan syaitan tidak akan masuk".Maka berlawanlah mereka berdua.Akhirnya jin itu dapat dikalahkan.Maka jin itu berkata,"Engkau baca ayat al-Kursi, kerana kalau dibaca syaitan akan keluar daripada rumah itu." Ditanya orang siapakah gerangan orang itu? Siapa lagi kalau bukan Saidina Umar al Khattab.
 
Pinangan Saidina Umar Al-Khattab ditolak sebanyak 3 kali

Ibnu Katsir meriwayatkan di dalam Bidayah Wan Nihayah, ketika Umar Al-Khattab menjadi khalifah, beliau pernah meminang adik kepada Aisyah r.a. iaitu Ummu Kaltsum. Di dalam hal ini Umar telah mengirim surat menyatakan kepada Aisyah hasratnya. Namun Ummu Kalthum berkata, “Aku tidak mahu menikahinya.” “Apakah engkau menolak Amirul Mukminin?”, tanya Aisyah. “Ya, sebab hidupnya miskin,” jawab Ummu Kalthum. Akhirnya Aisyah mengirim surat kepada Amru Bin Al-Ash agar Amru berusaha memalingkan keinginan Umar dari menikahi dengan adiknya. Umar kemudian berkahwin dengan anak Ali bin Abi Talib.

Di dalam Al-Farooq Umar, pakar biografi Dr Muhammad Hussein Haekal, mengisahkan riwayat yang serupa. Dengan tambahan selain Ummu Kalthum, Umar juga pernah meminang seorang wanita bernama Ummu Aban Binti Utbah. Kedua-dua wanita itu menolak pinangan beliau dengan alasan Umar adalah seorang yang kasar, sangat garang terhadap wanita, kedekut dan selalu bermasam muka.

Umar Al-Khattab adalah antara sahabat nabi yang terjamin syurga. Semasa pemerintahan beliau, beliau telah berjaya menawan sebahagian besar jaziriyah Arab. Umar sangat berilmu sehinggakan Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menjadikan kebenaran pada lisan dan hati Umar.”

Beliau juga seorang yang berwibawa di dalam kepimpinan, Rasulullah pernah bersabda, “sekiranya selepasku ada nabi, sudah pasti Umar.” Namun, apabila insan kelas pertama ini meminang, pinangannya ditolak!

Jadi, jangan bimbang sekiranya pinangan anda ditolak. Manusia yang sudah dijanjikan syurga pun boleh ditolak pinangannya, inikan kita yang serba daif lagi kekurangan ini. Anggaplah jodoh masih belum tiba dan Allah menjanjikan pasangan yang lebih baik untuk kita.

Khalifah Umar Juga Lembut Hatinya

Di zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Abu Ubaidah dipecayai sebagai Ketua Pengawas Perbendaharaan Negara. Beliau juga diangkat menjadi gabenor Syam. Jabatan ini dipegang oleh Abu Ubaidah sehingga zaman Umar al-Khattab.

Suatu hari Khalifah Umar al-Khattab hendak berkunjung ke rumah si gabenor. “Sesungguhnya aku takut kau tidak kuasa menahan airmatamu begitu mengetahui keadaanku nanti.” KataAbu Ubaidah. Namun si khalifah tetap memaksa.Akhirnya Abu Ubaidah mengizinkan Umar untuk berkunjung. 
Setibanya Umar di rumah Abu Ubaidah, sungguh terkejut beliau menyaksikan pemandangan di hadapannya. Beliau mendapati rumah si gabenor kosong. Tidak ada perabot yang mengisi rumah sederhana tersebut.Umar bertanya, “Hai  Abu Ubaidah, di manakah penghidupanmu? Mengapa aku tidak melihat apa-apa selain kain lusuh  dan sebuah piring besar itu, padahal engkau seoang gabenor?”

Umar kembali bertanya, “ Adakah kau memiliki makanan?" Abu Ubaidah lalu berdiri dari duduknya menuju ranjang dan memungut arang yang ada di dalamnya.Umar pun tak kuasa menahan airmatanya tatkala melihat keadaan gabenor seperti itu.  Abu Ubaidah pun berkata, “Wahai Amirul Mukminin, bukankah sudah aku katakan tadi bahawa kau ke sini hanya untuk menangis.” Umar menjawab, “Ya Abu Ubaidah, ramai di antara kita orang-orang yang tertipu dengan godaan dunia.”
Sementara itu dari riwayat lain ada mengatakan suatu hari anak Khalifah Umar al-Khattab pulang dari sekolah dengan menangis teresak-esak. Ketika ditanya oleh ayahnya, ia menjawab bahawa teman-temannya di tempat pengajiannya menghina bajunya yang penuh dengan tampalan (baju yang bertampal-tampal).Di antara mereka mengatakan : "Hai kawan-kawan, perhatikan berapa jumlah tampalan budak ini!" Ia menjadi bahan ketawa teman-temannya, amatlah sedih hatinya. Pola hidup keluarga Khalifah Umar memang sederhana, teramat sederhana. Walaupun berjawatan sebagai khalifah, tampalannya bajunya ada empat belas. Salah satunya ditampal dengan kulit kayu.
Tibalah suatu hari apabila Umar al-Khattab berhajat untuk membelikan pakaian baru untuk anaknya di bulan Syawal, kerana ketiadaan wang pergilah Umar ke Baitulmal untuk meminjam beberapa dirham untuk membeli pakaian tersebut . Kerana tidak bertemu Saidina Umar dengan bendahara Baitulmal, beliau meninggalkan sepucuk surat, isinya sebagai berikut :

"Kepada bendahara Baitulmal yang terhormat saya memohon pinjaman sebesar empat dirham. Insya-Allah pada awal bulan depan, setelah pembahagian gaji dari Baitulmal, saya akan segera melunasinya."

Si bendahara tidak langsung cemas setelah menerima surat dari Khalifah. Dia juga tidak cepat-cepat mengambil wang dari Baitulmal lalu mengirimnya kepada Khalifah. Dia mengamati surat itu sangat lama. Dia mengetahui bahawa pemimpinnya itu bukan sejenis penguasa yang memanfaatkan amanat rakyat untuk kepentingan peribadinya. Saidina Umar bin Khattab R.A dikenali sebagai pemimpin yang adil dan tegas. Bukan saja dia adil terhadap rakyat sekitarnya, beliau juga bersikap adil terhadap anak-anaknya dan dirinya. Apabila dirinya terbukti salah dalam menjalankan amanat Allah, dia rela dihukum dan didenda walaupun dia mampu menolak penghukuman tersebut kerana jawatannya. Apabila dia dihadapkan kepada dua kepentingan, kepentingan si anak dan kepentingan Islam, maka dia akan mendahulukan kepentingan agamanya.

Sifat Umar al-Khattab seperti ini sudah umum diketahui oleh rakyatnya, tidak terkecuali si bendahara Baitulmal ini. Si bendahara menjawab surat Khalifah dalam bentuk sebuah pertanyaan.

Kepada Amir al-Mukminin Umar bin Khattab,
"Telah saya baca surat anda tentang permohonan pinjaman dari wang Baitulmal. Aku sekadar ingin bertanya, apakah Tuan berani bahawa diri Tuan pasti tetap hidup sampai akhir bulan sehingga aku dapat menuntut hutang Baitulmal dari Tuan? seandainya ajal menjemput Tuan sebelum bulan ini berakhir, apakah Tuan mampu mempertanggungjawabkanya di hadapan Allah? Wasalam."

Selesai membaca surat balasan dari pejabat Baitulmal, Khalifah Umar merasa amat sedih kerana tidak mampu melunasi hajatnya untuk membeli baju baru untuk anaknya. Setibanya Hari Raya, Umar al-Khattab melihat anaknya memakai baju yang bertampal-tampal dan beliau terus menangis, "Mengapa engkau menangis, wahai ayahku?" Tanya anaknya. Umar menjawab: "Aku bimbang hatimu sedih di Hari Raya apabila kawan-kawanmu menghina bajumu yang bertampal-tampal itu." Kemudian anaknya berkata: "Seharusnya yang harus bersedih itu ialah orang yang tidak mendapat keredhaan Allah dan menderhakai kedua orang tuanya. Sesungguhnya aku berharap agar Allah Azza wa Jalla memberikan redha-Nya kepadaku sebab keredhaanmu kepadaku".   

Semakin deras air mata Khalifah Umar mengalir apabila mendengar kata-kata anaknya dan beliau terus memeluknya dan mendoakannya. Kesimpulannya, inilah contoh didikan yang terbaik dari anak Khalifah Saidina Umar al-Khattab, yang tidak mengharap sesuatu pun dari kedua ibu bapanya kecuali keredhaanya.

Syaidina Umar Bersolat di Gereja

 Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut .

Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa ummat islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.

Kisah di atas menceritakan respon Saidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respon Saidina Umar merupakan satu respon yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka.

Sehubungan dengan itu, sekiranya ummat Islam adalah peroboh kuil, gereja dan synagogue seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam dan turut dipercayai oleh segolongan ummat Islam yang jahil, sudah pasti Saidina Umar akan bertindak sebaliknya. Maka amatlah malang sekiranya ummat Islam sendiri tidak memahami konsep keadilan yang dipertahankan oleh Islam sepertimana yang telah dizahirkan oleh Saidina Umar. Konsep keadilan ini meliputi berbagai perkara, termasuklah keadilan terhadap orang bukan Islam sendiri.

Khalifah-Khalifah Islam sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung ditempat-tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah-rumah peribadatan mereka. Begitu juga, tidak dibunuh haiwan ternakan kecuali untuk dimakan dan tidak dimusnahkan tanam-tanaman dan menebang pokok-pokok tanpa alasan. Keadilan yang sebeginilah yang melonjakkan ummat Islam ke kedudukan istimewa satu ketika dahulu! Bukan kekejaman dan bukan kezaliman.  Menurut kisah ini juga, maka adalah jelas bahawa Saidina Umar memasuki gereja dan berbincang dengan Patriach di dalamnya mengenai pentadbiran negara serta menjaga kepentingan penganut agama lain.

Kelebihan Syaidina Umar Al-Khattab

Suatu hari, berlaku gempa bumi di Madinah.  Sewaktu itu Saidina Umar memegang teraju pemerintahan sebagai Khalifah setelah kematian Saidina Abu Bakar. Ketika bumi sedang bergetar, Saidina Umar menghentakkan tongkatnya ke tanah lalu berkata, “Wahai bumi, tenanglah kamu. Apakah aku tidak berlaku adil di atasmu?” Dengan izin Allah, serta-merta gempa bumi terhenti.

Tentera Islam di bawah pimpinan Amru Al Ash telah berjaya membuka Mesir. Ketika itu berlakulah kemarau panjang hinggakan air Sungai Nil kering. Menurut penduduk di situ, air Sungai Nil akan naik kembali jika dikorbankan seorang anak dara ke dalamnya. Begitulah yang mereka lakukan pada masa-masa yang lalu. Amru menulis kepada Saidina Umar bertanyakan pendapatnya. Saidina Umar menolak sama sekali upacara khurafat tersebut lalu beliau menulis sepucuk surat kepada Sungai Nil yang berbunyi:     
 
“Daripada Amirul Mukminin Umar kepada Sungai Nil di Mesir. Jika kamu mengalirkan airmu dengan kehendakmu sendiri, janganlah kamu mengalir. Tapi jika kamu mengalir dengan kehendak Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa, maka kami memohon kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa untuk mengalirkan kamu.”
 

Surat ini dilemparkan oleh Amru ke dalam Sungai Nil. Dengan izin Allah, pada malam itu juga tersembur keluar mata-mata air di sepanjang sungai tersebut hingga penuh sebagaimana yang kita lihat hari ini.


Suatu ketika seorang utusan dari Rom (musuh Islam) tiba ke Madinah untuk menyampaikan sesuatu daripada rajanya kepada Khalifah. Dia bertanyakan orang ramai di manakah istana Saidina Umar. Malangnya Saidina Umar tidak ada istana kerana beliau tinggal di sebuah rumah kecil sahaja di padang pasir. Inilah contoh zuhud yang terbaik. Ketika sampai ke tempat Saidina Umar, dilihatnya khalifah sedang tidur sendirian di bawah pokok tamar. Tongkatnya dijadikan bantal. Utusan Rom berasa hairan kerana pemerintah Islam yang sangat digeruni Timur dan Barat itu langsung tidak ada pengawal peribadi. Dia terfikir inilah saat yang paling sesuai untuk dia berkhidmat kepada rajanya iaitu dengan membunuh Saidina Umar. Dia pun mendekati Saidina Umar denagn pedang yang terhunus. Tiba-tiba muncul dua ekor singa entah dari mana hendak menerkamnya . Sang utusan menjerit ketakutan dan pedangnya terlucut menyebabkan Saidina Umar terjaga. Singa-singa tadi hilang begitu saja. Utusan Rom pun menceritakan apa yang terjadi kepada saidina Umar. Akhirnya dia terus memeluk agama Islam.

Saidina Umar pernah melaung dia atas kubur seorang pemuda, “Wahai pemuda, bagi orang yang takut kepada Tuhannya, kamu akan mendapat dua syurga.” Suara dari dalam kubur itu menjawab, “Wahai Umar, Allah telah mengurniakan kepadaku dua syurga.”

Saidina Umar telah mengirim sepasukan tentera di bawah pimpinan Sariyah ke Nahawunda untuk menghadapi tentera Parsi. Dalam peperangan itu, tentera Islam terpukul hebat dan hampir-hampir akan kalah. Saidina Umar yang ketika itu sedang berkhutbah di masjid telah dibukakan hijab oleh Allah hinggakan dia dapat melihat situasi peperangan tersebut. Secara spontan Umar menjerit
memerintahkan Sariyah dan tenteranya bertahan di atas sebuah bukit. Arahannya itu dapat didengar oleh tentera Islam yang jauh ratusan (mungkin ribuan) batu lalu mereka mengubah strategi dan akhirnya mencapai kemenangan
.


Kewafatan Syaidina Umar


















Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah atau Fairuz. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah. Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..