Secara purata, jumlah kes sumbang mahram yang dicatatkan kedua-dua negeri itu adalah lebih daripada 41 kes setahun atau melebihi tiga kes dalam sebulan.
Menurut statistik polis Bukit Aman, Sabah mencatatkan kes sumbang mahram kedua tertinggi sepanjang tempoh tersebut iaitu sebanyak 258 kes diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136).
Terengganu pula mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).
Bagi tempoh sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu pula, Johor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu sebanyak 33 kes daripada keseluruhan 177 kes yang dilaporkan.
Selangor mencatatkan kes sumbang mahram kedua tertinggi bagi tempoh itu iaitu sebanyak 27 kes diikuti Sabah (20), Pahang (20), Kedah (16), Sarawak (13) dan Perak (12).
Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 10 kes, Melaka (9), Kelantan (7), Negeri Sembilan (5), Pulau Pinang (3), Terengganu (1) dan Perlis (1).
Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot yang dimaklumkan tentang statistik tersebut menyatakan kekesalannya terutama mengenai perkembangan Johor yang mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi.
Katanya, golongan tidak bertanggungjawab yang melakukan sumbang mahram dilaknati Allah dan tidak diberkati di dunia dan akhirat.
Beliau berkata, empat faktor utama mempengaruhi berlakunya kes sumbang mahram iaitu individu, keluarga, masyarakat dan persekitaran.
Jelasnya, faktor individu melibatkan kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurangnya penghayatan agama yang mendorong seseorang itu dikuasai nafsu.
"Kerana lemahnya pegangan agama, seorang ayah tergamak merogol anak kandung yang sepatut dibelanya. Kerana itu juga abang sanggup 'merosakkan' adik perempuannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Nooh berkata, faktor keluarga terutamanya keruntuhan institusi perkahwinan seperti perceraian turut mendorong berlakunya kes sumbang mahram.
Katanya, terdapat kes perceraian menyebabkan anak-anak gadis terpaksa tinggal dengan bapa dan keadaan diburukkan lagi apabila batas pergaulan tidak dijaga serta cara berpakaian yang menjolok mata.
Katanya, nafsu semakin sukar dikawal apabila kemiskinan mencengkam keluarga itu yang menyebabkan mereka terpaksa tinggal di rumah yang sempit tanpa ada bilik yang sesuai khususnya bagi anak gadis yang sedang membesar.
"Walaupun di rumah, tidak wajar anak gadis hanya berkemban sahaja dan batas pergaulan perlu dijaga. Mesra jangan sampai anak gadis dan ayah berpeluk dan berciuman berlebihan sehingga menaikkan nafsu.
"Sebaik-baiknya sediakan bilik untuk anak gadis dan diasingkan daripada anak lelaki terutama apabila mereka telah akil baligh," katanya.
Nooh berkata, sumbang mahram juga boleh berlaku apabila hubungan kelamin pasangan suami isteri tidak dipenuhi akibat tuntutan kerja seperti suami bekerja pada waktu siang manakala isteri bekerja pada waktu malam.
Menurut beliau, faktor masyarakat juga tidak kurang penting kerana hubungan jiran yang rapuh menyebabkan kes sumbang mahram sukar dibendung.
Katanya, masyarakat sewajarnya prihatin dengan keadaan jiran-jiran dan seandainya mereka dapat mengesan perbuatan yang menjurus kepada sumbang mahram, sepatutnya perkara itu dihalang dengan nasihat dan jika tidak berkesan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Faktor persekitaran seperti bahan lucah yang mudah diperoleh dan program atau pesta yang menaikkan nafsu menerusi pergaulan lelaki dan wanita dengan pakaian yang menjolok mata juga dapat mendorong perlakuan sumbang mahram, katanya.
Dalam pada itu, katanya, empat golongan memainkan peranan utama bagi membanteras perlakuan sumbang mahram iaitu pemimpin atau kerajaan, ulama, ahli korporat dan masyarakat.
Beliau memberitahu, pemimpin mesti mengurangkan kewujudan pusat atau elemen hiburan yang merangsang nafsu sementara para ulama mesti memberi nasihat dan tidak putus asa berdakwah bagi membasmi perlakuan terkutuk itu.
Katanya, pihak korporat juga tidak sepatutnya hanya mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial dengan menganjurkan program hiburan yang merangsang nafsu.
Beliau berkata, hubungan antara masyarakat perlu kembali dirapatkan seperti dahulu iaitu jiran dianggap seperti keluarga sendiri.
"Apabila hubungan jiran rapat seperti keluarga sendiri, amalan menegur kesalahan anak jiran seperti anak sendiri tidak akan disalah anggap atau menimbulkan kemarahan jiran sekali gus dapat mengurangkan jenayah," katanya.
*.* Kat kedah ni pun tiap2 minggu ada kes ni. Kenapalah lelaki yang bertanggungjawab menjaga dan melindungi wanita selalu sanggup berbuat mcm tu pada darah daging sendiri. Dunia dah nak kiamat....
No comments:
Post a Comment