Thursday, August 15, 2013

Itu Bukan Gitar Pakcik.. Itu BONGGOOOO

Nak tergelak Pakcik bila ada orang tanya pakcik apasal background ada gambar anjing tapi isi blog penuh dengan penghayatan agama.. Untuk korang yang tak faham dan yg malas nak baca semua isi blog ni sebenarnya yg comel bermata biru tu bukannya anjing. Ia adalah gambar serigala putih yg sering bersama pakcik untuk menghapuskan semua jin2, syaitan2, iblis2 dan seangkatan dengannya yang menggangu manusia dengan segala jenis gangguan dan sihir.


Memanglah kalau tgk sekali imbas diaorg nampak sama. Tapi serigala berbulu lebih lebat sebab duduknya di tempat sejuk. Kat tempat panas mcm kat Malaysia ni tak ada serigala. Atau pakcik yang tak pernah tgk serigala kat bahagian Malaysia yang lain selain dari kawasan Kaki Gunung Kinabalu sewaktu pakcik dok Sabah dulu.


Harus diingat bahawa serigala ini bukanlah seperti anjing. Dalam quran dan hadis menyatakan bahawa anjing itu najis tapi tidak serigala walaupun ada yg menyatakan sama sebab dalam keluarga yg sama. Itu pada pakcik pendapat yang salah. Sebabnya anjing itu binatang jinak dan serigala itu buas. Kalau nak kira spesis sama maka anjing laut itu jugak najis kah? So x payah nak susahkan diri dengan nak fikir. Bila quran dan hadis tak sebut maka jangan nak memandai2 mengada-adakan..


Serigala ni sentiasa mengiringi pakcik bila pakcik berperang tapi bukanlah dampingan dari kalangan jin. Sebab guru pakcik ulamak dan orang yang berpegang kuat pada agama maka takkanlah dia nak berikan jin pada pakcik untuk didampingi. Untuk pengetahuan korang selalunya haiwan yang berdamping adalah dari jenis haiwan juga dan semua haiwan yang berbulu putih adalah berasal dari alam bunian. Tapi kenapa harimau berbulu putih atau siberian tiger ada kat bumi? Sebabnya ada kesalahan yang diaorg lakukan sehingga dibuang ke dunia alam nyata ni. Mana pakcik tau semua ni? Pakcik belajar la.. Kalau korang tak percaya atau nak tau lebih lanjut pergilah tanya orang yang keluar masuk alam ghaib atau kampung bunian ni.. Insyaallah diaorg boleh terangkan.


Dan andainya serigala ini dari kalangan jin maka dah lama dia terbakar sebab pakcik dah cuba dengan ayat pembakar jin.. Apa saja jin termasuk jin Islam akan terbakar tapi serigala kesayangan pakcik ni terus hidup sihat dan cergas tanpa terjejas dan ianya tidak boleh diwariskan pada anak cucu pakcik sebab ianya bukanlah jin saka yg boleh di jadikan warisan..


Wednesday, August 14, 2013

Pelalau The Series - Kaedah Pengubatan



Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata, “Aku telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis, “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata, “Ya, kamulah (yang betul hebat)”. – Riwayat Muslim.

Hadis ini menjelaskan bahawa iblis dan bala tenteranya menjadikan pasangan suami isteri sebagai sasaran utama misi mereka untuk memecah belahkan anak cucu adam. Menjadi kebanggaan kepada mereka sekiranya terjadi pergaduhan dan penceraian antara setiap pasangan yang berumah tangga.

Banyak perkara yang menjadi pencetus kepada soal penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan oleh pasangan-pasangan yang terlibat ialah sudah tidak wujud lagi persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan adanya orang ketiga yang menggoda suami atau isteri, dan tidak terkecuali terdapat unsur-unsur sihir penyebab terjadinya penceraian.

Sebab banyak pertanyaan yang diutarakan kepada pakcik tentang sihir pelalau ni maka pakcik nyatakanlah disini sedikit sebanyak cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh mangsa sihir ini apabila terkena. Seeloknya dielakkan dengan segala amalan sebab mengelakkan lebih baik dari mengubati..

Apa Itu Sihir Pemisah Atau Pelalau?

Sihir pemisah ini merupakan sihir yang seringkali  dilakukan untuk memisahkan pasangan suami isteri atas sebab tertentu yang selalunya berkaitan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.  Sihir ini juga dikenali sebagai Sihir “At-Tafriq” juga Sihir Pelalau.  Sihir ini mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Namun, ia lebih memfokuskan kepada pasangan suami isteri agar hubungan kedua-duanya bermasalah dan akhirnya membawa kepada penceraian. Ibnu Kathir ada menjelaskan bahawa setiap pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan mengakibatkan pandangan suami atau isteri terhadap pasangannya disihirkan sehingga kelihatan hodoh atau buruk samada dari rupa paras atau perilaku.

Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir ini adalah menggunakan barang-barang yang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak yang telah dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa selalu kunjungi. Juga boleh dimasukkan ke dalam makanan yang mangsa terkadang-kala tidak menyedarinya.

Sebenarnya apa yang digunakan diatas hanya lah hiasan luar yang digunakan oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan-pelanggan mereka.  Pengamal sihir ini sebenarnya menggunakan jin-jin dalam simpanan atau belaan meraka sebagai pengantara ilmu sihir mereka. Apabila pengamal sihir tersebut mahu menghantar sihir kepada seseorang, pengamal sihir ini sebenarnya menghantar jin-jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada pengamal sihir tersebut. Maka, jin-jin yang dihantar itu memasuki tubuh badan si mangsa dan mereka inilah yang melakukan kerosakan-kerosakan dalam badan manusia. Jin-jin tersebut akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dihendaki oleh pengamal sihir tadi.

Antara simptom-simptom yang sering diberitahu oleh pesakit-pesakit yang terkena sihir pemisah atau pembenci ini adalah seperti berikut:


  • Timbul rasa benci yang bersangatan tanpa sebab yang jelas, yang berlaku pada salah seorang daripada pasangan, atau kedua-duanya sekali

  •  Berlaku perselisihan faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab, atau sebab-sebab yang kecil dan tidak munasabah, juga di kalangan anak-anak yang menyebabkan suasana keluarga sentiasa tegang dan kucar-kacir

  •  Timbul rasa was-was syaitan dalam hati yang boleh menyebabkan isteri takut mendekati suami. Terasa seolah-olah suami hendak menganiayai isteri atau sebaliknya

  •  Timbul rasa cemburu yang melampau sehingga menyebabkan isteri rasa berang kerana mensyaki si suami telah menduakannya, padahal suami tidak berbuat yang sedemikian. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan isteri melarikan diri, enggan duduk berhampiran suami ataupun tidur sebilik

  •  Rasa resah gelisah, sakit kepala dan buntu selagi pasangan berada di sampingnya, dan merasa lega sebaik-baik sahaja pasangan keluar dari rumah atau berada jauh dari pasangan

  • Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa yang menakutkan atau sentiasa marah dan bengis, atau suami melihat isteri dari pandangan yang hodoh. Apa yang dilakukan oleh pasangan semuanya serba tak kena

  • Timbul desakan dalam jiwa suami untuk menceraikan isteri tanpa sebab yang jelas. Dalam hatinya timbul bisikan-bisikan yang dia telah melafazkan cerai, padahal si suami tidak berhasrat langsung berbuat demikian. Kadang-kadang lafaz cerai itu benar-benar keluar dari lidah seolah-olah ada satu kekuatan dari dalam diri melepaskan tanpa dapat dikawal. Isteri pula kadang-kadang meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami berbuat demikian dalam keadaan tidak dapat mengawal diri. Ini kadang-kala membawa kepada pergaduhan fizikal di antara suami dan isteri

Rawatan Akibat Sihir Pemisah

Rawatannya tidak memerlukan khidmat makhluk halus (samada jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dan tidak juga menggunakan sebarang perantaraan. Ianya berdasarkan kepada 3 amalan utama iaitu:


  • Amalan Bacaan Al-Quran

  • Berdoa memohon kepada Allah (s.w.t)
  • Memperbanyakkan Zikir (Laila hail’lallah)

Selain dari 3 amalan ini perubatan ini menggunakan air mineral yang dibacakan rukyah atau yassin. Untuk rawatan sihir pemisah, mintalah bantuan mereka yang mengamalkan perubatan islam untuk:-


  • Jin-jin dan/atau sihir-sihir didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan dan pesakit hendaklah datang berjumpa dengan perawat untuk rawatan

  •  Membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit ini serta mohon doa kepada Allah s.w.t untuk sembuh dari penyakit ini

Senarai Bacaan Ayat-ayat Penawar Untuk Mangsa Sihir Pemisah

Disamping ikhtiar pengamal perubatan islam, gangguan ilmu sihir pemisah dapat dihentikan dengan amalan bacaan ayat-ayat berikut oleh mangsa dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.  Ayat-ayat tersebut adalah:


  • Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t

  • Surah Al A’raaf  ayat 146 hingga 159, baca 3 kali selapas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah s.w.t

Penutup

Ancaman sihir yang berlaku saban hari ini bukanlah suatu metafora atau omongan kosong semata-mata. Ianya adalah realiti yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kita di luar sana. Selagi ada rasa dendam, dengki dan iri hati, selagi itulah iblis serta bala tenteranya akan terus berusaha menjerumus manusia kepada perkara-perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam. Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir yang dihadapi selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah.  Firman-Nya yang bermaksud;

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)” - Surah At-Taghaabun Ayat 11.

Dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan serta menangkis segala hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa hamba-Nya.

Tuesday, July 16, 2013

Kalau masak tak sedap dan mahal, Takkan laris gak



Assalamualaikum dan salam Ramadhan. Tak berapa nak produktif la Pakcik nak menulis dibulan Ramadhan ni. Tapi sementara melepak2 menunggu waktu berbuka semalam Pakcik dpt lak idea nak menulis. Asalnya salah seorang sahabat bertanya kepada Pakcik sewaktu kami sedang duduk menunggu masuk waktu tu.  "Bro, kau rasa kedai ni ada menggunakan pelaris tak?"  Pakcik hanya melihat kawasan kedai dan menggelengkan kepala. Ternyata sahabat Pakcik ini agak fobia dengan kedai kedai makan yang menggunakan pelaris. 


Hakikatnya, kebanyakan kedai makan memang menggunakan ilmu pelaris. Tetapi harus Pakcik nyatakan disini bahawa tidak semua ilmu pelaris itu bercanggah dengan ajaran Islam. Ada juga ayat ayat di dalam Al Quran itu boleh digunakan untuk tujuan melariskan sesuatu perniagaan dan membuat makanan menjadi sedap.

Amalan menggunakan pelaris ini sudah lama dipraktikkan oleh orang zaman dahulu kala. Cuma bezanya ialah orang dahulu tidak berapa mengendahkan sama ada ilmu tersebut baik ataupun tidak. Mereka mungkin kurang berpengetahuan didalam perkara perkara sebegitu. Maka ia terpulang pada kita untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.

Tetiba seorang lagi rakan bertanyakan kepada Pakcik: "Bagaimana kita nak tahu bahawa sesuatu kedai tersebut menggunakan ilmu pelaris yang tidak elok?". Pakcik cakap simple jer.. “Ikutlah apa yang telah diajarkan oleh Nabi dan ajaran Al Quran. Mulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim dan bacalah doa makan sebelum menjamu selera. Insya Allah kita akan dilindungi oleh Nya.”. Tapi Pakcik sendiri memang x pernah lekang mengamalkan Bismillah 4 atau ada org panggil Bismillah 5. Insyaallah andai ada sihir apa pun disitu, akan dijauhkan daripada kita. Caranya amalkan dibaca selalu terutamanya selepas solat dan baca bila memasuki sesuatu premis jualan makanan.



Sunday, June 9, 2013

Jangan Tegur-Tegur..



Wahai sahabatku,

Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat engkau menegur itu. Jika niatnya adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat menegur tersebut. Jika niat mu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju dengan kamu, batalkanlah niat menegur itu. Jika niat mu adalah untuk memalukan orang, lagilah perlu dibatalkan niat kamu.

Jikalau niat mu adalah untuk menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan niat mu. Jikalau niat mu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah juga niat mu. Jikalau niat mu untuk menunjukkan kebodohan lawanmu, batalkan niat mu. Jikalau engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran yang engkau niatkan itu, tangguhkan dulu teguran kamu.

Wahai sahabatku,

Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah teguran yang bersifat membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan menginsafkan. Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas mendapat kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruah mu.





Wahai sahabatku,

Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah pada isu yang ada di tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara yang lepas-lepas kerana ia akan merosakkan niat baik engkau menegur. Jangan sesekali mengisikan teguran engkau dengan suatu ungkitan kerana ianya mungkin mencalarkan hati org yg ditegur.

Wahai sahabatku,

Semasa membuat teguran, ingatlah manusia ini tidaklah sempurna walaupun sesungguhnya manusia itu melambangkan sempurnanya ciptaan Allah. Ingatlah manusia depan mu itu pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang baik. Buatlah teguran tanpa buruk sangka pada manusia di depanmu. Buangkan segala buruk sangka pada manusia di depanmu. Tunjukkan belas kasihan mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah egomu. Dan jagalah kata-kata mu dan ayat-ayat mu. Rendahkanlah dirimu dan hinakanlah dirimu daripada orang yg engkau pandang itu.





Wahai sahabatku,

Jangan pula engkau ingat hanya kau yang layak menegur orang dan orang yang ditegur mu itu mesti akur dan terima teguran mu. Jangan engkau ingat mereka akan membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab. Jangan engkau ingat engkau sahaja betul dalam teguran mu. Bersedialah berlawan dengan hujah. Jika engkau kasar dalam bahasa teguran mu, bersedialah menerima balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk. Bersedialah engkau pula untutk ditegur bila bulat fikiranmu untuk menegur. Kerana hak menegur bukan milikmu seorang sahaja tetapi milik semua makhluk.

Wahai sahabatku,

Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah. Engkau memahami perkara itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu, kamu sering terlupa yang menerima teguran mu itu juga seorang manusia ciptaan Allah. Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih tinggi ketika menegur.

Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab ketika ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun palsu. Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika ditegur kerana engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu.




Pentingkan membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika ditegur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri. Berterima kasihlah kepada org yg menegurmu kerana itulah tanda Allah sentiasa mengingatkanmu melalui lidah yang menegur itu. Jangan pula rasa jengkel apabila org lain menolak teguran dan beranggapanlah bahawa dia menolak peringatan dari Allah dan kamu takkan mengalami apa2 kerugian. Bawakanlah hak Allah dalam teguranmu supaya kamu tidak cepat latah dan marah apabila teguranmu tidak bersambut.

Ini Syiling Ahmad Albab Yang Punya..



TINGG!

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.


 
TINGG!

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan di sekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya. “Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati. “Inilah hasil kerja ikhlas aku dpt rezeki datang bergolek”

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.

Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas. Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

Para sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yg menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.



Pakcik bukanlah mahu memerli, mengata atau menganjing siapa2. Kadang2 diri ini yang hina dina ini pun perlu diingatkan supaya tidak lupa dan lalai dlm menerima baik rezeki, kesenangan, kesusahan atau musibah. Sama2 la kita yg zahir ni nasihat menasihati diri kita yg ghaib tu supaya belajarlah mensyukuri walau atas kesenangan yang sedikit supaya kita tak jadi lupa diri dgn kemewahan yg besar bila sampai kepada kita. Wallah huaklam..