Tuesday, August 28, 2012

Bodohnya Aku, Dia dan Kamu...

Bodoh itu bukan satu penyakit. Lemah jiwa itulah penyakit. Mengapa harus merasa rendah diri apabila berhadapan dengan orang yang lebih pandai ? Bukankah Allah telah menjadikan kita bodoh ?. Orang yang bodoh yang lemah jiwa, dia akan menjadi dua kali bodoh apabila berhadapan dengan orang yang pandai. Kalau orang yang pandai itu orang besar, orang berpangkat, dia akan kagum, sanjung dan pegang kata-kata orang tersebut. Sebaliknya kalau orang pandai itu tarafnya rendah, umpamanya isteri, muridnya atau pekerjanya, maka dia akan rasa inferiority complex. Dia rasa malu, kecewa dan kesal dengan diri sendiri. Dia takut untuk mengeluarkan pendapat dihadapan orang yang lebih pandai darinya.

Orang bodoh yang lemah jiwanya ini akan cuba menyembunyikan kebodohan kerana dia benci pada kebodohannya itu. Dia takut orang kata dia bodoh. Walhal kalau orang yang bodoh itu tiada penyakit lemah jiwa dan sedar dirinya bodoh, dia akan belajar daripada orang yang pandai. Dia bersyukur mendapat ilmu dan berterima kasih kepada orang yang mengajarnya. Dia merasa senang hati dan ingin menambah ilmunya lagi. Ilmu yang baru diketahuinya itu digunakan dan diamalkan.

Berbeza dengan orang yang lemah jiwa, dia hanya rasa kagum dengan pendapat orang lain tetapi menjadi gelap pandangan kerana dia rasa, mengapa aku tidak terfikir begitu ? Macammana dia boleh tahu sejauh itu ? dan sebagainya. Akhirnya ilmu didapati itu tidak masuk menetap dalam akalnya, apalagi untuk diamalkan.

Orang yang bodoh mesti kenal diri, tahu diri bodoh. Jangan pula lantaran tidak kenal diri orang yang bodoh itu berlagak pandai dan merasa pandai pula. Hendaklah belajar dari orang yang pandai dan orang yang pandai pula janganlah sombong untuk mengajar kerana kita ini dijadikan oleh Allah berbeza-beza tahap akal dan fikiran, semua itu adalah kepunyaan Allah. Allah boleh tarik nikmat kepandaian itu dengan sekelip mata sahaja.

Orang yang bodoh itu mungkin hanya bodoh dibidang tertentu tetapi pandai dibidang yang lain. Oleh itu kita harus sentiasa mengintai-intai kelebihan orang yang pandai ini untuk kita belajar apa yang dia pandai untuk kepentingan kita dan masyarakat. Sebagaimana kisah Rasulallah s.a.w ketika baginda sedang kebuntuan setelah selesai perjanjian Hudaibiyah. Rasulallah s.a.w telah memerintahkan sahabat-sahabatnya untuk bercukur dan menyembelih korban. Tetapi semua sahabat yang ada di situ tidak melaksanakannya walaupun telah diperintahkan oleh Rasulalah s.a.w sebanyak tiga kali. Kelambatan para sahabat itu telah menyebabkan Rasulallah bingung, lalu baginda pergi bertemu dengan isterinya Ummu Salamah dan menceritakan hal tersebut. Ummu Salamah setelah mendengar kejadian tersebut, dia pun berkata : " Pergilah wahai Rasulallah engkau bercukur dahulu, maka mereka akan mengikutimu."

Rasulallah s.a.w bukan sahaja bersetuju, malah sangat gembira dengan pandangan dan pendapat tersebut. Lalu baginda terus melaksanakannya, dan para sahabat pun, apabila melihat Rasulalah s.a.w bertindak demikian, mereka pun melaksanakan hal tersebut. Demikianlah Rasulallah tidak malu untuk meminta pendapat orang lain dalam menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Maka jika Rasul tidak malu untuk meminta pendapat, lebih-lebih lagilah bagi orang yang bodoh. Jangan jadi orang bodoh yang sombong, yang tidak mahu meminta tunjuk ajar daripada orang lain. Jangan pula jadi orang bodoh yang tidak tahu dirinya bodoh. Itu lagi parah. Ibarat orang yang tidak tahu membawa kereta, tetapi rasa pandai bawa kereta. Akhirnya masuk longkong dan kemalangan. Begitulah orang yang merasa dirinya tahu tetapi sebenarnya tidak. Akhirnya dirinya yang masuk neraka. Oleh itu jangan jadi orang yang "bodoh". Tetapi jadilah orang bodoh yang " pandai ".

Sesungguhnya Allah menjadikan semua manusia bodoh. Tetapi terpulanglah pada individu itu untuk belajar seberapa banyak ilmu yang ada untuk menjadikan dirinya pandai.  Pada mereka yg mensia-siakan masa hidup yg ada dgn membazirkan masa maka akan teruslah ia hidup dengan kebodohan dan lemah jiwanya. Bagi mereka yg terus menerus belajar akan pandailah ia serta mempergunakan masa hidupnya dengan berfaedah. Jangan bazirkan masa bak kata Rayyan Nakhaie "Tak baik tuhan maghah (marah)"...

1 comment:

Anonymous said...

nice article bro...