1. Tulisan ringkas ini bertujuan untuk mengajak kita menyemak serba sedikit pemahaman kita terhadap beberapa perkara berkaitan dengan anjing.
2. Ramai orang Malaysia yang rata-ratanya bermazhab Syafi’ey berpegang dan beramal dengan pendapat bahawa anjing itu adalah najis keseluruhannya, serta cara penyuciannya pula adalah dengan 7 kali basuhan, salah satunya dengan air tanah.
3. Dalil utama yang digunakan dalam isu anjing ini ialah hadith-hadith berikut:
(a) Hadith 1:
Dari Abu Hurairah r.a., “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Jika anjing menjilat bejana (bekas minuman) salah seorang dari kalian, maka hendaklah dia mencucinya sebanyak tujuh kali.”
[Sahih al-Bukhari - no. 167, Sahih Muslim - no. 419]
(b) Hadith 2:
Dari Abu Hurairah r.a., “Rasulullah SAW bersabda: Sucinya bejana (bekas minuman) kalian yang dijilat oleh anjing adalah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, yang pertama dengan tanah.”
[Sahih Muslim - no. 420]
(c) Hadith 3:
Dari Abu Hurairah r.a., dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: Apabila seekor anjing menjilat bejana salah seorang dari kalian, maka hendaklah dia membalikkannya (untuk membuang air berkenaan) dan mencucinya sebanyak tujuh kali.
[Sahih Muslim - no. 418]
4. Berdasarkan hadith-hadith di atas, maka para ulama kita telah berbeza pendapat tentang soal kenajisan anjing. Secara ringkasnya adalah seperti berikut:
· Mazhab Syafi’iey dan Hanbali : Anjing itu najis keseluruhannya, termasuk peluh, air liurnya serta kotorannya (tahi dan air kencing).
· Mazhab Hanafi : Hanya air liur, anggota mulutnya dan kotorannya sahaja yang dianggap sebagai najis.
· Mazhab Maliki : Anjing itu tidak najis langsung keseluruhannya.
5. Penulis berpendapat, cara terbaik untuk meraikan perbezaan pendapat para ulama dalam isu ini, ialah dengan kita kembali merujuk kepada sumber nasnya yang asal. Hadith sahih pada poin no. 3 di atas hanya menerangkan tentang jilatan anjing pada bekas minuman.
6. Jadi, dengan mengambil kira teks asal hadith, dan juga menilai konteks suasana keberadaan kita dalam masyarakat di France / Eropah, penulis ingin mencadangkan kepada para pembaca untuk memilih pendapat dari Mazhab Hanafi yang mengatakan anjing itu tidak lah najis secara keseluruhannya. Hanya air liur, bahagian mulut dan kotorannya sahaja yang dikira sebagai najis. Ia lebih sesuai dan lebih praktikal untuk diamalkan di sini (France).
7. Inilah juga pendapat yang telah dipilih oleh Syaikhul Islam Ibnu Taiymiyyah r.h. sebagaimana yang disebutkan beliau di dalam Majmu’ Fatawa.
8. Maka dengan itu, adalah diharapkan selepas ini agar sikap fobia dan takutkan anjing yang sering kelihatan pada orang Islam dari Malaysia dapat dikurangkan. Kita tak perlu lari atau mengubah jalan untuk dilalui misalnya apabila ternampak ada anjing pada jarak 50m di hadapan.
9. Beberapa contoh situasi yang berkaitan.
Kes 1:
Tangan Ali telah dijilat anjing sewaktu melawat jirannya berbangsa French.
Solusi -
Ali hanya perlu basuh bahagian yang dijilat anjing berkenaan. Basuhan pertama menggunakan air yang dicampur tanah. Diikuti dengan 6 basuhan seterusnya.
Kes 2:
Ali merungut kerana sukarnya menemui tanah liat untuk digunakan sewaktu ingin mencuci bahagian yang dijilat anjing tadi.
Komen -
Ali tersilap. Dalam hadith sahih di atas, lafaz asal dalam Bahasa Arab yang digunakan ialah “at-turab”. Perkataan itu merujuk kepada maksud umum tanah. Jadi Ali sepatutnya boleh menggunakan apa sahaja jenis tanah bagi tujuan tersebut. Tidak semestinya tanah liat.
Kes 3:
Sewaktu ingin pulang ke rumah setelah melawat jirannya tadi, Ali telah terpijak tahi anjing.
Solusi -
Ali hanya perlu mencuci kasutnya yang terpijak kotoran tersebut seperti biasa. Tak perlu menggunakan campuran air tanah kerana tahi anjing tidak termasuk dalam lafaz hadith di atas. Hadith itu hanya menyebut jilatan anjing. Cuci sahaja seperti biasa sebagaimana cucian terhadap kotoran-kotoran lain (tahi kucing, harimau dan lain-lain).
Kes 4:
Ali ternampak kawannya Abu mengusap seekor anjing peliharaan rakannya yang sangat comel. Tiba-tiba Ali jadi serba salah.
Komen -
Tiada sebab mengapa Ali perlu merasa serba salah. Anjing itu bukan seekor binatang yang hina dan jijik. Ia juga merupakan makhluk ciptaan Allah yang harus kita hormati dan tunaikan hak-haknya. Lihat hadith berikut,
Dari Abu Hurairah r.a., katanya, “Nabi SAW bersabda: Ada seekor anjing yang sedang berpusing-pusing di sekitar sebuah perigi dan hampir mati karena kehausan lalu dilihat oleh seorang wanita pezina (pelacur) dari Bani Isra’il. Lalu wanita itu membuka kasutnya (dan mengambil air dengan menggunakan kasut itu) kemudian memberi minum anjing tersebut. Maka dia diampunkan dosanya disebabkan perbuatannya itu.
[Sahih al-Bukhari - no. 3208]
Tiada larangan untuk mengusap anjing. Dan tidak perlu dicuci bahagian yang tersentuh anjing sekiranya tidak kena jilatan atau air liur anjing tersebut.
Kes 5:
Setelah peristiwa Abu mengusap anjing dalam kes 4 di atas, Ali kemudiannya berhasrat membeli seekor anjing comel untuk dijadikan binatang peliharaannya.
Komen -
Perbuatan memelihara anjing adalah dilarang dalam Islam. Ia adalah berdasarkan hadith berikut,
Dari Ibnu Umar r.a., katanya, “Nabi SAW bersabda: Barangsiapa memelihara anjing yang bukan untuk tujuan berburu atau menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath* setiap hari.”
[Sahih al-Bukhari - no. 5058, 5059, 5060]
Syaikh Salih al-Munajjid h.h. berkata, keharusan memelihara anjing hanyalah untuk tujuan perburuan dan juga pertanian (jaga binatang ternak, tanaman) sahaja. Juga diperbolehkan memelihara anjing untuk menjaga rumah dalam sesetengah keadaan, misalnya apabila rumah itu terletak di tempat terpencil yang sunyi dan terdedah kepada bahaya.
Para ulama juga berpendapat anjing boleh dibela oleh pihak berkuasa seperti polis dan kastam untuk tujuan keselamatan dan penyiasatan.
Adapun untuk dijadikan binatang kesayangan untuk dibelai dan dicium di dalam rumah, ia adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.
Kes 6:
Pada suatu hari, Ali bertanya, “kenapa mesti guna tanah untuk menyucikan najis anjing?”
Jawab -
Hal ini adalah termasuk dalam perkara-perkara yang disebut sebagai “amr ta’abbudi”, iaitu perintah ibadah yang perlu ditaati tanpa kita memikirkan alasan mengapa ia disyariatkan. Sama juga dengan kes bilangan rakaat solat fardu misalnya. Tidak pernah disebutkan secara jelas dalam nas mengenai rahsia di sebalik perbezaan bilangan rakaat. Kita hanya perlu menerima perkara seperti ini dan mentaatinya tanpa banyak soal. Hanya Allah yang mengetahui segala hikmah yang tersembunyi.
===========
===========
===========
Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.
Nota:
* 2 qirath itu adalah bersamaan dengan sebesar bukit Uhud. Dalil hadith,
Dari Abu Hurairah r.a., katanya, “Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang mensolatkan jenazah, maka baginya pahala satu qirath, dan siapa yang menghantar jenazah itu hingga ke kubur, maka baginya pahala dua qirath”. Kemudian sahabat bertanya kepada Abu Hurairah r.a., “Wahai Abu Hurairah, seperti apakah dua qirath itu?” Beliau (Abu Hurairah r.a.) menjawab, “Sebesar bukit Uhud.”
[Sahih al-Bukhari - no. 1572]
No comments:
Post a Comment