Showing posts with label melayu. Show all posts
Showing posts with label melayu. Show all posts

Tuesday, May 14, 2013

MY NAME IS NOT KHAN.. AND I AM NOT A TERRORIST..

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera para pembaca yang budiman lagi dihormati dan disanjungi. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya serta aman damai selalu menikmati hidup kita yang terlalu singkat ini. Dah lama pakcik tak memblogkan diri sebab seminggu pakcik terlantar akibat demam, batu dan selsema serta sakit tekak. Ni pun dah kira mcm tiga serangkai juga ni. So since kepala otak tak berapa nak boleh berfikir sebab dah seminggu tak ketentuan maka pakcik menulis juga pengalaman dan pengajaran yang pakcik dapat dari keuzuran pakcik tu.

Ya Allah syukur alhamdulillah kerana mendatangkan penyakit ini kepadaku kerana sesungguhnya engkau tidak mendatangkan aku dgn penyakit yang lebih berat. Syukur juga kehadratmu kerana telah membuatkan aku sakit hatta itulah saat engkau mengampunkan segala dosa-dosa ku terhadapmu. Sesungguhnya aku tau bahawa aku sentiasa didalam pengawasanmu dan engkau berkenan untuk memaafkan segala kesalahanku. Walau aku derita tidak dapat menikmati makanan kerana aku tidak mampu mencium bau tetapi aku yakin dan pasti sesungguhnya engkau akan mengurniakan aku dengan sesuatu yang lebih baik kerana hanya engkau lah ya tuhan yang lebih mengerti apa yang aku perlukan lebih dari diriku sendiri..

Ya saudara-saudari, lepas PRU 13 aritu apa yang selalu kita dengar dalam media2 kat Malaysia ni ialah Tsunami Cina, Rasis, Baju Hitam, tak puas hati, Pilihanraya tak bersih, undi dibuang, kotak undi hilang, blackout dan mcm2 lagi. Semua benda2 tu tak boleh nak masuk dalam kepala pakcik dah. Malas pakcik nak fikir benda2 yang tak bwk faedah ni. Benda dah lepas nak fikir amende lagi ntah. Tapi keuzuran pakcik mendatangkan sesuatu pengajaran untuk pakcik dan kita boleh kongsi bersama.

Selepas orang mengundi pakcik demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Selama pakcik terlantar itulah yang menjaga makan minum pakcik adalah seorang anak buah pakcik berketurunan cina bernama Yap (bukan nama sebenar). Setiap hari tanpa jemu dia membelikan pakcik makanan halal untuk pakcik makan. Dan tanpa ada prejudis dia mencari makanan yang boleh menyembuhkan pakcik mengikut petua orang cina dari sumber yang halal. Tanpa ada rasa benci juga dia kesana sini bwk pakcik cari klinik yang bagus untuk dapatkan rawatan untuk pakcik. Apa yang dia mintak untuk jasa2 yang dia buat untuk pakcik? Hahhh balasan yang paling besar dia mintak dari pakcik atas penat lelah dia dan ratusan duit dia yg keluar utk minyak dan sebagainya iaitu persahabatan yang kekal abadi.

Kalau dia teringin nak makan di kedai yg bukan muslim masak dia akan pergi sendiri tanpa ajak pakcik. Tapi waktu pakcik sakit, lepas makan dia akan cari kedai muslim utk beli makanan utk pakcik sebab rasa tanggungjawab dia pada pakcik sebagai seorang teman.

pakcik baca lak mcm2 penulisan dan salah satunya pakcik petik tulisannya:

" Ukhuwah biasa diertikan sebagai 'persaudaraan', diambil daripada akar kata yang pada mulanya bererti 'memerhatikan'. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa mereka bersaudara. Maknanya, setiap orang Islam hendaklah menanamkan perasaan dalam diri masing-masing bahawa mereka adalah bersaudara.

Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan mereka tidak akan terpecah melainkan jika mereka murtad daripada Islam. Ukhuwah Islamiah merupakan satu istilah yang sudah diterima di kalangan masyarakat iaitu suatu persaudaraan yang berdasarkan iman. Jadi istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah ukhuwah imaniyah kerana di dalam al-Quran, persaudaraan ini memang dikaitkan langsung dengan iman.
"

Wahhh hebat orang Islam kita ni kan. Ya memang Islam sesuatu yang amat hebat. Tapi hebatkah kita jika merasakan riak dgn merasakan diri kita hebat sebab kita org Islam dan membenci orang kafir?. Rasulallah ajar kita mcm tu ker?

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

 Siapa pulak yang Rasulallah maksudkan saudaranya tu? Mesti dlm kepala otak kita terus tergambar persaudaraan kita sesama Islam kan. Mcm mana pulak dgn sesama manusia? Ehh orang kafir bukan saudara kita kan.. klu mcm tu kenapa Rasulallah sendiri menyuapkan dgn penuh kasih syg seorang yahudi yg amat membenci Rasulallah sedangkan bukan saudara seislam Rasulallah?

Jadi saudara saudari yg saya kasihi sekalian, sesungguhnya sesiapa sahaja yg hidup di sekeliling kita adalah saudara kita tanpa mengenal agama, bangsa, suku, warna kulit, negara atau apa saja yg manusia gunakan utk membezakan antara satu sama lain. Kerana dimata Allah semua manusia adalah sama dan cuma manusia saja yg suka membezakan sesama sendiri. Contohnya kalau kita lihat ikan Toman yg anak murid pakcik selalu pancing tu.. Walau apa pun corak atau warnanya tetap akan dipanggil Toman juga dan kalau dimasak rasanya tetap sama.. Tambah lak masak lemak cili api campur tempoyak dan mkn dgn nasi panas.. perghh tetiba lak rasa lapar dlm ofis yg ber aircond ni..

Kenapa pula kita tidak boleh membenci org kafir? Kita perlu tau bahawa diaorg pun x pernah mintak utk dilahirkan utk berketurunan kafir dan hidayah belum dtg dlm diri diaorg utk peluk Islam. Tapi asal kejadian dia sama mcm kita iaitu dr tuhan yang satu juga, bapa yang satu juga (Adam) cuma adat resam dan budaya saja berbeza sebab semua itu manusia yang cipta. Bolehkah kita nak mengutuk ciptaan allah sebab mereka juga adalah salah satunya ciptaanNya? Apa hak kita utk mengutuk kekafiran org lain sedangkan allah jadikan dia begitu? Kita lebih bijak dr allah ke nak mengatur hidup dia agar jadi lain dr yg allah nak dengan hanya kun fayakunnya? Dan berkuasa ke kita utk mengubah hidup mereka sedangkan Allah sendiri berfirman "Tak ada sesiapa boleh mengubah hidup org lain kecuali dirinya sendiri".

Pakcik bukanlah penyokong BN yang dikatakan menipu duit rakyat apatah lagi penyokong pembangkang yang lantang menyuarakan kekotoran PRU 13 dan SPR. Pakcik cumalah insan biasa yang sentiasa cuba utk hidup berlandaskan alquran dan hadis. Apa guna pakcik nak sokong apa2 parti pun kalau semuanya asyik nak mengaibkan org lain jer sdgkan Allah suruh tutup aib saudara dan diri sendiri tapi kita lagi mau bukak. UMNO tak salah tapi segelintir yg tak amanah dlm partinya serta parti gabungan yang menyeleweng yg buatkan pakcik muak dan mual dgn politik ni. Dato Nik Aziz dan PAS tak salah cuma org2 lain dlm PAS yg melebih2 bencinya pada org lain terutamanya UMNO serta sikap segelintir dlm parti tu yg berserban besar tp perangai kalahkan org takde iman lak. So sebab tu pakcik takde hati nak campur mana2 politik pun dan biarlah pakcik hanya jadi seorang biasa even My name is not Khan but i am still not a terrorist..


Monday, May 21, 2012

Kalau Kail Panjang Sejengkal...

Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki. Setiap pantun yang dicipta mempunyai fungsi atau kegunaannya sendiri. Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud termasuk kiasan atau sindiran. Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai. Diingatkan di sini, seseorang yang akan menyampai atau melafazkan pantun juga harus memerhatikan isi pantun. Keadaan pantun dilafaz menjadi pertimbangan dalam penyampaikan isi pantun. Jika hal ini tidak diberi perhatian oleh orang yang melafazkan pantun, dikhuatiri akan menimbulkan salah faham kepada pendengar terutama pantun yang berkaitan dengan sindiran dan nasihat. Begitu juga jika melafazkan pantun berkaitan dengan budi dan jenaka. Cara melafazkan pantun harus dijaga agar maksud atau tujuan sesuatu pantun itu dilafazkan sampai kepada pendengar. Sesungguhnya, Pantun Melayu yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu mempunyai beberapa fungsi.


1 Untuk mendidik
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Selain pantun nasihat, pantun agama juga dicipta oleh masyarakat dahulu untuk tujuan mendidik. Pantun agama yang dicipta selalunya memberikan peringatan dan pedoman kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tersasar ke jalan yang salah. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Sungguh indah pintu dipahat,
Burung puyuh di atas dahan;
Kalau hidup hendak selamat,
Taat selalu perintah Tuhan.


2    Untuk meluahkan rasa kasih sayang dan rindu

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa kira batasan sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Sebagai contoh, dapatlah kita lihat daripada pantun Melayu lama di bawah ini;

Ribu-ribu pokok mengkudu,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

Pantun di atas menggambarkan nasihat orang yang melafazkan pantun kepada pasangannya yang kerinduan tidak kira sama ada pasangan kekasih atau suami isteri atau anak kepada ibu bapanya.


3    Untuk menyampaikan rasa penghargaan atau terima kasih
Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan jasa. Oleh itu, banyak dapat kita lihat pantun Melayu yang dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ini adalah seperti pantun di bawah:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Kedua-dua rangkap pantun di atas memperlihatkan masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya.

4 Untuk adat istiadat
Masyarakat Melayu sememangnya mementingkan adat istiadat dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, pantun juga memainkan peranan yang penting dalam upacara yang melibatkan adat istiadat. Dalam majlis merisik, bertunang sehinggalah majlis perkahwinan, pantun akan dilafazkan sebagai mukadimah atau pembuka kata sebagai tanda meminta kebenaran atau untuk menyampaikan maksud di hati. Pantun-pantun sebegini dikenali sebagai pantun adat. Sebagai contoh, dapatlah kita lihat dalam pantun Melayu lama di bawah ini yang kerapkali dilafazkan dalam majlis merisik sehingga sekarang ini;

Tok Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.
 
5 Untuk sindiran dan tempelak
Pantun juga digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu dengan bahasa yang berselindung atau dengan kata lain secara tidak berterus terang. Melalui pantun, masyarakat Melayu dapat menyembunyikan perasaan sebenar sama ada kesal, kecewa dan dukacita terhadap sesuatu dengan penyusunan kata-kata yang indah. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan akhirnya mencetuskan pergaduhan antara mereka. Perhatikan pantun sindiran Melayu lama di bawah ini yang masih kita gunakan sehingga sekarang;

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.


6 Untuk menguji minda

Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang masih diingati ialah;

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?

7 Untuk hiburan
Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik. Contohnya seperti pantun Melayu lama di bawah yang sememangnya kita ingat sejak kecil lagi.

Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.

Ada juga pantun yang dijadikan lagu untuk hiburan seperti lagu Dondang Sayang yang popular dalam kalangan Baba Nyonya serta Lagu Rasa Sayang yang seketika dulu panas seketika antara Malaysia dan Indonesia tentang asal usul lagu tersebut serta budayanya...

Artikel di atas dipetik daripada Bab 2: Fungsi Pantun dalam buku ANEKA CONTOH PANTUN PILIHAN MENGIKUT ATUR CARA MAJLIS.