Thursday, August 15, 2013

Itu Bukan Gitar Pakcik.. Itu BONGGOOOO

Nak tergelak Pakcik bila ada orang tanya pakcik apasal background ada gambar anjing tapi isi blog penuh dengan penghayatan agama.. Untuk korang yang tak faham dan yg malas nak baca semua isi blog ni sebenarnya yg comel bermata biru tu bukannya anjing. Ia adalah gambar serigala putih yg sering bersama pakcik untuk menghapuskan semua jin2, syaitan2, iblis2 dan seangkatan dengannya yang menggangu manusia dengan segala jenis gangguan dan sihir.


Memanglah kalau tgk sekali imbas diaorg nampak sama. Tapi serigala berbulu lebih lebat sebab duduknya di tempat sejuk. Kat tempat panas mcm kat Malaysia ni tak ada serigala. Atau pakcik yang tak pernah tgk serigala kat bahagian Malaysia yang lain selain dari kawasan Kaki Gunung Kinabalu sewaktu pakcik dok Sabah dulu.


Harus diingat bahawa serigala ini bukanlah seperti anjing. Dalam quran dan hadis menyatakan bahawa anjing itu najis tapi tidak serigala walaupun ada yg menyatakan sama sebab dalam keluarga yg sama. Itu pada pakcik pendapat yang salah. Sebabnya anjing itu binatang jinak dan serigala itu buas. Kalau nak kira spesis sama maka anjing laut itu jugak najis kah? So x payah nak susahkan diri dengan nak fikir. Bila quran dan hadis tak sebut maka jangan nak memandai2 mengada-adakan..


Serigala ni sentiasa mengiringi pakcik bila pakcik berperang tapi bukanlah dampingan dari kalangan jin. Sebab guru pakcik ulamak dan orang yang berpegang kuat pada agama maka takkanlah dia nak berikan jin pada pakcik untuk didampingi. Untuk pengetahuan korang selalunya haiwan yang berdamping adalah dari jenis haiwan juga dan semua haiwan yang berbulu putih adalah berasal dari alam bunian. Tapi kenapa harimau berbulu putih atau siberian tiger ada kat bumi? Sebabnya ada kesalahan yang diaorg lakukan sehingga dibuang ke dunia alam nyata ni. Mana pakcik tau semua ni? Pakcik belajar la.. Kalau korang tak percaya atau nak tau lebih lanjut pergilah tanya orang yang keluar masuk alam ghaib atau kampung bunian ni.. Insyaallah diaorg boleh terangkan.


Dan andainya serigala ini dari kalangan jin maka dah lama dia terbakar sebab pakcik dah cuba dengan ayat pembakar jin.. Apa saja jin termasuk jin Islam akan terbakar tapi serigala kesayangan pakcik ni terus hidup sihat dan cergas tanpa terjejas dan ianya tidak boleh diwariskan pada anak cucu pakcik sebab ianya bukanlah jin saka yg boleh di jadikan warisan..


Wednesday, August 14, 2013

Pelalau The Series - Kaedah Pengubatan



Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata, “Aku telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis, “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata, “Ya, kamulah (yang betul hebat)”. – Riwayat Muslim.

Hadis ini menjelaskan bahawa iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sebagai sasaran utama misi mereka untuk memecah belahkan anak cucu adam. Menjadi kebanggaan kepada mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara setiap pasangan yang berumah tangga.

Banyak perkara yang menjadi pencetus kepada soal penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan oleh pasangan-pasangan yang terlibat ialah sudah tidak wujud lagi persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan adanya orang ketiga yang menggoda suami atau isteri, dan tidak terkecuali terdapat unsur-unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Sebab banyak pertanyaan yang diutarakan kepada pakcik tentang sihir pelalau ni maka pakcik nyatakanlah disini sedikit sebanyak cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh mangsa sihir ini apabila terkena. Seeloknya dielakkan dengan segala amalan sebab mengelakkan lebih baik dari mengubati..

Apa Itu Sihir Pemisah Atau Pelalau?

Sihir pemisah ini merupakan sihir yang seringkali  dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu yang selalunya berkaitan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.  Sihir ini juga dikenali sebagai Sihir “At-Tafriq” juga Sihir Pelalau.  Sihir ini mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Namun, ia lebih memfokuskan kepada pasangan suami isteri agar hubungan kedua-duanya bermasalah dan akhirnya membawa kepada penceraian. Ibnu Kathir ada menjelaskan bahawa setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk samada dari rupa paras atau perilaku.

Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir ini adalah menggunakan barang-barang yang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak yang telah dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa selalu kunjungi. Juga boleh dimasukkan ke dalam makanan yang mangsa terkadang-kala tidak menyedarinya.

Sebenarnya apa yang digunakan diatas hanya lah hiasan luar yang digunakan oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan-pelanggan mereka.  Pengamal sihir ini sebenarnya menggunakan jin-jin dalam simpanan atau belaan meraka sebagai pengantara ilmu sihir mereka. Apabila pengamal sihir tersebut mahu menghantar sihir kepada seseorang, pengamal sihir ini sebenarnya menghantar jin-jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada pengamal sihir tersebut. Maka, jin-jin yang dihantar itu memasuki tubuh badan si mangsa dan mereka inilah yang melakukan kerosakan-kerosakan dalam badan manusia. Jin-jin tersebut akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dihendaki oleh pengamal sihir tadi.

Antara simptom-simptom yang sering diberitahu oleh pesakit-pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:


  • Timbul rasa benci yang bersangatan tanpa sebab yang jelas, yang berlaku pada salah seorang daripada pasangan, atau kedua-duanya sekali

  •  Berlaku perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab, atau sebab-sebab yang kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak-anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir

  •  Timbul rasa was-was syaitan dalam hati yang boleh menyebabkan isteri takut mendekati suami. Terasa seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya

  •  Timbul rasa cemburu yang melampau sehingga menyebabkan isteri rasa berang kerana mensyaki si suami telah menduakannya, padahal suami tidak berbuat yang sedemikian. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami ataupun tidur sebilik

  •  Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu selagi pasangan berada di sampingnya, dan merasa lega sebaik-baik sahaja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan

  • Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa yang menakutkan atau sentiasa marah dan bengis, atau suami melihat isteri dari pandangan yang hodoh. Apa yang dilakukan oleh pasangan semuanya serba tak kena

  • Timbul desakan dalam jiwa suami untuk menceraikan isteri tanpa sebab yang jelas. Dalam hatinya timbul bisikan-bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal si suami tidak berhasrat langsung berbuat demikian. Kadang-kadang lafaz cerai itu benar-benar keluar dari lidah seolah-olah ada satu kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri pula kadang-kadang meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami berbuat demikian dalam keadaan tidak dapat mengawal diri. Ini kadang-kala membawa kepada pergaduhan fizikal di antara suami dan isteri

Rawatan Akibat Sihir Pemisah

Rawatannya tidak memerlukan khidmat makhluk halus (samada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan. Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:


  • Amalan Bacaan Al-Quran

  • Berdoa memohon kepada Allah (s.w.t)
  • Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)

Selain dari 3 amalan ini perubatan ini menggunakan air mineral yang dibacakan rukyah atau yassin. Untuk rawatan sihir pemisah, mintalah bantuan mereka yang mengamalkan perubatan islam untuk:-


  • Jin-jin dan/atau sihir-sihir didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan dan pesakit hendaklah datang berjumpa dengan perawat untuk rawatan

  •  Membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit ini serta mohon doa kepada Allah s.w.t untuk sembuh dari penyakit ini

Senarai Bacaan Ayat-ayat Penawar Untuk Mangsa Sihir Pemisah

Disamping ikhtiar pengamal perubatan islam, gangguan ilmu sihir pemisah dapat dihentikan dengan amalan bacaan ayat-ayat berikut oleh mangsa dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.  Ayat-ayat tersebut adalah:


  • Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t

  • Surah Al A’raaf  ayat 146 hingga 159, baca 3 kali selapas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah s.w.t

Penutup

Ancaman sihir yang berlaku saban hari ini bukanlah suatu metafora atau omongan kosong semata-mata. Ianya adalah realiti yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kita di luar sana. Selagi ada rasa dendam, dengki dan iri hati, selagi itulah iblis serta bala tenteranya akan terus berusaha menjerumus manusia kepada perkara-perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam. Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir yang dihadapi selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah.  Firman-Nya yang bermaksud;

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)” - Surah At-Taghaabun Ayat 11.

Dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan serta menangkis segala hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa hamba-Nya.